Pembersihan hutan punca banjir?
- Admin UKK
- Berita
SHAH ALAM: Pembersihan sebahagian kawasan Hutan Simpan Bukit Cherakah yang dinyahwarta sejak 26 tahun lalu didakwa menyebabkan penyerapan hujan di tengah bandar raya ini semakin merosot.
Keadaan itu menyebabkan limpahannya tidak lagi mampu ditampung longkang dan sungai berhampiran sedia ada.
Akibat daripada situasi tersebut, mutakhir ini banjir kilat yang berlaku di Shah Alam kerap kali dilaporkan terutama di kawasan yang berhampiran dengan kawasan hutan berkenaan seperti di Bukit Jelutong, Denai Alam, Persiaran Mokhtar Dahari, Puncak Alam, Sungai Buloh dan Ijok.
Walaupun terdapat penambahbaikan pengurusan saliran longkang dan kolam tadahan di kawasan-kawasan hutan yang dibersihkan itu, langkah tersebut didakwa hanya menyelesaikan masalah banjir kilat di lokasi tertentu dan tidak secara menyeluruh.
Pengerusi Persatuan Penduduk Greenhill Residence di Persiaran Mokhtar Dahari, Mohamad Zailani Johari berkata, beliau dan penduduk melihat pembersihan hutan begitu rancak dilakukan dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini di sepanjang jalan tersebut.
Malah, katanya aktiviti tersebut menyebabkan kejadian banjir kilat kerap kali berlaku akibat limpahan air susulan hujan lebat dalam tempoh singkat di lokasi berhampiran kawasan-kawasan yang dibersihkan.
“Cuma sekarang sudah berkurangan selepas pihak berkuasa mengambil tindakan seperti menyelenggara saliran, kolam tadahan dan sebagainya.
“Dahulu, antara kawasan yang kerap kali berlaku banjir kilat adalah di jalan raya berhampiran di kawasan perindustrian sebelah Greenhill Residence dan persimpangan lampu isyarat Kampung Budiman.
“Walaupun sudah kurang, tetapi banyak laporan diterima berlaku di kawasan lain pula yang terletak berhampiran dengan Hutan Simpan Bukit Cherakah. Sekarang musim hujan memang isu itu akan timbul.
“Apabila kawasan hutan dibersihkan, tiada lagi tempat tadahan hujan. Limpahan hujan mengalir terus ke dalam longkang kemudian sungai dan akhirnya tidak lagi mampu menampung air menyebabkan lebihannya melimpah ke jalan raya dan rumah,” katanya semalam.
Jelas Mohamad Zailani, beliau dan penduduk pastinya tidak menolak pembangunan kerana ia perlu bagi keperluan ekonomi namun pihak berkuasa perlu memantau secara rapat dan tidak bergantung kepada aduan awam semata-mata.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Rentak Perdana di Bandar Puncak Alam, Ahmad Hosni Mubara menegaskan, kawasan sungai di Sungai Buloh sepanjang hampir 40 kilometer dari Kampung Paya Jaras, Kampung Baru Sungai Buloh dan Kawasan Perindustrian Sungai Buloh ke Ijok, Kuala Selangor wajar dinaik taraf atau diselenggara.
Katanya, sungai tersebut perlu didalamkan dan tebingnya dibina semula supaya ia mampu menampung aliran limpahan air daripada hujan lebat seperti mana dilakukan di Sungai Klang.
Gesaan tersebut dinyatakan apabila sungai itu merentasi kawasan berkepadatan tinggi atau banyak perumahan seperti di Merbau Sempak, Saujana Utama, Saujana Aman, Desa Coalfields, Bandar Puncak Alam dan Ijok.
“Kemusnahan hutan di Bukit Cherakah dilihat turut mencetuskan limpahan hujan masuk ke Sungai Buloh di sekitar Denai Alam atau Elmina, yang sebelum itu sudah pun dilimpahi aliran dari Kampung Paya Jaras dan kawasan lain di bahagian hulu.
“Keadaan itu menyebabkan banjir teruk di bahagian hilir seperti di Saujana Aman, Kampung Seri Sentosa berhampiran Desa Coalfields dan Kampung Ijok di Ijok. Sedangkan ketika itu mungkin hujan turun dalam masa yang singkat di kawasan tersebut,” katanya. – UTUSAN
KUALA LUMPUR: Kira-kira 200 keluarga di Taman Seri Alam, Saujana Utama, Kuala Selangor, dekat sini, dilaporkan terjejas akibat banjir susulan limpahan air kolam tadahan, petang semalam.
Pengerusi Pembangunan Infrastruktur dan Komuniti Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Saujana Utama, Wan Ismail Hashim, berkata air daripada kolam tadahan melimpah sehingga memasuki rumah penduduk selepas hujan berpanjangan.
Kolam tadahan di kawasan itu tidak pecah seperti kejadian sebelum ini, sebaliknya melimpah apabila tidak dapat menampung air.
"Berdasarkan anggaran awal, kira-kira 200 keluarga di Taman Seri Alam terjejas akibat limpahan air kolam tadahan.
"Paras air berbeza mengikut kawasan. Ada yang separas lutut, tetapi di kebanyakan rumah yang terjejas di Seri Alam, air dianggarkan sedalam kira-kira 0.3 meter," katanya dihubungi.
Wan Ismail berkata, kawasan Saujana Perdana turut mengalami limpahan air, namun setakat petang semalam, air hanya memasuki anjung rumah di kawasan SU4.
Hujan berterusan turut menyebabkan ban parit pecah berhampiran sempadan Eco Grandeur, manakala beberapa kolam tadahan di kawasan sekitar turut penuh.
"Kolam tadahan itu tidak sempat menampung air, manakala aliran keluar ke sungai menjadi perlahan kerana paras air sungai juga sudah tinggi.
"Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) menyediakan dua unit pam yang sudah diaktifkan, masing-masing di Taman Seri Alam dan Saujana Perdana.
"Pam itu menyalurkan air daripada longkang monsun atau kawasan perumahan ke kolam tadahan, namun kesannya tidak begitu ketara kerana paras air kolam sendiri sudah tinggi," katanya.
Pembangunan di kawasan sekitar dan penyelenggaraan saliran turut menyumbang kepada masalah banjir, selain hujan serta air yang tidak sempat mengalir keluar.
Pihak berkaitan perlu memberikan perhatian kepada penyelenggaraan berkala longkang dan sistem saliran, termasuk saliran utama yang menyalurkan air keluar dari kawasan perumahan.
"Pembangunan pun menyumbang juga. Maksudnya, penyelenggaraan longkang ada sedikit menyumbang, tetapi bukan 100 peratus daripada pembangunan.
"Hujan lebat dengan air yang tidak sempat mengalir pun menjadi faktor. Jadi, saya minta pihak berkaitan memberikan perhatian tambahan kepada penyelenggaraan mengikut jadual," katanya.
Wan Ismail berkata, pemantauan bersama MPKS, polis, pejabat daerah dan wakil penduduk diteruskan bagi memastikan keadaan banjir terkawal.
Keadaan banjir dilaporkan semakin beransur baik susulan tindakan agensi berkaitan dengan kerjasama penduduk setempat.
"Alhamdulillah, sekarang (semalam) hujan sudah berhenti. Cuma kita risau kalau hujan lagi, memang air akan naik.
"Setakat ini, saya rasa paras air sudah berkurangan sedikit, tetapi ada kawasan yang airnya masih bertakung dan tidak sempat mengalir keluar," katanya.
Menurutnya, pihak pentadbiran daerah turut bersedia membuka pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Ixora Hillpark sekiranya keadaan banjir bertambah serius dan memerlukan pemindahan penduduk.
KUALA LUMPUR: Beberapa kawasan sekitar Sungai Buloh, Selangor, dilaporkan dilanda banjir awal pagi ini dengan kediaman penduduk dinaiki air.
Antara kawasan yang dilaporkan terjejas ialah Kampung Paya Jaras Hilir, Kampung Kubu Gajah 24 dan Kampung Melayu Subang, berdasarkan perkongsian gambar serta video penduduk di media sosial Threads.
Rakaman yang tular menunjukkan air keruh memenuhi ruang sebuah kediaman di Kampung Paya Jaras Hilir, dengan beberapa penghuni dilihat mengharungi air di dalam rumah.
Seorang penduduk turut memaklumkan ibunya berjaya dibawa keluar dari rumah dengan selamat, manakala paras air mula surut ketika hantaran itu dikongsikan.
Di Kampung Kubu Gajah pula, rakaman memperlihatkan kawasan kediaman dinaiki air sehingga seorang lelaki dilihat meredah banjir pada paras pinggang.
Seorang penduduk mendakwa kejadian itu adalah banjir pertama melanda kawasan berkenaan tahun ini, selepas beberapa kali berdepan banjir teruk pada tahun sebelumnya.
Sementara itu, Kampung Melayu Subang yang baru dilanda banjir pada Isnin lalu turut dilaporkan kembali dinaiki air awal pagi tadi.
Beberapa rakaman di media sosial menunjukkan kawasan kediaman digenangi air, dan dalam satu hantaran seorang warga emas terkandas dalam kediamannya akibat kejadian berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, sebahagian laluan penghubung Kampung Kubu Gajah ke Paya Jaras turut dilaporkan mengalami kerosakan serius apabila permukaan jalan merekah dan terputus.
SHAH ALAM – Ban Sungai Pelempas di Kampung Melayu Subang bakal dinaikkan sehingga satu meter bagi menghalang air melimpah ke kawasan kediaman penduduk ketika hujan lebat.
Langkah segera itu dikenal pasti kerajaan negeri selepas mendapati tebing sungai di kawasan berkenaan tidak lagi mampu menampung aliran air sehingga menyebabkan limpahan air berulang.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim berkata, kerja menaikkan ban antara 0.5 hingga satu meter akan dilaksanakan di beberapa lokasi rendah yang dikenal pasti berisiko.
Katanya, pihaknya sudah meneliti keadaan kawasan terjejas dan akan mendapatkan kelulusan kerajaan negeri bagi membolehkan kerja berkenaan dimulakan segera.
“Di Kampung Melayu Subang, saya sudah tengok dan teliti laporan. Sebenarnya air melimpah di bahagian tebing sungai. Jadi, kita kena naikkan ban.
“Tempat yang dikenal pasti berlaku limpahan dan mempunyai ban rendah akan dinaikkan antara 0.5 hingga satu meter,” katanya ketika ditemui selepas majlis pecah tanah bangunan Ibu Pejabat Lembaga Urus Air Selangor di sini hari ini.
Izham berkata, beliau akan membawa perkara tersebut dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dalam masa terdekat.
“Buat masa ini, anggaran kos bagi tindakan segera ini belum dimuktamadkan, mungkin dijangka menelan belanja dibawah RM1 juta,” jelasnya.
Mengulas Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Buloh yang mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar laporan terkini berkenaan diserahkan Jumaat ini, Izham berkata, RTB Sungai Buloh masih di peringkat awal pelaksanaan selepas peruntukannya diluluskan pada hujung tahun lalu.
Katanya, projek itu memerlukan tempoh empat hingga lima tahun untuk disiapkan kerana membabitkan proses reka bentuk, pengambilan tanah dan pembinaan fizikal.
“Projek ini baru dilaksanakan dan kita baru mendapat bajet. Reka bentuk pun masih di peringkat awal.
“Saya sudah beberapa kali memaklumkan bahawa proses melaksanakan RTB memerlukan masa. Ada proses yang perlu dilalui sebelum kerja fizikal boleh dimulakan,”ujarnya.
Izham berkata, tindakan penguatkuasaan perlu dilakukan di sepanjang sebahagian Sungai Pelempas, Kampung Melayu Subang, berikutan terdapat rumah dibina di atas rizab sungai.
Katanya, fasa kedua projek berkenaan baru mendapat kelulusan untuk tindakan penguatkuasaan minggu lalu membabitkan jajaran beberapa ratus meter.
Beliau berkata, kemungkinan penduduk terjejas hanya dapat dikenal pasti selepas reka bentuk projek dimuktamadkan, namun kerajaan negeri akan cuba meminimumkan kesan pemindahan.
“Rumah di Kampung Melayu Subang terlalu rapat dengan sungai. Sungai pula sudah tidak mampu menampung air sehingga melimpah ke tebing.
“Jadi, kita perlu naikkan ban atau bina tembok banjir (flood wall). Jika penguatkuasaan perlu dilakukan, ia terpaksa dibuat demi kepentingan umum,” katanya.
Dalam pada itu, Izham berkata, kerajaan negeri mengambil pendekatan melaksanakan langkah sementara termasuk menaikkan ban dan memasang pam air di kawasan berisiko sementara menunggu projek RTB disiapkan.
Malah, kerajaan negeri turut menambah peruntukan RM70 juta bagi melaksanakan 255 projek penyelesaian segera (quick win) di seluruh Selangor.
“Projek berkenaan merangkumi pemasangan pam, pembersihan longkang dan parit serta pembaikan tebing sungai runtuh,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE