MTL: NADMA pantau 256 cerun kritikal seluruh negara
- Admin UKK
- Berita
PUTRAJAYA – Sebanyak 256 cerun kritikal di seluruh negara telah dikenal pasti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan kini dalam pemantauan bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).
Ketua Pengarah NADMA, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, terdapat tiga kategori cerun telah diklasifikasikan terdiri daripada 86 kritikal tinggi, 84 kritikal sederhana dan 84 lagi kritikal rendah.
“Sabah antara negeri yang mempunyai 36 cerun kritikal diikuti Johor, Perak, Pahang, Terengganu dan Kelantan yang masing-masing 25 cerun.
“Kami juga menyediakan 53 stesen penanda aras gempa bumi, 10 tolok hujan, tujuh siren serta sensor seismik dan sensor wayar bagi mengesan pergerakkan tanah serta aktiviti geologi lain,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, NADMA juga telah mengesan 4,619 lokasi titik panas banjir di seluruh negara pada tahun ini yang turut dipantau sepanjang tempoh MTL.
“Lokasi itu diambilkira berdasarkan kawasan yang mengalami kekerapan tidak kurang tiga kali dalam tempoh tiga tahun terkini,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam (APM), Datuk Aminurrahim Mohamed berkata, pihaknya telah mengaktifkan seramai 553 anggota untuk melakukan pelbagai tugasan.
“Kami memanggil anggota kami dalam pasukan ini sebagai Chameleon kerana mengambil tugasan pentadbiran malah melakukan dua atau tiga perkara berkaitan bencana.
“Sepanjang 10 bulan ini, lebih 30,000 kal rondaan dibuat di seluruh negara dan apabila menemui insiden atau bencana, kita laporkan maklumat pada pihak berkuasa yang bertanggungjawab,” jelasnya.
Beliau memaklumkan, APM akan menubuhkan tugasan baharu iaitu mengenal pasti pokok berusia atau berisiko tumbang untuk dilaporkan kepada pihak berwajib bagi tindakan lanjut. – MalaysiaGazette