KUALA LUMPUR: Jabatan MeteorologiMalaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir dan angin kencang di kebanyakan negeri sehingga 6 petang ini.
Menerusi amaran cuaca yang dikeluarkan pada jam 2.30 petang tadi, MetMalaysia memaklumkan negeri terbabit ialah seluruh Perlis, di Kedah (Langkawi, Kuala Muda, Sik dan Baling) dan Perak (Hulu Perak).
Amaran sama turut dikeluarkan bagi seluruh negeri Terengganu, di Kelantan (Jeli, Tanah Merah dan Kuala Krai), manakala Pahang (Kuantan).
Selain itu, di Sarawak membabitkan Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei (Sarikei dan Meradong), Mukah (Tanjung Manis dan Daro) dan Miri (Telang Usan), serta di Sabah membabitkan pedalaman, Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu dan Tuaran) dan juga Tawau.
Orang ramai boleh merujuk media sosial rasmi dan laman web www.met.gov.my untuk informasi cuaca terkini yang pantas dan tepat.
Tragedi Putra Heights: SPNB perlu pengesahan PDT Petaling sebelum bina semula 81 rumah yang musnah
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) akan mendapatkan pengesahan dan persetujuan daripada pemilik dan Pejabat Daerah Dan Tanah (PDT) Petaling sebelum memulakan kerja pembinaan kediaman yang musnah sepenuhnya dalam insiden kebakaran dan letupan saluran paip gas di Putra Heights.
Ketua Pegawai Eksekutif SPNB, Mohd Jamil Idris, berkata bagi pembinaan 33 unit kediaman di Kampung Kuala Sungai Baru, pihaknya perlu mendapatkan pengesahan dan membuat semakan silang dengan PDT terlebih dahulu.
"Bagi pembinaan 48 unit kediaman di Taman Putra Harmoni, kita masih lagi menunggu pengesahan daripada pemilik.
"Kita beri ruang kepada pemilik rumah kerana kita percaya, pemilik masih ada insurans. Buat masa ini, bagi rumah teres, SPNB melaksanakan kerja-kerja awalan dahulu.
"Setakat ini, SPNB akan melaksanakan pembinaan atas persetujuan tuan tanah dan pemilik," katanya kepada BH hari ini.
Semalam, Buletin TV3 melaporkan, SPNB akan membina semula 81 kediaman yang musnah sepenuhnya dalam insiden kebakaran dan letupan saluran paip gas di Putra Heights, dengan kos dibiayai oleh kerajaan.
Pembinaan yang dilaksanakan menerusi Pelan Tindakan Pemulihan dan Pembinaan Semula yang diumumkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, kelmarin membabitkan 48 unit di Taman Putra Harmoni, manakala 33 lagi di Kampung Kuala Sungai Baru.
Setakat ini, tiga mesyuarat pengurusan bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta agensi terbabit sudah diadakan, selain beberapa siri lawatan ke lokasi dan beberapa kontraktor akan dibawa ke tapak kejadian untuk mengemukakan pandangan serta cadangan.
Mengenai sama ada pemilik perlu membayar kos kediaman itu, Mohd Jamil, berkata setakat yang diputuskan, ia adalah bantuan bina baharu daripada pihak kerajaan dengan SPNB sebagai agensi pelaksana.
"Pihak SPNB akan melaksanakannya berdasarkan peruntukan yang akan disalurkan untuk pemilik terbabit dalam bentuk pembinaan rumah di bawah skim SPNB.
"Bagaimanapun, jenis rumah yang akan dibina masih belum ditetapkan lagi dan ia bergantung kepada laporan akhir yang akan dikemukakan di peringkat kementerian, minggu depan," katanya.
Tragedi Putra Heights: Air Selangor beri rebat satu bulan bil kepada pelanggan terjejas
- Admin UKK
- Berita
SHAH ALAM: Pelanggan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) yang terjejas dalam insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya pada 1 April lalu, akan dikecualikan bayaran bil air bagi bulan Mac.
Air Selangor dalam satu kenyataan, memaklumkan rebat sebanyak 100 peratus untuk satu bulan secara 'one-off' itu diberikan bagi membantu meringankan beban pelanggan terbabit.
Selain itu, syarikat utiliti itu turut menyediakan beberapa bantuan lain seperti tidak mengenakan caj bagi penyambungan semula bekalan air untuk rumah yang mengalami gangguan air akibat kebakaran terbabit.
"Bantuan lain yang disediakan adalah tiada caj minimum dikenakan ke atas premis yang tiada penggunaan air dalam satu tempoh hingga diputuskan kemudian.
"Air Selangor akan terus mengikuti perkembangan di kawasan terjejas dan komited membantu pelanggan kami di Putra Heights yang terbabit mengikut keperluan semasa," katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Pelanggan yang terkesan diminta menghubungi wakil Jabatan Khidmat Pelanggan Yasmin Hood di talian 019-2883897 bagi mengetahui maklumat lanjut berhubung bantuan yang disediakan.
YANGON - Gempa bumi berukuran 5.0 skala Richter melanda kawasan tengah Myanmar kira-kira 10.59 pagi waktu tempatan pada Jumaat, lapor agensi berita Xinhua memetik Jabatan Meteorologi dan Hidrologi (DMH) negara itu.
Menurut laporan, pusat gempa berada pada kedalaman 10 kilometer dan terletak kira-kira lima batu ke tenggara bandar Wundwin di wilayah Mandalay. - Bernama-Xinhua
Sebanyak 190 rumah yang terjejas akibat insiden letupan dan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights di sini sudah diduduki semula.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, sebanyak 12 agensi sahabat teknikal termasuk
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan kerja-kerja siasatan, pemulihan dan penilaian di kawasan terjejas.
Menurutnya, antara agensi lain yang terlibat ialah Petronas, Koridor Utiliti Selangor (Kusel), Air Selangor, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Indah Water, Telekom Malaysia (TM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Syarikat Perumahan Negara Sdn Bhd dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
“Setakat ini sebanyak 487 rumah yang terjejas sudah diperiksa. “Daripada jumlah itu, 328 rumah dibenarkan masuk manakala rumah yang sudah diduduki sebanyak 190 rumah,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau berkata, selain itu, sebanyak 306 rumah yang terjejas sudah dibekalkan tenaga elektrik oleh pihak TNB. “Kita juga menerima sebanyak 741 laporan polis berkaitan insiden ini.
“Op Gas ini dilaksanakan dengan kekuatan 697 orang daripada 18 agensi dengan kekuatan PDRM termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA) ialah seramai 169 orang.
“Pihak PGA masih membuat kawalan keselamatan 24 jam di kawasan yang terjejas untuk memastikan harta benda yang ditinggalkan mangsa berada dalam keadaan selamat,” katanya.
Insiden yang berlaku pada 1 April itu mengakibatkan kerosakan rumah dianggarkan berjumlah RM65.4 juta termasuk kos untuk pendawaian.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dilaporkan berkata, tindakan pantas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ketika kejadian berjaya menyelamatkan aset bernilai lebih RM285.9 juta.