KUALA NERUS: Beberapa empangan utama di Johor, Kedah dan Perak kini berada pada paras amaran, susulan cuaca panas berpanjangan dan kekurangan taburan hujan.
Ia mendorong kerajaan melaksanakan operasi pembenihan awan bagi memastikan bekalan air mentah mencukupi dan tidak terjejas.
Menurut Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, langkah intervensi itu akan dilaksanakan secara berperingkat selama beberapa hari bermula 11 hingga 15 Februari.
Ia akan melibatkan beberapa empangan kritikal di tiga negeri terbabit. Jadual operasi pembenihan awan bagi Johor akan dijalankan pada 11 dan 12 Februari, membabitkan Empangan Upper Layang, Empangan Pulai 1 dan Empangan Machap.
Seterusnya, pada 13 dan 14 Februari, operasi diperluaskan ke Kedah dan Perak, merangkumi Empangan Pedu, Empangan Muda, Empangan Ahning serta Empangan Bukit Merah.
“Operasi terakhir dijadualkan pada 15 Februari, sekali lagi di Johor, melibatkan tiga empangan sama iaitu Upper Layang, Pulai 1 dan Machap,”katanya ketika ditemui selepas majlis penutupan Pemukiman KKDW dan Pemukiman Syarikat Milikan Agensi KKDW 2026 di Kuala Nerus.
Pembenihan awan dilaksanakan sebagai langkah segera untuk meningkatkan taburan hujan di kawasan tadahan air empangan, bagi menambah paras simpanan air mentah, sekali gus mengelakkan gangguan bekalan kepada pengguna domestik, pertanian dan industri.
Keadaan cuaca kering yang berpanjangan sebelum ini, menyebabkan paras air beberapa empangan menunjukkan trend penurunan sehingga menghampiri tahap kritikal.
Terbaharu, media melaporkan bekalan air di beberapa kawasan di Johor kian terjejas, susulan paras Sungai Benut yang mencapai tahap minimum, manakala Empangan Machap berada di bawah paras operasi selamat, menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam hanya mampu beroperasi sekitar 34 peratus kapasiti.
UBRIQUE: Penduduk di bandar pergunungan Ubrique, Andalusia, Sepanyol terpaksa menempuh jalan yang dinaiki air pada Ahad susulan ribut Marta yang membawa hujan lebat hingga menyebabkan paras air meningkat.
Pasukan kecemasan dikerahkan bagi memperkukuh penghadang sementara dalam usaha mengurangkan risiko banjir.
Petani melaporkan hujan lebat dan angin kencang pada Sabtu menenggelamkan kawasan tanaman mereka, sekali gus mengakibatkan kerugian mencecah jutaan euro.
Sementara itu, Sepanyol dan Portugal bersiap sedia menghadapi cuaca melampau yang berterusan.
Semenanjung Iberia dilanda beberapa siri ribut dalam beberapa minggu kebelakangan ini termasuk hujan lebat, kilat, salji dan angin kencang sebelum kedatangan ribut Marta.
Lebih 11,000 penduduk terpaksa meninggalkan kediaman mereka di Andalusia manakala hampir 170 jalan ditutup di seluruh Sepanyol dan perkhidmatan kereta api turut terganggu di Portugal. - REUTERS
NEW DELHI: Angka korban dalam kejadian letupan lombong arang batu di negeri Meghalaya, India meningkat kepada 27 orang dengan operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Operasi masih diteruskan susulan letupan di kawasan East Jaintia Hills, dengan beberapa lagi mayat dibawa keluar, menurut penyiar awam All India Radio.
Terdahulu, Ketua Menteri Meghalaya, Conrad Sangma, berkata letupan berkenaan berlaku di sebuah lombong arang batu haram.
Sangma berkata kerajaan telah mengarahkan satu siasatan menyeluruh dijalankan berhubung kejadian itu. Polis telah membuka kertas siasatan dan menahan dua individu berhubung letupan itu.
KLUANG – Paras air di Empangan Machap menunjukkan penyusutan ekoran dari ketiadaan hujan berlaku sejak lebih sebulan menyebabkan gangguan bekalan air bersih tidak berjadual berlaku di Simpang Renggam dan sekitarnya.
Ranhill SAJ dalam kenyataan berkata, susulan itu, daripada apa yang berlaku di Empangan Machap itu, pihaknya kini terpaksa mengolah semula bekalan air bagi menyesuaikan bekalan dengan mengaktifkan Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam untuk beroperasi secara separa.
Jelasnya, keadaan ini telah menyebabkan gangguan bekalan air tidak terancang di beberapa kawasan di sekitar daerah Kluang serta Pontian.
“Pemantauan berterusan sedang dilaksanakan bagi memastikan bekalan air mencukupi kepada semua pengguna di kawasan terlibat. Pengguna dinasihatkan agar dapat menggunakan air secara berjimat dalam menghadapi situasi ini.
“Sebarang perkembangan lanjut berkaitan bekalan air bersih ini akan dimaklumkan melalui saluran rasmi Ranhil SAJ,”katanya.
Melalui kenyataan itu, tarikh-tarikh tiada bekalan air bersih dibekalkan adalah pada 7, 10, 13, 16, 19 dan 22 Februari bagi Zon A manakala Zon B pada 9,12, 15, 18, 21, dan 24 Februari.
Ujarnya, Zon A melibatkan kawasan daripada Taman Sri Indah hingga ke Taman Tiara Perdana manakala Zon B di seluruh kawasan Machap termasuk hingga Lebuh Raya PLUS di Machap.-KOSMO! ONLINE
MUAR: Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM) mengesan satu lagi kebakaran semalam membabitkan kawasan hutan Paya Gelam, Mukim Jorak, Pagoh seluas kira-kira 54 hektar.
Kebakaran itu berlaku ketika operasi pemadaman di kawasan seluas 114 hektar milik Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) di Batu 13/14, Air Itam, di sini masih diteruskan.
Ketua Zon 4 JBPM Johor, Norshuhada Amsari, berkata kebakaran tanah gambut itu dikesan selepas anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pagoh melakukan rondaan pemantauan sebelum ternampak kepulan asap ke udara.
Katanya, lokasi baharu itu juga hanya terletak kira-kira satu kilometer dari kawasan sektor D yang kini sedang terbakar namun pihaknya berdepan kekangan susulan tiada akses kerana terdapat anak sungai.
"Justeru, kami terpaksa keluar semula dari lokasi ini (sektor D) untuk ke sana (Paya Gelam). Lokasi kebakaran terbaru mengambil masa 45 minit perjalanan dari Balai Bomba Pagoh.
"Seperti mana arahan dikeluarkan sebelum ini, semua balai dalam kawasan saya diminta membuat pemantauan mana-mana lokasi yang ternampak asap. Jadi semalam, ada anggota balai membuat pemantauan sebelum mengesan kebakaran itu," katanya ketika dihubungi.
Norshuhada berkata, operasi pemadaman kebakaran hutan Paya Gelam sudah bermula hari ini yang mana membabitkan sebahagian daripada anggota bertugas di ladang milik PPNJ.
"Kita terpaksa mengerahkan separuh anggota yang bertugas di ladang ini, memandangkan kekuatan yang ada terhad," katanya.
Sementara itu, mengenai kebakaran di sektor D, Norshuhada berkata, operasi pemadaman menunjukkan impak positif dengan sebahagian besar daripadanya sudah berjaya dipadamkan.
Katanya, ketika ini anggota bertugas meneruskan operasi pemadaman bagi memastikan api berjaya dipadamkan sepenuhnya.
"Sehingga semalam, sebanyak 38 daripada 110 hektar kawasan tanah gambut ladang PPNJ berjaya dipadamkan sepenuhnya.
"Operasi memadam kebakaran sudah memasuki hari kesembilan membabitkan empat sektor iaitu sektor A seluas 10 hektar, sektor B (empat hektar), sektor C (lapan hektar) manakala sektor D (88 hektar).
"Bagi sektor D yang ditutup memandangkan berlaku dua letupan, helikopter jenis Agusta AW139 (9M-BOD) digunakan untuk operasi pengeboman air.
"Semalam, sebanyak 40 jatuhan air dilakukan melalui pemadaman udara dengan keseluruhannya 32,000 liter. Alhamdulillah kami nampak ada perubahan memandang hujan mula membasahi lokasi kebakaran awal pagi tadi," katanya.
