OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Aplikasi MyDIMS akses pantas maklumat bencana

Aplikasi MyDIMS akses pantas maklumat bencana

KUALA LUMPUR, 11 November – Orang ramai disaran memuat turun aplikasi MyDIMS (Sistem Pengurusan Maklumat Bencana Malaysia) sebagai langkah meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL), selain memudahkan akses kepada maklumat berkaitan bencana.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Dr. Abdul Gapar Hj. Abu Bakar berkata, aplikasi berkenaan menghimpunkan pelbagai kemudahan berkaitan pengurusan bencana dan boleh dimuat turun secara percuma.

“Kita akan memperoleh pelbagai maklumat berkaitan banjir termasuk amaran awal, lokasi pusat pemindahan sementara (PPS) serta navigasi untuk ke pusat berkenaan.

“Saya harap semua rakyat dapat memuat turun aplikasi ini dan cakna dengan keadaan MTL pada kali ini. Dahulu kita perlu merujuk kepada banyak portal seperti InfoBanjir dan sebagainya. Sekarang, melalui MyDIMS, semuanya telah disediakan dalam satu aplikasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, NADMA turut memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi MTL yang bermula pada 27 Oktober lalu dan dijangka berterusan sehingga penghujung Mac 2027.

Sebanyak tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan dijangka berlaku sepanjang tempoh berkenaan, sekali gus berpotensi mengakibatkan banjir terutama di kawasan lembangan sungai dan tanah rendah.

Bagi menghadapi kemungkinan itu, seramai 102,000 anggota daripada pelbagai jabatan teknikal dan agensi penyelamat telah bersiap siaga di seluruh negara, selain kira-kira 40,000 aset operasi termasuk lebih 2,400 bot serta 3,000 kenderaan pacuan empat roda dan lori.

Sebanyak 8,342 PPS turut disediakan di seluruh negara dengan kapasiti menempatkan sehingga 1.9 juta mangsa banjir pada satu-satu masa.

Persediaan lain termasuk penyediaan 170,000 kit makanan sedia dimakan untuk mangsa banjir di PPS serta 60,000 kit makanan bagi membantu mereka selepas dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihatkan supaya mengelakkan kawasan berisiko banjir, khususnya sungai dan jeram yang berpotensi mengalami fenomena kepala air.

Mereka juga disaran menyediakan beg kecemasan yang mengandungi dokumen penting, makanan ringan dan ubat-ubatan bagi memudahkan urusan sekiranya diarahkan berpindah oleh pihak berkuasa.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search