KUALA SELANGOR: Bomba menyelamatkan empat individu yang terperangkap di dalam sebuah kilang akibat banjir di Jalan Titanium, Taman Industri Batu 22, Ijok, di sini hari ini.
Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 5.39 petang sebelum sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya dikerahkan ke lokasi.
"Sebaik tiba, didapati terdapat empat mangsa terperangkap di dalam kilang berkenaan.
"Komander Operasi mengarahkan anggota bertugas membawa keluar semua mangsa yang terperangkap," katanya dalam kenyataan.
Ashrul Riezal berkata, mangsa dibawa keluar dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda Unit Skuad Pantas Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS).
"Kedalaman air di lokasi dianggarkan satu meter.
"Selepas operasi menyelamat selesai, anggota bomba bersama jentera meneruskan pemantauan keadaan banjir di kawasan Saujana Aman," katanya.
PETALING JAYA – Warga Shah Alam merayu agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelesaikan isu banjir yang sering berlaku di daerah itu sehingga menimbulkan pelbagai kesulitan.
Rayuan tersebut dikongsi oleh seorang pengguna di aplikasi Threads yang dikenali sebagai Istaqazthetic.
“YAB @anwaribrahim_my mohon perhatian isu banjir dan kesesakan teruk di sekitar TTDI Jaya, Seksyen 13, Bukit Jelutong dan kawasan berdekatan.
“Sehingga kini masih ramai rakyat Malaysia yang belum sampai ke rumah selepas pulang bekerja,” tulisnya.
Mengulas lanjut, individu itu mendakwa masalah banjir iti juga menyebabkan masa perjalanan balik kerja warga Shah Alam bertambah lama.
“Ada yang perjalanan cuma 3 kilometer, tetapi terpaksa menghabiskan masa sehingga 2 jam dalam kesesakan.
“Kesian mereka yang ada anak kecil menunggu di rumah atau perlu mengambil anak di taska. Mohon isu ini diberi perhatian dan penyelesaian jangka panjang terima kasih,”rayunya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan beberapa kawasan di daerah itu dinaiki air sehingga parasa paha dan banyak laluan tersekat ekoran hujan lebat petang ini.
Antara kawasan yang terlibat ternasuklah Kampung Melayu Subang, TTDI Jaya, Seksyen 13,Bukit Jelutong serta laluan di Lebuh Raya Guthrie.-KOSMO! ONLINE
TANJUNG MALIM – Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Bernam di sini dijangka dapat mengurangkan kesan bencana banjir di Behrang terutamanya sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, projek bernilai RM7 juta itu dijangka siap sepenuhnya pada Januari 2027.
“Projek bernilai RM7 juta ini meningkatkan tahap perlindungan banjir serta mengurangkan risiko limpahan air sungai yang boleh menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan penduduk khususnya kepada lebih 1,000 rakyat Pekan Behrang Stesen.
“Skop utama projek merangkumi tujuh komponen pembinaan iaitu kolam takungan banjir seluas 2.5 hektar dan pembinaan ban tanah sepanjang 773 meter,” katanya kepada pemberita di Tapak Projek RTB Sungai Bernam di sini hari ini.
Terdahulu, beliau dalam mengadakan lawatan kerja ke Tapak RTB Sungai dan Persediaan JPS Menghadapi Monsun Timur Laut. Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Salina Samsudin.
Katanya, projek tebatan banjir itu turut melibatkan pemuliharaan Sungai Bandan sepanjang 250 meter, pembinaan parit tanah sepanjang 550 meter, pembinaan longkang berbentuk U sepanjang 400 meter.
Selain itu, pembinaan sebuah pintu katup serta menaiktaraf tiga pintu katup sedia ada dan pembinaan pagar keselamatan sepanjang 700 meter. – KOSMO! ONLINE
SHAH ALAM: Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) diminta mengenal pasti sekolah berisiko banjir bagi memastikan urusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berjalan lancar.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata persediaan bagi mendepani bencana itu dibuat sebaik mungkin memandangkan peralihan Monsun Timur Laut (MTL) bermula 27 Oktober lalu.
"Kita akan dapatkan maklumat berhubung perkara ini. Saya dah minta JPNS kenal pasti lokasi lazim (banjir) supaya kita boleh bersiap sedia ketika musim perlahan MTL ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Simbolik Penyerahan Program Nutrisel dan Mega Nutrisel 2026 di sini, hari ini.
Sementara itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri juga meluluskan kira-kira RM800,000 bagi melaksanakan projek segera mengatasi masalah banjir, khususnya sekitar persimpangan I-City, Seksyen 7 dan Taman Rashna, Klang.
Katanya, semua projek berkenaan dijangka siap menjelang awal Disember ini sekali gus mengurangkan risiko banjir kilat terutamanya apabila berlaku hujan lebat.
"Selain itu, kita juga sediakan pam sebagai langkah alternatif mengelakkan berlakunya banjir di kawasan terbabit. Sekarang dah masuk peralihan MTL, jadi seperti biasa kita akan kenal pasti titik panas banjir untuk persediaan," katanya.
MTL bermula pada 27 Oktober dijangka berterusan hingga Mac 2027 dengan diramalkan membawa antara tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan, khususnya dari November hingga Januari. Ia sekali gus meningkatkan risiko banjir, terutama di kawasan rendah dan berhampiran sungai.
Bulan lalu, beberapa kawasan di sekitar Shah Alam dan Klang termasuk persimpangan lampu isyarat I-City dan Bukit Raja dinaiki air susulan hujan lebat.
