PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Program dan Aktiviti

9 lokasi pusat pemindahan kekal untuk mangsa banjir

SEPANG – Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) mengenal pasti sembilan lokasi untuk dijadikan Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPK) iaitu di Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Johor, Perak dan Pulau Pinang.

Ketua Pengarah Nadma, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, daripada jumlah tersebut, setakat ini satu PPK telah siap dibina iaitu di Dewan Serbaguna Taman Kota Jaya, Kota Tinggi di Johor boleh digunakan untuk musim banjir kali ini.

“Dewan ini dinaik taraf serta mampu menempatkan 400 mangsa banjir, berbanding sebelum ini iaitu kira-kira 150 ke 190 mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“Untuk lapan lagi pusat tersebut, ia dalam proses tender terbuka untuk pembinaan serta mengambil masa 15 bulan untuk disiapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Taklimat Sesi Libat Urus Persiapan Kerajaan Menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2024/2025 di Markas Pasukan Penyelamat Khas Malaysia (SMART) Pulau Meranti, Puchong dekat sini, hari ini.

Beliau berkata, masa diambil sehingga 15 bulan bagi mengenal pasti lokasi, kesesuaian tapak, proses tender kerajaan dan memenuhi kriteria jumlah penduduk akan dipindahkan.

Katanya, selain itu, pembinaannya memerlukan spesifikasi teknikal daripada agensi-agensi yang terlibat termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk melihat kesesuaian serta reka bentuk.

Sementara itu, Khairul Shahril berkata, Nadma mengalu-alukan penyertaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam membantu agensi berkenaan menyalurkan bantuan dan perkhidmatan kepada mangsa banjir susulan musim Monsun Timur Laut (MTL).

NGO yang berminat boleh berdaftar melalui aplikasi Rakan Nadma dalam memastikan pengagihan bantuan dibuat secara cekap serta mengelakkan pembaziran. – KOSMO! ONLINE

MTL: NADMA pantau 256 cerun kritikal seluruh negara

PUTRAJAYA – Sebanyak 256 cerun kritikal di seluruh negara  telah dikenal pasti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan kini dalam pemantauan bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).

Ketua Pengarah NADMA, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, terdapat tiga kategori cerun telah diklasifikasikan terdiri daripada  86 kritikal tinggi, 84 kritikal sederhana dan 84 lagi kritikal rendah.

“Sabah antara negeri yang mempunyai 36 cerun kritikal diikuti Johor, Perak, Pahang, Terengganu dan Kelantan yang masing-masing 25 cerun.

“Kami juga menyediakan 53 stesen penanda aras gempa bumi, 10 tolok hujan, tujuh siren serta sensor seismik dan sensor wayar bagi mengesan pergerakkan tanah serta aktiviti geologi lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi libat urus persiapan kerajaan menghadapi MTL 2024/2025 di Markas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia di Pulau Meranti hari ini.
 

Dalam pada itu, katanya, NADMA juga telah mengesan 4,619 lokasi titik panas banjir di seluruh negara pada tahun ini yang turut dipantau sepanjang tempoh MTL.

Ia membabitkan 3,605 lokasi di Semenanjung, Sabah (799), Sarawak (201) dan Labuan (14) kawasan hotspot banjir.

“Lokasi itu diambilkira berdasarkan kawasan yang mengalami kekerapan tidak kurang tiga kali dalam tempoh tiga tahun terkini,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam (APM), Datuk Aminurrahim Mohamed berkata, pihaknya telah mengaktifkan seramai 553 anggota untuk melakukan pelbagai tugasan.

“Kita melakukan rondaan dengan kekerapan minimum lima kali seminggu di lokasi panas sebagai persiapan menghadapi banjir atau bencana.

“Kami memanggil anggota kami dalam pasukan ini sebagai Chameleon kerana mengambil tugasan pentadbiran malah melakukan dua atau tiga perkara berkaitan bencana.

“Sepanjang 10 bulan ini, lebih 30,000 kal rondaan dibuat di seluruh negara dan apabila menemui insiden atau bencana, kita laporkan maklumat pada pihak berkuasa yang bertanggungjawab,” jelasnya.

Beliau memaklumkan, APM akan menubuhkan tugasan baharu iaitu mengenal pasti pokok berusia atau berisiko tumbang untuk dilaporkan kepada pihak berwajib bagi tindakan lanjut.  – MalaysiaGazette

APM pantau kawasan kerap bah, tanah runtuh lima kali seminggu

PUTRAJAYA, 8 NOV: Angkatan Pertahanan Awam (APM) mengambil langkah proaktif dengan melakukan rondaan di kawasan sering berlaku (hotspot) bencana banjir dan tanah runtuh minimum lima kali seminggu sebagai persiapan menghadapi monsun timur laut (MTL).

Ketua Pesuruhjaya APM Datuk Aminurrahim Mohamed berkata pasukan pemantau terdiri daripada tiga anggota di setiap daerah di seluruh negara dan mereka bukan saja melaporkan kejadian berpotensi mengakibatkan banjir dan tanah runtuh, malah melibatkan pencemaran udara dan air.

“Sepanjang 10 bulan ini, kita sudah membuat rondaan lebih 30,000 kali di seluruh negara dan telah melaporkan lebih 2,000 kejadian dipercayai boleh memberi ancaman pada orang ramai, kepada pihak berwajib seperti pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi libat urus persiapan kerajaan menghadapi MTL 2024/2025 di Markas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia di Pulau Meranti di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Khairul Shahril Idrus ketika memberi taklimat dalam sesi berkenaan memaklumkan terdapat 4,619 lokasi banjir telah dikenal pasti di seluruh negara.

Beliau berkata ia melibatkan 3,605 lokasi di Semenanjung, 799 di Sabah, 201 di Sarawak dan 14 lokasi panas di Labuan.

Khairul Shahril berkata lokasi itu berdasarkan kawasan yang mengalami kekerapan tidak kurang daripada tiga kali kejadian banjir dalam tempoh tiga tahun terkini.

“Selain itu, kita turut membuat pemantauan cerun kritikal membabitkan 254 cerun di seluruh negara terdiri daripada 86 kritikal tinggi, 84 kritikal sederhana dan 84 kritikal rendah,” katanya.

-BERNAMA

KKR kenal pasti 1,577 cerun berisiko sangat tinggi di seluruh negara

KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,577 cerun di sepanjang Jalan Persekutuan di seluruh negara telah dikenal pasti sebagai berisiko sangat tinggi, kata Kementerian Kerja Raya (KKR).

Jumlah itu adalah daripada keseluruhan 34,714 cerun yang dipantau menerusi Peta Bahaya dan Risiko Cerun yang dibangunkan Jabatan Kerja Raya (JKR) meliputi 26,722 cerun di Semenanjung, selain Sabah (4,178), Sarawak (3,633) dan Labuan (181).

Dalam kenyataan kepada BERNAMA, KKR menjelaskan bahawa dalam situasi bencana membabitkan cerun di Malaysia, kementerian melalui JKR berperanan menyediakan nasihat teknikal kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) selain bertanggungjawab menyediakan jentera, perkhidmatan teknikal dan menilai kerosakan infrastruktur awam selain bertindak melaksanakan langkah-langkah mitigasi bagi mengurangkan risiko bencana cerun.

"Sekiranya berlaku bencana membabitkan lintasan air atau cerun runtuh, JKR akan melaksanakan beberapa langkah antaranya mengurus penutupan jalan, memberi amaran, menyediakan laluan alternatif serta membina lencongan dan membaiki jalan yang terjejas."Selain itu, JKR melalui Cawangan Kejuruteraan Cerun memberi amaran awal berdasarkan data hujan dan pergerakan cerun dari Sistem Amaran Awal di kawasan berisiko tinggi," kata kenyataan itu.

KKR turut memaklumkan terdapat 49 stesen tolok hujan di seluruh negara, iaitu 37 di Semenanjung, sembilan di Sabah dan tiga di Sarawak yang akan merekodkan data hujan dan mengeluarkan amaran awal apabila bacaan mencapai nilai ambang bagi lokasi berisiko.

"Selain itu, tiga Robotic Total Station(RTS) dan sebuah Global Navigation Satellite System(GNSS) telah dipasang di Seksyen 44 dan 46, Laluan FT185 Jalan Simpang Pulai-Lojing-Gua Musang bagi memantau pergerakan permukaan cerun di lokasi berkenaan," menurut kenyataan itu.

Hingga September 2024, sebanyak RM104.84 juta telah dibelanjakan bagi kerja-kerja pembaikan cerun melibatkan 147 lokasi di sepanjang Jalan Persekutuan di Semenanjung Malaysia.

KKR menyatakan bagi 2025, kementerian akan menerima peruntukan sebanyak RM118 juta yang akan digunakan bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan cerun dan pembaikan pencegahan cerun.

"Pada masa yang sama, kerja penyelenggaraan rutin turut dilaksanakan bagi cerun berkategori very high dan high risk di zon Pantai Timur iaitu negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan sebahagian negeri Perak. Selain itu, pemasangan dan penyelenggaraan Sistem Amaran Awal Tanah Runtuh (SAATR) serta naik taraf Sistem Pengurusan Cerun Bersepadu (ISMAS) turut dilaksanakan," mengikut kenyataan itu lagi.

Dalam menangani dan memantau lokasi cerun pada masa hadapan, JKR telah mengambil langkah menggunakan kaedah seperti pemantauan masa nyata secara setempat yang membolehkan pengesanan awal perubahan dalam kestabilan cerun dan membolehkan tindakan segera diambil jika ada tanda-tanda kegagalan cerun.

"Penggunaan teknologi seperti tilt sensor, soil moisture, inclinometer dan piezometer di lokasi cerun berisiko akan membolehkan data tepat dikumpul dan langkah pencegahan dibuat dengan tepat bagi mengurangkan kejadian tanah runtuh di kawasan yang berisiko," menurut kenyataan itu. – BERNAMA

JKM Pahang hantar lebih 244 tan makanan kering ke pangkalan hadapan

Kuantan: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang menghantar lebih 224 tan makanan kering ke 165 pangkalan hadapan di seluruh negeri ini sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) atau musim tengkujuh.

Pengarahnya Khairul Amri Ahmad berkata agihan makanan kering melibatkan perbelanjaan RM3.3 juta itu boleh menampung keperluan selama tiga hingga 14 hari bergantung kepada lokasi pangkalan hadapan.

"Misalnya, bagi kawasan yang dijangka terputus hubungan seperti Pulau Tioman di Rompin, tempoh kegunaan barang yang dihantar untuk 10 hari manakala bagi kawasan Ulu Tembeling di Jerantut bekalan yang dihantar adalah untuk 14 hari," katanya ketika dihubungi Bernama.

Pangkalan hadapan merupakan tempat bagi menyimpan makanan kering yang diagihkan iaitu beras, gula, kari ayam, sardin, kopi, teh, garam, biskut dan minyak masak dengan Kuantan mempunyai 19 lokasi, Maran (12), Temerloh (33), Bera (12), Jerantut (19), Lipis (18), Raub (11), Bentong (lapan) serta Cameron Highlands (tiga) selain Pekan dan Rompin masing-masing 15.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search