OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

7 sungai di JB masih kategori paling tercemar

7 sungai di JB masih kategori paling tercemar

JOHOR BAHRU: Tujuh sungai di daerah ini masih berada dalam senarai paling tercemar di negara ini selepas dikesan berada pada tahap pencemaran keempat dan kelima.

Bagaimanapun, jumlah itu menunjukkan penurunan ketara berbanding 2017 apabila sebanyak 28 sungai direkodkan berada pada tahap pencemaran sama.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon, berkata tujuh sungai berkenaan ialah Sungai Sengkuang, Sungai Segget, Sungai Danga, Sungai Tukang Batu, Sungai Kempas, Sungai Pandan dan Sungai Tampoi.

Katanya, bagi menangani masalah itu, satu inisiatif baharu menerusi kerjasama pelbagai agensi dilaksanakan menggunakan kaedah rawatan enzim mesra alam (eco enzyme).

"Sebagai permulaan, inisiatif ini dilakukan di dua lokasi iaitu di Sungai Sengkuang dan Sungai Segget, di bandar raya ini selama dua bulan.

"Dua sungai ini dipilih sebagai projek rintis kerana ia terletak di tengah-tengah bandar raya dan mempunyai jajaran yang lebih pendek berbanding sungai lain.

"Jika campuran 'eco enzyme' ini berjaya meningkatkan kualiti air di kedua-dua sungai berkenaan, usaha ini akan diperluaskan ke sungai-sungai tercemar yang lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Program Pemulihan Sungai Sengkuang, Segget dan Danga di Sungai Sengkuang, Jalan Batik, Taman Sentosa, di sini, hari ini.

Tian Soon berkata sebanyak 500 liter eco enzyme akan dituangkan ke dalam kedua-dua sungai berkenaan mengikut jadual ditetapkan, iaitu setiap Khamis sepanjang tempoh dua bulan.

Katanya, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) akan mengambil sampel air setiap bulan untuk dihantar ke makmal bagi memantau perubahan kualiti air secara berkala.

"Fasa pertama inisiatif ini akan berjalan selama dua bulan dan pemantauan menyeluruh akan diteruskan selama enam bulan.

"Kita yakin inisiatif ini mampu memulihkan kualiti air, sekali gus mengeluarkan sungai-sungai terbabit daripada senarai hitam sungai tercemar di negara ini dan beralih kepada status tahap ketiga," katanya.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search