PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Program dan Aktiviti

9 lokasi rintis Pusat Pemindahan Kekal Bencana dikenal pasti

KUALA LUMPUR - Kerajaan telah mengenal pasti sembilan lokasi sebagai perintis Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB) bagi memberi kemudahan dan keselesaan kepada mangsa bencana di Kelantan, Johor, Pahang, Terengganu, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Sarawak, dan Sabah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia merangkumi dewan penempatan sementara serta kemudahan lain untuk mangsa dan petugas.

 Menurutnya, Jika projek rintis itu berjaya, kerajaan bercadang memperluaskan pembinaan PPKB ke seluruh negeri dan daerah berdasarkan zon aktif bencana lima tahun terakhir serta keutamaan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri (JPBN).

"Di Terengganu, PPKB sedang dilaksanakan di SK Banggol Paradong, Kuala Terengganu, dengan peruntukan Kerajaan Persekutuan.

"Projek ini ditender pada 15 Oktober 2024 dan ditutup pada 11 November 2024, dengan jangkaan SST pada Disember 2024," katanya ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 bagi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di Dewan Rakyat pada Rabu.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, peruntukan RM600 juta oleh Kerajaan Madani mencerminkan keprihatinan terhadap pengurusan bencana yang lebih baik dan berkesan.

Ia susulan peruntukan hampir RM600 juta disediakan untuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sebagai persiapan mendepani musibah banjir termasuk lebih RM300 juta yang telah disediakan untuk persiapan sekiranya berlaku bencana pada bila-bila masa.

"Nadma menyedari pentingnya penilaian keperluan dan analisis kos-faedah (CBA) untuk menilai keberkesanan pelaburan dalam pencegahan dan mitigasi bencana.

"Pengumpulan data kerosakan dan kerugian disemua sektor adalah penting bagi menyediakan maklumat tepat untuk analisis CBA dan memastikan penggunaan sumber yang diperuntukkan secara efektif," katanya.

Banjir di Selangor: Kerugian besar, trauma meningkat, projek tebatan gagal

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor (DMPNS) memandang serius isu kegagalan projek Rancangan Tebatan Banjir (RBT) yang telah mengakibatkan kerugian fizikal dan mental yang besar kepada rakyat Selangor.

Ketuanya, Ustazah Wan Hasrina Wan Hassan berkata, kekerapan banjir yang berlaku di tempat tertentu berulang kali telah menyebabkan kerosakan harta benda kepada penduduk termasuk rumah, kenderaan, dan juga premis perniagaan. 

“Kos yang besar juga diperlukan untuk membaiki infrastruktur awam seperti jalan raya, jambatan, dan sistem perparitan yang mengalami kerosakan selain menjejaskan aktiviti ekonomi rakyat termasuk perniagaan dan pertanian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, penduduk yang sering terjejas oleh banjir tidak diduga itu berkemungkinan mengalami trauma akibat pengalaman mereka menghadapi situasi cemas ketika banjir dan menyebabkan tekanan yang berterusan.

“Kegagalan projek tebatan banjir yang masih tidak diselesaikan itu boleh menyebabkan penduduk hilang keyakinan terhadap kemampuan dan kecaknaan kerajaan untuk menyelesaikan masalah banjir,” ujarnya.

Beliau menyatakan, DMPNS mendesak kerajaan untuk menjalankan siasatan menyeluruh terhadap kegagalan projek tebatan banjir dalam masa yang sama memastikan projek-projek tebatan banjir yang baru dirancang dapat dilaksanakan dengan teliti dan berkesan.

“Penduduk yang terjejas berhak diberikan pampasan yang mencukupi untuk mengurangkan beban mereka dan menyediakan sokongan psikologi kepada mangsa banjir.

“DMPNS menggesa kerajaan agar bertanggungjawab melindungi rakyat daripada bencana alam serta komited mengambil langkah-langkah serius dan berkesan untuk mengatasi masalah banjir di Selangor,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/10/2024

JBPM siap siaga hadapi MTL, tumpukan 4,619 lokasi kerap banjir

KANGAR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL) dengan memberi tumpuan kepada 4,619 lokasi kerap banjir yang telah dikenal pasti di seluruh negara tahun ini.
Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad berkata data daripada Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan jumlah lokasi banjir berkenaan berkurangan berbanding 5,648 lokasi pada 2023.
 
Sehubungan itu, Nor Hisham berkata bagi menghadapi musim tengkujuh tahun ini, pihaknya bersiap sedia dengan keanggotaan keseluruhan seramai 24,263 orang yang merangkumi 13,646 Pegawai Sepenuh Masa (PSM), 2,196 Pegawai Bomba Bantuan (PBB) dan 8,421 anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS).
 
Nor Hisham berkata sebanyak 22 pasukan gerak cepat itu kini telah berada dalam keadaan siap siaga untuk digerakkan pada bila-bila masa dalam tempoh satu jam selepas menerima arahan.
Selain itu, beliau berkata JBPM juga mengaktifkan Regional Forward Base (RFB) bagi mengatur gerak jentera dan peralatan penyelamatan serta pengagihan sumber manusia di tiga zon utama iaitu Zon Utara (Pulau Pinang), Zon Timur (Terengganu) dan Zon Selatan (Johor) untuk menyokong operasi di lapangan.
"Latihan dalaman dan antara agensi menerusi Disaster Management Exercise (DMEX) turut dilaksanakan bagi memantapkan kemahiran anggota dan koordinasi dengan agensi sahabat dalam menghadapi sebarang kemungkinan semasa bencana banjir," katanya.
Dalam pada itu, Nor Hisham berkata JBPM merekodkan sebanyak 273 aduan salah laku bagi tempoh 2019 hingga Oktober 2024 termasuk aduan berkaitan skandal atau seksual, salah guna kuasa, rasuah dan penyelewengan.
"Dalam tempoh sama, 74 pegawai JBPM telah diambil tindakan tatatertib atas kesalahan seperti penyalahgunaan dadah, tidak hadir bertugas, penglibatan dalam kegiatan kongsi gelap, rasuah dan jenayah seksual.
"Jabatan tidak akan berkompromi dalam isu kesalahan tatatertib dan tindakan tegas akan diambil terhadap pegawai yang terbabit dalam sebarang salah laku," katanya.
Beliau berkata JBPM melaksanakan beberapa inisiatif dan mekanisme kawalan proaktif bagi memperkukuhkan integriti dalam jabatan, antaranya melalui pelaksanaan Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS) yang kini memasuki tahun keempat selain 79 Marshal Integriti (MI) dilantik di peringkat negeri bagi memantau serta membantu unit integriti jabatan.
-- BERNAMA

'Kita bersedia hadapi MTL' - Nadma

Kuala Lumpur: Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sudah melakukan persiapan sepanjang tahun bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula esok.

Ahmad Zahid beri jaminan bantu mangsa ribut di Sekijang – Dr Zaliha

MANGSA ribut di Parlimen Sekijang dua hari lalu akan mendapat bantuan daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.

Katanya, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri KKDW serta turut bertanggungjawab terhadap NADMA memberikan jaminan untuk membantu penduduk yang terjejas.

“Saya maklum kepada YAB TPM berkenaan kejadian ribut yang berlaku di Sekijang dua hari lalu. Alhamdulillah, beliau beri jaminan bahawa Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan NADMA akan selaras dan segerakan bantuan yang sepatutnya kepada mangsa,” katanya dalam hantaran di Facebooknya selepas mengadakan pertemuan dengan Ahmad Zahid di parlimen hari ini.

Zaliha berkata antara perkara lain yang dibincangkan adalah berkaitan persediaan menghadapi cuaca tidak menentu di daerah Segamat, khususnya di Parlimen Sekijang termasuk potensi banjir di mana ada keperluan untuk menilai pembinaan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang lebih selesa.

“Selain itu, saya juga turut bangkitkan berkenaan pembinaan jambatan yang menghubungkan FELDA Medoi dan FELDA Kemelah yang memerlukan tindakan segera dari pihak KKDW.

“Secara tuntasnya, perbincangan sebentar tadi adalah positif untuk kemaslahatan rakyat di Parlimen Sekijang,” katanya.-WILAYAHKU

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search