PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Program dan Aktiviti

Fahami perbezaan kabus tebal dan jerebu: Antara fenomena alam dan pencemaran udara

FENOMMENA yang menyebabkan suasana kelihatan suram dan jarak penglihatan menjadi terhad sering menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Dua keadaan yang biasa berlaku ialah kabus tebal dan jerebu. Namun, masih ramai tidak dapat membezakan antara kedua-duanya, terutama pada waktu pagi.

Walaupun kelihatan hampir serupa, kedua-duanya berbeza dari segi punca, kandungan udara, dan kesan terhadap kesihatan.

Kabus tebal adalah wap air yang terhasil daripada kondensasi di permukaan bumi, biasanya berlaku pada waktu pagi atau ketika suhu menurun secara mendadak.

Kabus terbentuk apabila udara lembap menjadi sejuk dan menghasilkan titisan air halus yang terapung di udara. Fenomena ini bersifat semula jadi dan lazimnya tidak membahayakan kesihatan manusia.

Namun, ia boleh mengurangkan jarak penglihatan dan menyebabkan risiko kemalangan jalan raya, terutamanya di kawasan berbukit dan lebuh raya.

Sebaliknya, jerebu berlaku apabila udara dipenuhi dengan zarah-zarah halus seperti debu, asap, dan bahan pencemar lain yang berpunca daripada pembakaran terbuka, aktiviti perindustrian atau pelepasan asap kenderaan. Jerebu sering berlaku pada musim panas dan kering, terutamanya akibat berlaku pembakaran hutan secara besar-besaran seperti di kawasan pertanian.

Tidak seperti kabus, jerebu membawa risiko kesihatan yang lebih serius kerana ia mengandungi bahan pencemar yang boleh menjejaskan sistem pernafasan, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak, warga emas dan pesakit asma.

Dari segi kesan, kabus hanya memberi impak kepada penglihatan mendatar kurang daripada 1 kilometer, dalam jangka masa pendek dan akan hilang apabila suhu meningkat.

Sebaliknya, jerebu boleh menyebabkan masalah kesihatan jangka pendek seperti masalah pernafasan, batuk, hidung berair, sakit tekak, dan mata pedih.

Kesan kepada pendedahan yang berpanjangan boleh meningkatkan penyakit pernafasan kronik, penyakit jantung dan masalah kulit.

Fenomena jerebu juga memerlukan pemantauan indeks pencemaran udara (IPU) oleh pihak berkuasa.

Langkah-langkah pencegahan seperti pemakaian pelitup muka, mengehadkan aktiviti luar, serta pengambilan air yang mencukupi sangat digalakkan semasa musim jerebu.

Oleh itu penting bagi orang ramai untuk mengetahui perbezaan antara kabus tebal dan jerebu agar dapat mengambil langkah berjaga-jaga yang sesuai.

Kabus mungkin tidak memudaratkan kesihatan, tetapi tetap perlu diberi perhatian dari sudut keselamatan.

Jerebu pula memerlukan tindakan lebih serius kerana impaknya terhadap kesihatan awam dan alam sekitar.

Dengan kesedaran dan pengetahuan yang betul, kita dapat melindungi diri serta orang tersayang daripada risiko tidak diingini.

Peniaga resah akibat jerebu, bimbang jejas kesihatan

HULU LANGAT: Diselubungi asap, tekak terasa perit dan debu putih berterbangan. Itu antara kesan jerebu yang dirasakan di sekitar Semenyih, di sini hari ini.

Hasil tinjauan di beberapa kawasan perniagaan sekitar Semenyih yang terletak kira-kira 15 kilometer dari Nilai, Negeri Sembilan lokasi mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi iaitu 156 setakat pukul 9 pagi tadi mendapati orang ramai menyatakan rasa bimbang dengan situasi jerebu yang semakin buruk.

Peniaga nasi lemak, Shuhada Abu, 48, berkata, keadaan pagi ini jauh lebih buruk berbanding semalam sehingga dia terpaksa memakai pelitup muka sepanjang berniaga.

“Cuaca pagi ini memang lain macam. Ada bau asap terbakar dan tekak pun jadi perit akibat jerebu.

“Mujur saya dapat habiskan jualan awal dan balik cepat sebab risau berada terlalu lama di luar,” katanya yang berniaga di hadapan pusat beli-belah Taman Pelangi Semenyih, di sini. 

Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS) hari ini mendapati empat kawasan seperti Johan Setia, Banting di Selangor dan Port Dickson dan Nilai mencatatkan bacaan IPU tidak sihat.

Keadaan itu berpunca daripada fenomena jerebu rentas sempadan yang kini melanda beberapa negeri di pantai barat Semenanjung Malaysia.

Seorang peniaga nasi yang enggan dikenali di Bandar Tasik Kesuma di sini memberitahu, dia tidak menyangka kabus tebal yang disangka hanya kesan cuaca biasa semalam rupanya adalah jerebu.

“Saya tutup gerai lebih awal, semalam, sebab mata rasa pedih. Hari ini nampak cuaca lagi teruk seperti debu berterbangan sampai melekat di cermin kereta,” katanya.

Pekerja swasta, Mardhiah Syafiqah Abdull Rahim, 31, memilih untuk kekal berada di rumah dan tidak membawa anak-anak keluar beraktiviti.

“Pagi tadi, semasa hendak ke pasar, saya nampak debu putih melekat pada cermin kereta. Cuaca pun macam berkabus dan pemandangan luar tidak jelas. 

“Terus saya batalkan niat bawa anak-anak keluar. Suami pun sudah mula sakit tekak sejak dua hari lepas,” katanya. – UTUSAN

Cuaca kering di selatan Asia Tenggara tingkat risiko jerebu rentas sempadan

KUALA LUMPUR : Keadaan cuaca kering dan berawan dilaporkan berlaku di kebanyakan kawasan di Asia Tenggara mulai malam semalam, kecuali di bahagian utara Sumatera yang mencatatkan hujan di beberapa kawasan.

Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) melaporkan beberapa titik panas dikesan di Semenanjung Malaysia, Kalimantan dan Sumatera, dengan kepulan asap setempat turut dikesan berpunca daripada satu titik panas dipercayai kebakaran hutan di Sumatera Tengah.

Bagaimanapun, liputan awan tebal menyukarkan penilaian sepenuhnya terhadap jumlah titik panas dan keadaan jerebu merentas sempadan di rantau ini.

Sementara itu, menurut kemas kini terbaharu Jabatan Alam Sekitar (JAS), cuaca lembap berterusan di utara Asia Tenggara menyumbang kepada tahap aktiviti titik panas yang kekal rendah di kawasan berkenaan.

Dalam unjuran cuaca dan jerebu beberapa hari akan datang, cuaca kering dijangka berterusan di kebanyakan kawasan di selatan Asia Tenggara kecuali di bahagian timur Kalimantan yang diramal menerima hujan berselerak.

Keadaan cuaca kering berpanjangan ini boleh meningkatkan aktiviti titik panas di kawasan mudah terbakar dan berisiko membawa kepada kejadian jerebu merentas sempadan.

Angin lazim di kawasan ASEAN selatan dijangka bertiup dari arah tenggara ke barat daya, manakala angin lazim di keseluruhan rantau ASEAN pula dijangka bertiup dari arah selatan ke barat daya.

Cuaca lembap dijangka berterusan di ASEAN utara dengan aktiviti titik panas yang kekal rendah di kawasan berkenaan.

Fenomena ini dijangka memberiimpak memberi kesan terhadap kualiti udara di negeri-negeri pantai barat Semenanjung seperti Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Keadaan ini turut berisiko menjejaskan kesihatan penduduk, khususnya golongan rentan seperti kanak-kanak, warga emas dan mereka yang menghidap masalah pernafasan.

Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa memantau bacaan IPU semasa, mengurangkan aktiviti luar jika kualiti udara tidak sihat dan mengikuti panduan kesihatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

Titik panas meningkat, amaran tahap dua diaktifkan bagi rantau ASEAN Selatan

KUALA LUMPUR: Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) mengaktifkan Amaran Tahap Dua bagi rantau ASEAN Selatan susulan peningkatan aktiviti titik panas dan keadaan cuaca kering yang berpanjangan di kawasan terbabit.

Dengan pengaktifan amaran itu, kemas kini mengenai situasi jerebu serantau akan dikeluarkan dua kali sehari, iaitu jam 3 pagi dan 9 pagi Waktu Universal Selaras (UTC) atau 11 pagi dan 5 petang waktu Malaysia.

Langkah ini bertujuan memantau secara rapi perkembangan jerebu rentas sempadan yang berisiko menjejaskan kualiti udara di beberapa negara ASEAN termasuk Malaysia, Indonesia dan Singapura.

Keadaan cuaca kering dan berawan dilaporkan di kebanyakan kawasan di Asia Tenggara mulai malam tadi, kecuali di utara Sumatera yang mencatat hujan di beberapa kawasan.

Menurut ASMC, beberapa titik panas dikesan di Semenanjung, Kalimantan dan Sumatera, dengan kepulan asap setempat turut dikesan berpunca daripada satu titik panas, dipercayai kebakaran hutan di Sumatera Tengah.

Bagaimanapun, liputan awan tebal menyukarkan penilaian sepenuhnya terhadap jumlah titik panas dan keadaan jerebu merentas sempadan di rantau ini.

Sementara itu, kemas kini terbaharu Jabatan Alam Sekitar (JAS) menunjukkan, cuaca lembap berterusan di utara Asia Tenggara menyumbang kepada tahap aktiviti titik panas yang kekal rendah di kawasan berkenaan.

Dalam unjuran cuaca dan jerebu beberapa hari akan datang, cuaca kering dijangka berterusan di kebanyakan kawasan di selatan Asia Tenggara kecuali di timur Kalimantan yang diramal menerima hujan berselerak.

Cuaca kering berpanjangan ini boleh meningkatkan aktiviti titik panas di kawasan mudah terbakar dan berisiko membawa jerebu rentas sempadan.

Angin lazim di kawasan ASEAN Selatan dijangka bertiup dari arah tenggara ke barat daya, manakala angin lazim di keseluruhan rantau ASEAN dijangka bertiup dari arah selatan ke barat daya.

Cuaca lembap dijangka berterusan di ASEAN utara dengan aktiviti titik panas yang kekal rendah di kawasan berkenaan.

Fenomena ini dijangka memberi kesan terhadap kualiti udara di negeri pantai barat Semenanjung seperti Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Keadaan ini turut berisiko menjejaskan kesihatan penduduk, khususnya golongan rentan seperti kanak-kanak, warga emas dan mereka yang menghidap masalah pernafasan.

Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa memantau bacaan IPU semasa, mengurangkan aktiviti luar jika kualiti udara tidak sihat dan mengikuti panduan kesihatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

 

Jerebu: Orang ramai mula pakai pelitup muka

PORT DICKSON: Susulan situasi jerebu yang melanda, orang ramai mula mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai pelitup muka ketika berada di kawasan luar.

Tinjauan di pantai-pantai peranginan di daerah ini juga mendapati, pengunjung masih ramai melakukan aktiviti riadah namun tidak lupa memakai pelitup muka.

Salah seorang pengunjung, Muhamad Azman Zakaria, 63, berkata, dia bersama isteri dan anak-anak mengambil peluang cuti hujung minggu untuk beriadah seketika bersama keluarga di tepi pantai.

“Keadaan jerebu ni biasanya disebabkan oleh kebakaran hutan yang berlaku di negara jiran. Jadi, jika ingin beriadah di tempat terbuka yang udaranya tidak sihat, wajar lah kita pakai kembali pelitup muka,” katanya.

Sehingga pukul 1 tengah hari tadi, empat lokasi mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat iaitu, Nilai, Negeri Sembilan (164); Johan Setia dan Banting, Selangor (154) serta Putrajaya (119).

Semalam, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, beberapa negeri di Pantai Barat Semenanjung Malaysia dilanda jerebu rentas sempadan berpunca daripada kebakaran hutan di Sumatera, Indonesia.

Katanya, berdasarkan pence­ra­pan imej satelit NOAA-20 ber­tarikh 18 Julai 2025 yang dianalisis oleh Pusat Meteo­rologi Khas ASEAN (ASMC), sebanyak 79 titik panas dikesan di kawasan Sumatera. – UTUSAN

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search