PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Program dan Aktiviti

Banjir kilat Vietnam ragut 5 mangsa, rosakkan ratusan rumah

HANOI: Banjir kilat di Vietnam tidak hanya mengorbankan lima mangsa, malah merosakkan ratusan rumah dan memusnahkan tanaman, berpunca hujan lebat yang dibawa Ribut Tropika Trami ke seluruh negara.

Trami melanda tengah Vietnam Ahad lalu selepas membadai Filipina, yang mengakibatkan lebih 100 kematian.

Di Vietnam, ribut itu menyebabkan hujan lebat yang mengakibatkan aliran sungai melimpah keluar dan memutuskan bekalan elektrik.

Kementerian Pertanian hari ini berkata, di Quang Binh seramai lima orang maut dan lima lagi cedera, dalam kejadian banjir lumpur yang melanda beberapa perkampungan terpencil.

Katanya, lebih 300 rumah dan hampir 1,300 hektar tanaman rosak.

Vietnam sering dilanda ribut tropika, yang sering mengakibatkan banjir kilat dan tanah runtuh antara Jun dan November setiap tahun.
 

Menurut pakar, perubahan iklim yang menyebabkan corak cuaca lebih intensif yang meningkatkan kemungkinan banjir yang merosakkan.

September lalu, utara Vietnam musnah akibat Taufan Yagi yang mengorbankan 345 nyawa dan menyebabkan kerugian ekonomi dianggarkan sebanyak AS$3.3 bilion (RM14.45 bilion). - AFP

Hujan lebat punca insiden tanah runtuh di Pantai Miami, bukan kegagalan struktur

INSIDEN tanah runtuh yang berlaku berhampiran Pantai Miami dekat George Town, Pulau Pinang pada Rabu adalah disebabkan hujan lebat dan bukannya berpunca daripada kegagalan struktur kawasan.

Perkara itu dikongsikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur Negeri, Zairil Khir Johari, sambil memberitahu bahawa tiada siapa yang cedera dalam kejadian tanah runtuh tersebut.

“Nasib baik tiada mangsa yang cedera semasa kejadian tanah runtuh itu,” katanya.

Zairil Khir berkata, kejadian yang berlaku kira-kira pada pukul 6.30 pagi itu mengakibatkan jalan di kawasan berkenaan dipenuhi tanah, batu besar dan pokok di belakang harta persendirian.

Beliau yang juga merupakan Adun Tanjung Bungah itu berkata, tindakan pantas telah diambil oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dengan mengeluarkan Notis Menghapuskan Gangguan di bawah Seksyen 82 Akta Kerajaan Tempatan 1976 kepada pemilik tanah pada Rabu.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid menyiarkan beberapa gambar tanah runtuh di laman Facebook miliknya pada Rabu selepas melawat tapak tersebut.

“Apabila mendengar kejadian tanah runtuh berhampiran Pantai Miami, pegawai dari pusat khidmat saya dan pusat khidmat ADUN Tanjung Bunga bertindak pantas bertindak balas, memastikan keselamatan dan bantuan segera di kawasan terjejas.

"Saya baru pulang ke Pulau Pinang dari Parlimen dan menyertai pasukan kami di tapak untuk menilai keadaan secara langsung," katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada MBPP, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba), dan polis Batu Ferringhi atas tindakan segera dan profesionalisme mereka dalam menguruskan kejadian itu.

Beliau memuji usaha yang diselaraskan sebagai tidak ternilai dalam melindungi masyarakat dan berkata bahawa pasukannya akan terus memberikan maklumat terkini apabila lebih banyak maklumat tersedia. — The Star

NDRC UMS aktif sertai latihan pengoperasian bencana tanah runtuh

Kota Kinabalu : Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC), Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus menunjukkan komitmen dalam persediaan menghadapi bencana dengan menyertai latihan Table Top Exercise (TTX) dan Field Training Exercise (FTX) yang berlangsung di Kundasang, baru-baru ini.

Latihan tersebut memfokuskan kepada pengurusan bencana tanah runtuh di Sabah, dan melibatkan kerjasama pelbagai agensi kerajaan.

Pengarah NDRC, UMS, Prof. Madya Ts. Gs. Dr. Carolyn M. Payus berkata, acara tersebut terbahagi kepada dua bahagian utama, iaitu sesi TTX yang membincangkan Prosedur Tetap Operasi (PTO) setiap agensi, diikuti dengan sesi FTX yang melibatkan simulasi penuh struktur arahan, operasi, serta aktiviti mencari dan menyelamat (SAR) oleh agensi terlibat.

“Simulasi seperti ini sangat penting sebagai platform memperkukuh kebolehoperasian dan kerjasama antara agensi.

“Latihan ini akan meningkatkan kefahaman bersama dan memudahkan tindakan kolektif antara pasukan penyelamat, khususnya dalam situasi kritikal seperti tanah runtuh di Sabah,” katanya yang turut menjadi peserta kepada sesi latihan tersebut.

Carolyn berkata, sesi latihan yang melibatkan 70 peserta pelbagai agensi juga membuka ruang perkongsian ilmu antara agensi, selain membolehkan peserta meningkatkan pengetahuan, pengalaman, dan kepakaran mereka.

“Tahun ini daerah Ranau dipilih sebagai lokasi operasi kerana terdedah kepada bencana seperti gempa bumi, tanah runtuh, dan banjir.

“Justeru itu, pentingnya latihan seperti ini untuk meningkatkan kesiapsiagaan agensi dan sukarelawan dalam pengurusan bencana serta memperkukuh PTO sedia ada,” ujar beliau.

Latihan bersepadu ini merupakan hasil kolaborasi strategik antara Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Jabatan Ketua Menteri Sabah, bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Agensi-agensi utama yang terlibat termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Daerah Ranau, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sabah, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Taman-Taman Sabah, serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Selain itu, antara agensi teknikal dan sokongan lain yang menyertai latihan ini ialah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Jabatan Penerangan Sabah, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Jabatan Meteorologi Malaysia, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia, RELA, Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah, Jabatan Air Negeri Sabah, Sabah Electricity Sdn. Bhd., serta Sapura Secured Technologies.

Tiada rakyat Malaysia terjejas banjir besar di Sepanyol

PUTRAJAYA: Tiada rakyat Malaysia terjejas dalam situasi banjir besar susulan hujan lebat berterusan sejak 29 Okt di wilayah Valencia, Sepanyol, menurut Kementerian Luar.
Dalam kenyataan pada Khamis, kementerian itu memaklumkan bahawa Kedutaan Besar Malaysia di Madrid sedang memantau keadaan dengan rapi dan menggesa rakyat Malaysia di Sepanyol agar terus berwaspada serta mematuhi panduan daripada pihak berkuasa tempatan.

 

 
"Malaysia merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada kerajaan serta rakyat Sepanyol, khususnya kepada mangsa yang terkesan akibat banjir ini.
"Malaysia mendoakan agar mereka yang cedera segera sembuh dan usaha membaik pulih harta benda serta infrastruktur dapat dilaksanakan dengan lancar," menurut kenyataan itu.
Mereka yang belum mendaftar atau mengemas kini maklumat peribadi disarankan berbuat demikian melalui https://ekonsular.kln.gov.my/.
 
Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan boleh menghubungi Kedutaan di Ave. de los Madronos 63B, 28043 Madrid, melalui telefon di +34659894943 (talian 24 jam), atau melalui e-mel di Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..
Sepanyol sedang menghadapi bencana banjir terburuk dalam beberapa dekad, dengan sekurang-kurangnya 95 orang maut dan puluhan lagi dilaporkan hilang, selepas hujan lebat melanda wilayah timur Valencia dan kawasan sekitarnya, menurut laporan media antarabangsa.
Perdana Menteri Pedro Sanchez telah mengisytiharkan tiga hari berkabung ketika keadaan ekstrem itu berterusan, menyekat usaha penyelamatan.
-- BERNAMA

Ribut: 236 mangsa terima bantuan one-off RM500

MELAKA – Sebanyak 236 buah rumah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi yang terjejas dalam bencana ribut dan hujan lebat awal pagi semalam akan diberikan bantuan one-off sebanyak RM500.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, jumlah itu akan disalurkan segera kepada mangsa terlibat, selain kit makanan dan barangan keperluan asas.

Beliau turut mengarahkan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Alor Gajah mengumpulkan maklumat berkaitan nilai kerosakan dialami semua mangsa bagi membolehkan kerja-kerja baik pulih dilakukan secepat mungkin.
 

“Alhamdulillah tiada kemalangan jiwa dalam bencana kali ini yang mana kalau dilihat fenomena perubahan alam ini menyebabkan banyak kejadian luar jangka.

“Jadi, bantuan awal seperti semua kit makanan, keperluan-keperluan asas juga telah diberikan selain bekalan elektrik juga telah disambung semula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali Exco Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Melaka, Datuk VP. Shanmugam yang juga Pengerusi MIC negeri di Batu Berendam di sini, hari ini.

Majlis dimeriahkan lagi dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri Toh Puan Asmah Abdul Rahman.

Dalam kejadian ribut semalam, lebih 30 buah rumah di Kampung Permatang Darat, Kuala Sungai Baru rosak termasuk bumbung tercabut ketika angin kencang mula membadai kira-kira pukul 3.30 pagi hingga 4.15 pagi.

Tragedi itu merupakan kejadian pertama melanda kampung berkenaan sewaktu rata-rata penduduk sedang nyenyak tidur. – MalaysiaGazette

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search