PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Program dan Aktiviti

Banjir: Helikopter AW189 bantu lancar operasi JBPM di Pantai Timur

Marang: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menempatkan sebuah helikopter AW189 bersama kru di Akademi Bomba Dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Wakaf Tapai, dekat sini, sebagai persiapan menghadapi banjir di Pantai Timur.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad, berkata langkah itu bertujuan bagi memastikan pasukan dapat digerakkan lebih cepat jika banjir berlaku di luar jangkaan.

Menurutnya, kebimbangan mereka adalah Disember nanti berikutan ramalan oleh METMalaysia iaitu ada lima ke enam siri lagi hujan lebat yang dijangka berlaku.

"Banjir yang berlaku sekarang adalah siri pertama dan lima ke enam siri yang dijangka berlaku dengan angin sejuk datang dari Siberia.

"Angin ini membawa kepada berlakunya angin kencang selain taburan hujan lebat berlaku di lokasi tertentu." katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Tamat Latihan Kursus Sijil Kebombaan (KSSK) Siri 1/2024, di Akademi Bomba Dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Wakaf Tapai, dekat sini, hari ini.

Selain itu katanya, kebimbangan JBPM mengenai lokasi hujan terutama di lokasi yang dikategori sebagai sudah tepu air berikutan mengalami gelombang pertama banjir.

"Sekiranya berlaku siri baru banjir ia akan mengakibatkan kenaikan air lebih mendadak, selain kita juga bimbang hujan lebat bertembung dengan air laut pasang besar yang dijangka pada 27 dan 28 November serta pada 15, 16 dan 17 Disember yang mana kita memberi tumpuan utama.

"Jadi untuk persediaan di Pantai Timur kita menggerakkan helikopter AW189 bersama kru bagi melancarkan operasi JBPM apabila berlakunya banjir di luar jangkaan," katanya.

Mengulas mengenai pembekuan cuti anggota dan pegawai beliau berkata, buat masa ini cuti dibekukan hanya 20 peratus sahaja.

"Kita juga keluarkan arahan pada minggu lalu kepada semua pengarah negeri yang teebabit dengan banjir untuk bersiap sedia dan (pengarah negeri) akan mengeluarkan arahan pembekuan cuti sepenuhnya sekiranya berlaku banjir," katanya.

Menurutnya, pembekuan cuti khususnya kepada lima pengarah negeri utama iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan juga Sarawak selain pertukaran shif daripada 12jam kepada 24 jam yang melibatkan kira-kira 6,000 pegawai dan anggota.

 

Harap bukit, cerun berisiko tanah runtuh diselenggara – Orang Asli Pos Tuel

GUA MUSANG: Bagi masyarakat Orang Asli Pos Tuel, di sini, banjir besar yang berlaku 10 tahun lalu menjadi mimpi ngeri apabila mereka terkandas di penempatan dan terputus bekalan makanan susulan cerun runtuh dan hakisan tanah serius.

Menurut penduduk, terdapat empat kawasan sepanjang laluan dari Pos Hendrop ke Pos Tuel berisiko mengalami hakisan bukit dan cerun runtuh sekiranya hujan berterusan.

Justeru, lebih 1,000 penduduk Orang Asli kaum Temiar yang tinggal di Pos Tuel, di sini, merayu supaya pihak berwajib dapat menyelenggara dan membaik pulih kawasan cerun terbabit.

Menurut seorang penduduk Pos Tuel, Abang Along, 52, hampir setiap tahun penduduk di kawasan pedalaman itu berhadapan dengan kejadian cerun runtuh sehingga menyebabkan mereka terputus hubungan pada musim tengkujuh.

“Sehingga kini penduduk masih trauma dengan kejadian runtuhan tanah ketika banjir pada 2014 apabila kami semua terkandas serta terputus bekalan makanan apabila tidak dapat keluar ke bandar.

“Dalam kejadian yang berlaku pada 10 tahun lalu itu, penduduk hanya makan ubi kayu setiap hari apabila bekalan tidak sampai ke perkampungan kami.

“Sekarang ini jika hujan berterusan dalam tempoh satu minggu akan mengakibatkan tanah runtuh. Kami mohon pihak berkaitan tolong pantau keadaan permukaan cerun di kawasan laluan kampung kami sebelum berlaku bencana tidak diingini,” katanya ketika ditemui di Pos Tuel, di sini.

Bagi Penghulu Kampung Hanir, Pos Tuel, Razak Rongging, setiap tahun penduduk Orang Asli yang menggunakan jalan dari Pos Hendrop ke Pos Tuel itu berasa tidak selamat apabila diancam hakisan dan cerun runtuh setiap kali tibanya musim tengkujuh.

“Apabila berlaku tanah runtuh kami susah hendak keluar untuk ke bandar Gua Musang dan menghantar anak ke Sekolah Kebangsaan (SK) Hendrop kerana ia satu-satunya laluan utama untuk keluar dari perkampungan ini.

“Apabila hujan kami juga rasa tidak selamat untuk melaluinya kerana bimbang berlaku hakisan atau runtuhan tanah secara tiba-tiba.

“Kami berharap pihak berwajib termasuklah agensi berkaitan sama ada kerajaan negeri atau pusat dapat mengambil tindakan segera membaik pulih kawasan cerun berbahaya kerana ini melibatkan nyawa penduduk,” katanya.

Razak berkata, antara penduduk yang sering menggunakan laluan jalan Pos Tuel itu ialah yang tinggal di Kampung Tuel, Kampung Hanir, Kampung Plug, Kampung Ber dan Kampung Kerbok.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim mengakui setiap tahun kawasan penempatan Orang Asli seperti Tanah Tinggi Lojing dan pos pedalaman terdedah dengan ancaman hakisan bukit dan cerun runtuh.

Katanya, ada beberapa lokasi ‘hot spot’ tanah runtuh seperti di kawasan Tanah Tinggi Lojing, Pos Tuel dan Pos Balar.

“Antara kawasan ‘hot spot’ ialah di jalan Gua Musang-Lojing, Pos Hendrop-Pos Tuel dan jalan masuk ke Pos Balar iaitu Bukit Kelabu dan Bukit Pasir yang sering berlaku tanah runtuh.

“Saya berharap agensi berkaitan dapat segerakan penyelenggaraan kerana kita bimbang masyarakat Orang Asli terkandas serta terputus jalan perhubungan untuk keluar mendapatkan bekalan makanan mereka,” katanya.

Penduduk pesisir pantai 'bedah air' elak banjir

KEMAMAN - Aktiviti membuka aliran air bertakung atau lebih dikenali sebagai 'bedah air' oleh penduduk setempat dilakukan bagi mengelak ia melimpah di kawasan rumah penduduk berdekatan pesisir pantai sepanjang musim tengkujuh.

Baru-baru ini tular di media sosial video yang dikongsikan oleh seorang penduduk, Mohd Azahrul Ab Rami, 36, mengenai aktiviti tersebut yang dilakukan bersama kira-kira 20 rakannya dekat Pantai Taping, Kemasik, di sini pada Jumaat lalu.

Menurut Mohd Azahrul, selain dikenali sebagai 'bedah air' penduduk kampung turut menggelar aktiviti itu sebagai 'korek alur' bagi membuka laluan air bertakung untuk dilepaskan ke kawasan pantai.

"Apabila strukturnya telah berubah dan tiada tempat untuk mengalir, ia akan melimpah.

"Kalau hujan tak berhenti selama dua hari, air akan bertakung dan melimpah ke rumah penduduk yang tinggal berdekatan kawasan itu.

"Sebab itulah kita akan buka laluan air bagi memastikan tidak berlaku banjir di kawasan rumah yang berdekatan," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Menurutnya, mereka perlu menunggu selama dua hingga tiga hari agar takungan air tersebut habis mengalir ke pantai.

"Memandangkan jarak antara takungan air dengan kawasan pantai sejauh 12 meter, kesempatan yang ada ketika air mula-mula dilepaskan akan digunakan oleh anak muda di kawasan ini bermain air.

"Ada yang melakukan pelbagai gaya dan aksi seperti meluncur, meniarap dan lain-lain lagi. Masing-masing seronok dapat bermain air kerana situasi itu bukan sering terjadi.

"Selain bermain air, mereka juga mengambil kesempatan untuk menangkap ikan yang terdapat dalam takungan air tersebut," ujarnya.

Menurutnya, terdapat beberapa kawasan lain dekat Pantai Taping yang mengalami situasi sama di mana ia membentuk takungan air hujan.

Katanya, kawasan tersebut akan kembali dipenuhi air bergantung kepada taburan hujan.

"Selepas air dilepaskan ke pantai, jika ombak pasang besar, alur yang dibina akan tertutup kembali dan air akan kembali bertakung lagi.

"Situasi itu akan berlaku antara tiga hingga empat kali sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL)," katanya.

Amaran ribut petir di 9 negeri, Putrajaya dan Labuan

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di sembilan negeri serta Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan hingga 6 petang ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan di portal MetMalaysia, negeri yang terlibat adalah Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
 
Sementara itu, di Kedah, amaran membabitkan daerah Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu; Perak (Kerian, Larut, Matang, Selama dan Kuala Kangsar); Selangor (Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang).
 
Sarawak (Sibu, Bintulu, Miri dan Limbang) dan Sabah (Pedalaman Barat, Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran, Kota Belud dan Tawau).
Menurut MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila berlaku tanda-tanda yang menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang dijangka berlaku melebihi sejam.
 
 

10 daerah di Johor berdepan bencana banjir bermula esok

PETALING JAYA – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan ramalan awal banjir melibatkan 10 daerah di Johor susulan hujan yang dijangka berterusan bermula esok sehingga 29 November ini.

JPS dalam kenyataan di Facebook berkata, beberapa kawasan di Segamat membabitkan Lembangan Sungai Muar dijangka terkesan dengan bencana tersebut.

“Di Kluang membabitkan Lembangan Sungai Endau (Sungai Kahang, Mengkibol, Melantai, Tekedai, Air Tawar 3, Palas, Endau, Parit Besar Semanyir, Padang dan Sembrong Besar).

“Selain itu, di Lembangan Sungai Benut (Sungai Berumbung, Ulu Benut, Machap, Linau dan Benut) serta Lembangan Sungai Johor (Sungai Sayong),” katanya.

Antara daerah lain yang berdepan risiko banjir adalah Mersing membabitkan Lembangan Sungai Mersing (Sungai Derhaka, Mersing, Air Merah dan Parit Tadahan Pengkalan Batu) serta Lembangan Sungai Tenglu Besar (Sungai Tenglu Kecil dan Tenglu Besar).

“Bagi Kulai pula, ia tertumpu di Lembangan Sungai Pontian Besar (Sungai Pontian Besar, Ayer Hitam, Ulu Pontian Besar dan Rambutan), Lembangan Sungai Skudai serta Lembangan Sungai Tebrau,” ujarnya.

JPS memberitahu, Kota Tinggi juga dijangka mengalami banjir membabitkan Lembangan Sungai Johor (Sungai Mas, Johor, Kepala Orang, Pemandi, Lalang, Telor, Chemaran, Kemang dan Sayong), Lembangan Sungai Sedili Besar, Lembangan Sungai Rengit serta Lembangan Sungai Sepang.

“Di Johor Bahru, keadaan sama melibatkan kawasan sekitar Lembangan Sungai Pulai, Lembangan Sungai Skudai dan Lembangan Sungai Tebrau.

“Di Muar pula membabitkan kawasan Lembangan Sungai Muar dan Lembangan Sungai Sarang Buaya manakala di Tangkak membabitkan Lembangan Lembangan Sungai Muar dan Lembangan Sungai Kesang serta Lembangan Sungai Batu Pahat di Batu Pahat,” katanya.

Sementara itu, JPS juga mengeluarkan ramalan awal banjir di daerah Pontian merangkumi Lembangan Sungai Pulai, Lembangan Sungai Pontian Besar, Lembangan Sungai Benut, Lembangan Sungai Sanglang, Lembangan Sungai Penerok, Lembangan Sungai Pontian Kecil dan Lembangan Sungai Ayer Baloi.

“Pihak JPS akan membuat pemantauan berterusan dan mengemaskini hebahan amaran banjir sekiranya hujan yang signifikan terus berlaku di lembangan sungai berkenaan.

“Banjir diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat dari tarikh yang dijangkakan. Semua agensi pengurusan bencana serta penduduk terutama di kawasan dijangka banjir diminta berwaspada dan peka dengan arahan pihak berkuasa,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search