KUANTAN – Menjelang Monsun Timur Laut (MTL) dijangka bermula esok, hampir semua penduduk di daerah ini sudah melakukan persiapan menghadapi banjir.
Meskipun sudah ibarat rutin tahunan bagi warga Pantai Timur, langkah berjaga-jaga tetap diambil bagi mengelak kerugian harta benda dan nyawa akibat bencana alam itu.
Tinjauan MalaysiaGazette ke Kampung Belukar dan Kampung Razali di sini ramai yang sudah mula mengalihkan barang kelengkapan di rumah ke aras lebih tinggi seperti menyediakan para khas di dalam rumah.
Salah seorang penduduk, Mariam Jusuh, 55, berkata, perkara pertama yang akan difikirkan menjelang MTL adalah mesin dan peralatan mengadun kuih miliknya.
“Saya berniaga sejak 34 tahun lepas. Setiap tahun kita selamatkan barang kuih sebab nak dapat tu bukan senang. Itu pun minta bantuan. Sumber rezeki kami anak beranak,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini hari ini.
Mariam yang menetap di rumah tersebut bersama tiga anak dan seorang cucu memaklumkan mereka paling terkesan ketika kejadian banjir pada tahun 2013 di mana air naik sehingga ke paras dada dan mereka tinggal sehelai sepinggang.
“Cuma tinggal pakaian harian sahaja seperti baju dan juga peti ais. Saya memang buat para tinggi sikit untuk letak barang. Selain itu, ada lapik kerusi jugak untuk bagi tinggi,” katanya.
Disebabkan rumahnya sudah biasa terkena banjir, dia yang berasal daripada Kemaman, Terengganu itu tidak lagi membeli perabot dan barangan elektrik.
Sementara itu, sepasang suami isteri, Razali Muda, 49, dan Norsiza Mohd Nor, 43, sudah mempersiap para di dalam rumah untuk mengalihkan barang-barang yang ringan ke tempat tinggi.
“Kita pun sudah bungkus dalam plastik seperti pakaian dan barang-barang ringan lain,” kata Norsiza.
Dia memberitahu, rumah itu merupakan pusaka tinggalan keluarga suaminya dan terletak bersebelahan Sungai Belat.
Bercerita lanjut, Norsiza yang bekerja menjual kuih turut berkongsi pengalamannya membuat kuih dalam keadaan rumah dilanda banjir.
“Saya meniaga kuih ketayap dan onde-onde sejak dua tahun lalu dan pernah buat kuih semasa banjir. Sampaikan pacat atau lintah gigit saya. Saya menjerit panggil suami. Saya tak tahu, ingat binatang apa yang duduk main dekat jari kaki.
“Tapi nak tak nak kena buat juga walaupun air naik. Saya harapkan pendapatan melalui jualan kuih, suami kerja sendiri. Kerja sendiri pun tak menentu, kuih pun kadang habis, kadang tidak,” katanya lagi.
Justeru, dia dan suami berharap agar tidak berlaku banjir buruk pada tahun ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) semalam meramalkan MTL akan bermula pada 5 November dan berterusan sehingga Mac 2025 di mana jangkaan lima hingga tujuh episod hujan lebat berlaku sepanjang tempoh itu. – MalaysiaGazette
PUTRAJAYA - Kementerian Luar hari ini mengesahkan bahawa tiada rakyat Malaysia terjejas secara langsung akibat banjir yang melanda Valencia dan kawasan sekitarnya di Sepanyol sejak 29 Oktober lalu.
Dalam nasihat terkininya, kementerian turut menasihati rakyat Malaysia yang berada di kawasan terjejas agar terus berwaspada dan mematuhi arahan serta nasihat yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.
Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan diminta agar sentiasa berhubung rapat dengan pihak kedutaan serta digalakkan untuk mendaftar kehadiran mereka melalui platform E-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my/ bagi mendapatkan maklumat dan bantuan.
Bagi bantuan konsul, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Madrid di Ave. de los Madroños 63B, 28043 Madrid, melalui telefon di talian +34659894943 (24 jam) atau melalui e-mel di Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..
Lebih 200 orang dilaporkan terkorban dalam bencana banjir yang disifatkan sebagai yang terburuk di Sepanyol dalam beberapa dekad.
Pasukan penyelamat terus menjalankan operasi di tempat letak kereta bawah tanah dan terowong dalam usaha mencari mangsa yang terselamat serta mengeluarkan mayat, menurut laporan media. - Bernama
NDRC UMS hadiri Persidangan APMCDRR
- Admin UKK
- Berita
Kota Kinabalu : Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC) memperkukuhkan komitmen dalam penyelidikan dan pengurusan bencana apabila terlibat dalam Persidangan ‘Asia Pacific Ministerial Conference on Disaster Risk Reduction’ (APMCDRR) 2024 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Manila, Filipina baru-baru ini.
Persidangan anjuran United Nations Office for Disaster Risk Reduction (UNDRR) dengan kerjasama Kerajaan Filipina itu disertai Pengarah NDRC UMS, Prof. Madya Ts. Gs. Dr. Carolyn M. Payus sebagai delegasi rasmi Malaysia di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut Carolyn, penglibatan NDRC dalam persidangan ini amat penting bagi memindahkan pengetahuan dan kemahiran pengurusan bencana di peringkat Asia Pasifik serta mengetengahkan penyelidikan dan kerjasama antarabangsa yang dijalankan oleh UMS.
“Penyertaan dalam APMCDRR 2024 memperkukuhkan hubungan antara NDRC, UMS dan NADMA, di samping meningkatkan kerjasama penyelidikan rentas negara dalam pengurusan risiko bencana.
“Penglibatan ini juga membantu mengemas kini kerjasama sektoral pada peringkat antarabangsa,” jelas Carolyn.
Beliau turut menekankan bahawa persidangan empat hari ini memberi peluang kepada NDRC untuk berkongsi pengalaman serta membincangkan strategi pengurusan bencana dengan pihak lain, terutamanya yang berkaitan dengan isu perubahan iklim.
“Sesi plenari, sesi kerja dan acara tumpuan turut membolehkan peserta bertukar idea serta melihat pendekatan pengurangan risiko bencana (DRR) inovatif yang diamalkan oleh negara-negara lain.
“Salah satu inisiatif Malaysia yang diketengahkan dalam persidangan ialah pelaksanaan Community Based Disaster Risk Management (CBDRM) oleh komuniti di Mesilau, Kundasang, yang menjadi model pengurusan risiko bencana berasaskan komuniti di negara ini,” ujar beliau.
Turut hadir ialah Ketua Pengarah NADMA, Datuk Khairul Shahril Idrus; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Dato’ Ismail Mohd Zawawi; serta Pegawai Penyelidik NDRC UMS, Eldawaty Madran.
Paiporta, Sepanyol: Pasukan penyelamat pada Jumaat berkata, angka kematian akibat banjir terburuk di Sepanyol 'dalam satu generasi' meningkat kepada 205 orang, ketika lebih ramai tentera dikerahkan mencari mangsa terselamat.
Banjir yang menghanyutkan kenderaan, meruntuhkan jambatan dan menenggelamkan bandar dengan lumpur sejak Selasa lalu, adalah bencana terburuk melanda negara Eropah itu dalam tempoh beberapa dekad.
Organisasi menyelaraskan perkhidmatan kecemasan di wilayah Valencia di timur negara itu yang paling teruk terjejas akibat banjir berkenaan, mengesahkan 202 orang meninggal dunia.
Pegawai wilayah Castilla-La Mancha dan Andalusia di selatan pula mengumumkan tiga kematian di kawasan mereka.
PUCHONG: Kawasan kejadian tanah runtuh pada 16 Disember tahun lalu di Taman Wawasan, di sini sudah boleh kembali didiami oleh penghuni sembilan kediaman yang terjejas berikutan insiden itu.
Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Petaling, Huzunul Khaidil Mohammed selepas lawatan rasmi bersama-sama pelbagai agensi berkaitan pada 28 Oktober lalu.
Beliau berkata, keputusan mengisytiharkan Taman Wawasan sebagai bebas bencana dan insiden tanah runtuh dibuat berdasarkan pandangan dan nasihat yang diterima daripada agensi terbabit selain mengambil kira laporan teknikal daripada Bahagian Kejuruteraan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).
"Saya mengisytiharkan kawasan Jalan Wawasan 3/9, Taman Wawasan, Puchong bebas bencana tanah runtuh dan semua keluarga terlibat boleh berpindah masuk ke kediaman masing-masing berkuat kuasa hari ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Kinrara, Ng Sze Han berkata, kos keseluruhan kerja pembaikan kawasan tanah runtuh itu berjumlah RM12.12 juta membabitkan dua fasa utama iaitu penstabilan sementara dan penstabilan kekal, bermula dari 17 Dis 2023 hingga 24 Okt 2024.
"Pada 15 Mei 2024, kerja penstabilan kekal telah bermula dan mengambil masa lebih kurang enam bulan... siap sepenuhnya dalam tempoh kurang dari satu tahun untuk kawasan runtuhan yang besar, yang turut melibatkan pembinaan 'gabion wall' dan penstabilan semula cerun," kata Sze Han yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor pada sidang media perkara berkenaan di sini hari ini.
Beliau berkata, sebelum ini terdapat empat keluarga memilih untuk tinggal sementara di kuarters MBSJ manakala lima lagi memilih menetap bersama saudara dan kini semua penghuni sembilan rumah boleh kembali ke kediaman mereka.
"Saya sudah dimaklumkan pada masa ini semua penduduk sedang sibuk membersihkan kediaman mereka untuk berpindah kembali dalam masa terdekat. Kediaman mereka dijamin selamat dan boleh kembali bila-bila masa bermula hari ini," katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kejuruteraan MBSJ Dr Mohd Ariffuddin Kamari berkata, untuk kerja penyelenggaraan dan penyiasatan di tapak runtuhan, pihak MBSJ sudah mengarahkan pemaju dan pemilik tanah memeriksa kesemua keadaan.
"Pihak MBSJ juga mengarahkan pemaju dan pemilik tanah untuk menyemak parit utama serta semakan berkala di sepanjang jajaran parit utama dari Tasik Wawasan ke Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan ia masih lagi kukuh," katanya.
Pada 16 Disember 2023, kejadian tanah runtuh membabitkan kawasan longkang monsun sedia ada dan cerun di kawasan tersebut berlaku susulan intensiti hujan yang sangat tinggi, 95.5 milimeter (mm).
Insiden sudah membabitkan runtuhan seluas 0.872 hektar dan mengakibatkan sembilan rumah terjejas dengan penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Dewan Serbaguna MBSJ, Laman Puteri 3, di sini.
Sebanyak empat kenderaan turut tertimbus dalam runtuhan, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan. - BERNAMA