Kuala Lumpur: Seramai 1,968 mangsa membabitkan 480 keluarga dipindahkan ke enam pusat pemindahan sementara (PPS) berikutan banjir yang melanda tiga daerah sekitar Selangor, malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, daerah terjejas adalah Shah Alam, Gombak dan Kuala Selangor.
"Seramai 1,968 mangsa daripada 480 keluarga diselamatkan oleh pasukan bomba yang ke lokasi bagi operasi banjir.
"Mereka ditempatkan di enam PPS dibuka di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Seri Pagi, Paya Jaras; Dewan Kenanga; Dewan MBSA Bunga Matahari; Dewan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Seri Kundang; Sekolah Rendah Agama Kuang; Sekolah Kebangsaan Desa Aman," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, seramai 54 anggota dari enam Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh, Bestari Jaya, Selayang, Batu Arang, Bukit Jelutong serta Dengkil terbabit operasi berkenaan.
Katanya, pemantauan turut dilakukan di Kampung Sri Aman, Taman Saujana Aman, Kampung Parit Mahang di Kuala Selangor; Sungai Buah, Jambatan Sekolah Vokasional, Revolusi Hijau dan Pasar Dengkil di Sepang.
"Selain itu, Kampung Selayang Baru, Kampung Laksamana, Indian Sattlement di Selayang; Taman Rahmat Jaya Kundang, Lorong Utama 1, Lorong Setia 7, Kampung Melayu Sri Kundang, Lorong Haji Talib, Kampung Gombak dan Kampung Bunga Raya di Gombak," katanya.
JAKARTA: Gunung berapi paling aktif di Indonesia, Gunung Merapi, mengeluarkan 21 aliran lahar ke arah barat daya pada Khamis, menurut Pusat Penyelidikan dan Pengembangan Teknologi Kebencanaan Geologi, lapor Xinhua.
“Aliran lahar bergerak menuju Kali Bebeng, mencapai sehingga 1,500 meter,” kata Ketua Pusat, Agus Budi Santoso.
Pusat itu menggesa orang ramai untuk mengelakkan sebarang aktiviti di zon bahaya yang mungkin terjejas oleh aliran lahar dan awan panas.
“Data pemantauan menunjukkan bekalan magma masih berterusan, yang boleh mencetuskan awan panas dalam kawasan berpotensi bahaya,” kata Santoso.
Zon bahaya meliputi sehingga tujuh kilometer di sektor selatan-barat daya dan tiga kilometer ke tenggara gunung berapi. Sekiranya berlaku letusan letupan, bahan gunung berapi boleh mencapai sehingga tiga kilometer dari puncak.
Terletak di Jawa Tengah dan Yogyakarta, gunung berapi setinggi 2,968 meter ini kini berada di Tahap III, atau status waspada.