Majlis Penyerahan Jambatan Keluli Bermodular (Bailey Bridge) yang disempurnakan oleh Ketua Pengarah NADMA
- Admin UKK
- Program dan Aktiviti
SG BULOH, 27 Jun 2024 - Telah berlangsung Majlis Penyerahan Jambatan Keluli Bermodular (Bailey Bridge) yang disempurnakan oleh YBhg. Datuk Khairul Shahril bin Idrus, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA). Jumlah jambatan keluli bermodular yang diserahkan adalah 5 (lima) unit yang terdiri daripada 60 unit kontena. 4 (empat) unit telah ditempatkan di Depot Tindak Balas Kemanusiaan Negara (DTBKN) Sungai Buloh, Selangor dan 1 (satu) unit lagi akan ditempatkan di Kem Desa Pahlawan, Kelantan.
Keperluan perolehan jambatan keluli bermodular ini adalah untuk meningkatkan kesiagaan dalam menghadapi dan menangani bencana. Proses perolehan jambatan ini telah mendapat kerjasama baik daripada agensi-agensi yang mempunyai kepakaran teknikal dalam pengoperasian Jambatan Keluli Bermodular iaitu Rejimen Askar Jurutera Darat (RAJD) dan Jabatan Kerja Raya (JKR). Agensi-agensi ini turut terlibat menghadiri Ujian Penerimaan Akhir/ Final Acceptance Test (FAT) yang telah bermula pada 23 Jun dan akan berakhir pada 2 Julai 2024 di DTBKN.
Tujuan FAT ini ialah untuk menerangkan teori, prosedur dan kaedah pemasangan serta peleraian jambatan keluli bermodular yang betul kepada anggota-anggota yang terlibat. Seramai 100 petugas FAT terdiri daripada NADMA, SMART, DSP (Depot Simpanan Pertahanan), RAJD dan JKR.