OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Pusat data AI bukan punca banjir di Petaling Jaya - Amirudin

Pusat data AI bukan punca banjir di Petaling Jaya - Amirudin

PETALING JAYA: Pusat data kecerdasan buatan (AI) seperti KL1 Kuala Lumpur oleh NEXTDC tidak akan menyebabkan gangguan banjir kerana menggunakan sistem penyejukan air kitar semula dalam sistem gelung tertutup.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata dakwaan pusat data menjadi punca banjir di sekitar kawasan ini adalah tidak berasas kerana fasiliti tersebut beroperasi menggunakan sistem penyejukan berasaskan air kitar semula, dengan teknologi penyejukan 'liquid direct-to-chip' yang digunakan beroperasi melalui sistem gelung tertutup, sekali gus tidak bergantung kepada penggunaan air baharu secara berterusan.

"Pusat data moden tidak menggunakan air secara berlebihan seperti tanggapan umum, sebaliknya mengamalkan sistem kitar semula. Di Selangor, kita turut melaksanakan dasar 'Zero Discharge' yang menggalakkan sistem kitar semula dalam operasi industri," katanya pada sidang media perasmian KL1 oleh NEXTDC, di sini, hari ini.

Tambah beliau, sehingga 80 peratus air yang digunakan dalam pusat data boleh dikitar semula untuk operasi penyejukan semula.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan siasatan kerajaan negeri mendapati punca utama banjir di kawasan sekitar adalah kelemahan sistem saliran lama yang memerlukan penambahbaikan segera.

Susulan itu, pihak berkuasa tempatan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah diarahkan menaik taraf sistem perparitan bagi melancarkan aliran air ketika hujan lebat.

"Kerajaan negeri juga sedang memperkukuh bekalan air dengan margin simpanan sekitar 18 peratus ketika ini, selain pembangunan Loji Rawatan Air Rasau yang dijangka siap hujung tahun ini dengan kapasiti 350 juta liter sehari," katanya.

Menjelang 2027, kapasiti itu dijangka meningkat kepada 700 juta liter sehari, sebelum menjadi loji rawatan air terbesar di Asia Tenggara menjelang 2029 dengan kapasiti 1,400 juta liter sehari.

Sebelum ini, pembinaan tembok banjir di kawasan kritikal Sungai Penchala serta pemasangan sistem Kawalan Limpahan Sungai (SKaLiS) oleh MBPJ merupakan antara langkah mitigasi bagi mengelakkan banjir kilat berulang di kawasan sekitar termasuk Medan Selera 223 dan Jalan 223.

Amirudin hari ini hadir bersama Menteri Digital, Gobind Singh Deo bagi merasmikan pusat data AI KL1 Kuala Lumpur oleh NEXTDC, yang dibangunkan khusus untuk menyokong pertumbuhan pesat kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan dan perkhidmatan digital di rantau ini.

NEXTDC merupakan penyedia infrastruktur digital dari Australia dan KL1 merupakan pusat data sedia AI pertamanya di Asia Tenggara bernilai RM2.8 bilion.

Β 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search