PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Program dan Aktiviti

Paras air Kolam Bukit Merah menyusut, pesawah rayu jadual bekalan air disemak semula

BAGAN SERAI – Keadaan semasa di Empangan Kolam Bukit Merah di sini terus membimbangkan apabila paras air dilaporkan menyusut dengan ketara susulan cuaca kering berpanjangan yang melanda sejak Mei lalu.

Tinjauan Sinar Harian pada Khamis di Kampung Selamat, Semanggol mendapati permukaan air kolam semakin surut sehingga menampakkan dasar yang retak dan merekah.

Cuaca panas tanpa hujan konsisten sejak beberapa bulan kebelakangan ini menjadikan kawasan sekitar empangan tersebut kelihatan tandus dan membeku.

 

Menurut makluman rasmi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak, Kolam Bukit Merah kini telah berada pada Aras Kritikal Pengairan Tahap 2.

Paras air semasa mencatat bacaan di bawah 23.00 kaki, iaitu tahap yang mewajibkan pelaksanaan langkah pencatuan bekalan air ke kawasan sawah padi secara serta-merta.

Semua pesawah diminta merujuk kepada ketua unit masing-masing bagi mendapatkan jadual terkini berkaitan giliran pembekalan air, bagi memastikan sumber air yang terhad dapat diagihkan secara adil dan cekap ke semua kawasan pertanian terlibat.

Sementara itu, Ketua Unit Peladang Kawasan Parit Haji Ali Beriah, Mohd Zaini Saarani berkata, rata-rata petani meluahkan keresahan mereka terhadap situasi semasa yang kini mengancam kelangsungan hidup, terutama selepas mengalami beberapa musim kegagalan hasil padi sebelum ini.

Katanya, kawasan perairan mereka kini telah mengalami enam musim berturut-turut tanpa hasil padi yang memuaskan akibat kekurangan bekalan air.

“Sekarang sudah masuk 50 hari padi kami ditanam, tetapi masih terbantut. Biasanya kalau cukup air, waktu seperti ini padi sudah mula berbuah. Sekarang tengoklah, rumput pun naik semula. Padi langsung tak beranak,” katanya.
 

Beliau turut meluahkan rasa kecewa apabila kawasan mereka sering menjadi penerima terakhir dalam jadual pengagihan air, menyebabkan kebanyakan air tidak sempat sampai ke sawah.

“Air bukannya tidak dibuka, tetapi apabila sampai, gelung pun belum tenggelam. Maksudnya air itu memang tak sampai ke bendang kami,” jelasnya.

Mohd Zaini turut merayu kepada pihak berwajib agar menyemak semula jadual pelepasan air antara kawasan Semanggol dan kampungnya, dan mencadangkan agar tempoh giliran itu dilanjutkan dari 14 hari kepada sebulan.

“Saya mohon kerajaan semak semula jadual itu. Berilah keutamaan kepada kawasan yang sudah lama tidak mendapat hasil. Kami sudah tidak mampu menanggung kerugian musim demi musim,” katanya.

Empangan Bukit Merah kering, nelayan sungai dan petani terkesan

BAGAN SERAI: Empangan Bukit Merah di sini, mengalami kekeringan akibat kemarau susulan kekurangan hujan di kawasan tadahannya sejak beberapa bulan lalu.

Paras air surut menyulitkan kehidupan nelayan sungai yang selama ini menjadikan empangan tempat mencari rezeki apabila sampan digunakan terkandas di kawasan kering.

Petani sekitar yang selama ini bergantung kepada empangan terbabit sebagai sumber bekalan air untuk kawasan sawah masing-masing turut berdepan masalah apabila tumbesaran padi terbantut.

Ketua Unit Peladang Kawasan Parit Haji Ali Beriah, Mohd Zaini Saarani, mendakwa, sudah enam musim petani di kawasan terbabit berdepan masalah bekalan air hingga menyebabkan mereka sering kerugian.

"Jika dilihat tumbesaran anak padi di sini, keadaannya seperti baru berusia dua minggu sedangkan hakikatnya sudah lebih 55 hari. Jika diikutkan usianya, padi sepatutnya sudah mulai bunting tetapi keadaan itu kini terganggu.

"Dari mula menabur benih sehingga hari ini, kawasan sawah kami hanya dua kali menerima hujan, manakala air dalam parit masuk ke sini pula tiada kerana Empangan Bukit Merah turut kering," katanya.

Mohd Zaini berkata, pelbagai usaha dibuat petani termasuk menggunakan pam bergerak, namun bekalan air masih tidak memadai.

"Puluhan pam bergerak kami guna selain pam dibekalkan agensi berkaitan, namun masih tidak mencukupi. Air dalam parit juga kering, mana lagi kami nak cari bekalan air.

"Jika keadaan ini berterusan, kami mungkin menanggung kerugian lagi musim ini. Walaupun ada bantuan bencana daripada kerajaan, ia tidak boleh menampung pelbagai kos yang kami keluarkan dari mula penanaman padi," katanya.

Mahu tukar tanam sawit

Pesawah, Mat Noor Mat Isa, 61, berkata sekiranya tiada tindakan penyelesaian dari pihak berkuasa, mereka mungkin menukar tanaman padi diusahakan selama ini kepada tanaman kelapa dan sawit.

"Jika dulu kami mampu peroleh purata 3.5 tan padi bagi sehektar sawah, sekarang nak dapat 500 kilogram pun belum pasti.

"Sekarang kos mengusahakan sawah padi semakin tinggi, dari kos beli benih, racun, upah dan kos jentera, kami tidak mampu lagi terus menanggung kerugian setiap musim," katanya.

Beliau berkata, kerajaan perlu menyegerakan projek pemindahan air dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah atau membina sebuah lagi empangan baharu di sini bagi menampung keperluan sawah padi.

 

Bomba puji tindakan berani penduduk bantu padam kebakaran elak api merebak

PUTRAJAYA - Tindakan pantas penduduk membantu memadam kebakaran dalam bilik sebuah unit kediaman kuarters kerajaan di Presint 11 di sini berjaya mengelakkan api daripada terus merebak pada Khamis.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Putrajaya, Abdul Manaf Che Isa berkata, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Presint 7 dan BBP Presint 14 dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan pada jam 3.37 petang.

Menurutnya, pasukan operasi yang tiba mendapati berlaku kebakaran rak baju di dalam bilik.

"Api tersebut telah cuba dipadamkan oleh penghuni bangunan menggunakan sistem 'riser' yang terdapat di bangunan sebagai langkah awal sebelum ketibaan bomba.

 

"Tindakan ini sangat berani, sangat praktikal yang mana ia boleh mengurangkan kebakaran merebak," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, tiada mangsa dilaporkan dalam insiden ini.

Tambahnya, anggota operasi telah melaksanakan pemadaman dan pencegahan sehingga kebakaran dipadamkan sepenuhnya.

"Operasi tamat sepenuhnya pada jam 4.49 petang," ujarnya.

Eight transit homes completed in Melaka constituencies

MELAKA: A total of eight transit homes, costing RM560,000, have been completed by the Melaka Housing Board (LPM) in eight state legislative assemblies (DUN) as of mid-July.

The homes are located in Tanjung Bidara, Paya Rumput, Taboh Naning, Merlimau, Duyong, Lendu, Pengkalan Batu, and Pantai Kundur.

The ‘One DUN, One Transit House’ initiative, previously called ‘Rumah Bencana,‘ was launched in 2023 to provide temporary shelter for those affected by disasters such as fires, floods, and storms.

Housing, Local Government, Drainage, Climate Change and Disaster Management Committee deputy senior exco Datuk Zulkiflee Mohd Zin said, “Currently, there is another transit home in the construction process in the Serkam constituency, while in other DUNs, they will be built in stages.”

Zulkiflee suggested that the transit homes be built near or within the area of the State Legislative Assembly Development and Coordination Committee (Japerun) Office for better monitoring and management.

He spoke after officiating the Duyong DUN Transit Home handover ceremony, attended by Duyong assemblyman Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.

Each transit home costs RM70,000, with free accommodation and utility bills covered by Japerun.

Zulkiflee added, “We are hoping that the construction of transit homes will be completed soon in all 28 state assemblies in Melaka so that it can be used by the people in need.”

Mohd Noor Helmy said the homes help ease the burden of disaster victims while providing emotional support.

“The period for those placed in the transit home is a maximum of one month so that more people in need can be given temporary protection,“ he said. - Bernama

Bumbung rumah anggota bomba tercabut dilanda angin kencang

KOTA SAMARAHAN, 17 Julai: Bumbung sebuah rumah milik anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan tercabut akibat dilanda angin kencang dalam kejadian yang berlaku di Kampung Niup, petang tadi.

Menurut laporan, insiden tersebut berlaku sekitar jam 5.06 petang dan melibatkan rumah milik Saiful Bahari Saini.

Ketika kejadian, terdapat tujuh penghuni di dalam rumah tersebut, dua lelaki dan empat wanita, namun tiada kecederaan dilaporkan.

Komander Operasi, Justin Basik memaklumkan bahawa pasukan tiba di lokasi pada jam 5.29 petang dan memulakan operasi pemeriksaan serta penilaian kerosakan.

“Bumbung rumah dilaporkan tercabut dengan sebahagiannya mengalami kerosakan teruk akibat tiupan angin kencang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, setelah memastikan keselamatan penghuni dan keadaan terkawal, pasukan bomba menamatkan operasi pada jam 5.55 petang.-TVS

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search