Garis panduan guna semula air sisa tanam padi akan diperkenal, kawal pencemaran sungai
- Admin UKK
- Berita
PUTRAJAYA: Garis panduan guna semula air sisa pelepasan penanaman padi serta penetapan piawaian pelepasan air sisa bagi aktiviti pertanian akan diperkenalkan dalam usaha memperkukuh kawalan pencemaran sungai secara lebih sistematik dan mampan, menurut Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
PETRA memaklumkan cadangan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kemerosotan Kualiti Air Sungai Kebangsaan (JKKAS) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof semalam.
"Mesyuarat turut meneliti cadangan memasukkan syarat Kajian Hidraulik Endapan Sungai ke dalam Garis Panduan Pengambilan Pasir Sungai (Pindaan 2020) bagi memastikan aktiviti pengambilan pasir tidak menjejaskan kestabilan sungai, meningkatkan risiko hakisan tebing serta memberi impak kepada kualiti air sungai," menurut kenyataan itu semalam.
Menurut kenyataan itu, mesyuarat turut dimaklumkan mengenai Garis Panduan Pengurusan Indeks Pencemaran Industri Penternakan yang dibangunkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar sebagai langkah memperkukuh pemantauan dan kawalan pencemaran daripada industri berkenaan.
Selain itu, PETRA memaklumkan dapatan Kajian Pelan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM) oleh Jabatan Pengairan dan Saliran turut dibentangkan bagi mengenal pasti punca utama kemerosotan kualiti air sungai di lembangan sungai utama negara.
Menurut PETRA, mesyuarat turut menekankan kepentingan tindakan susulan yang lebih berfokus, pengukuhan penguatkuasaan, kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri serta pendekatan pengurusan lembangan sungai secara menyeluruh bagi memastikan kelestarian sumber air negara terus terpelihara.
PETRA memaklumkan mesyuarat itu memberi fokus kepada usaha memperkukuh kawalan pencemaran sungai, pengurusan sumber air serta pengukuhan garis panduan dan piawaian teknikal berkaitan perlindungan sumber air negara.
Menurut kenyataan itu, kerajaan terus komited memperkukuh daya tahan negara dalam mendepani cabaran global termasuk impak krisis bekalan global yang memberi tekanan kepada sektor makanan, tenaga, sumber air dan kos sara hidup rakyat.
"Selaras usaha tersebut, mesyuarat JKKAS telah diadakan hari ini (semalam) bagi memperkukuh penyelarasan tindakan pengurusan dan pengawalan kualiti air sungai negara secara lebih proaktif, bersepadu dan berkesan," menurut kenyataan itu.
PETRA memaklumkan langkah itu mencerminkan iltizam kerajaan dalam memastikan sumber air negara sentiasa berdaya tahan dan mampu menyokong keterjaminan keperluan rakyat dalammenghadapi ketidaktentuan global.
– BERNAMA
KUANTAN – Isu hakisan pantai di Pahang kini berada pada tahap kritikal apabila negeri itu merekodkan sebanyak 61.8 kilometer kawasan pantai terhakis atau 16.33 peratus daripada keseluruhan garis pantai.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Ir Razali Kassim berkata, situasi itu semakin membimbangkan susulan kesan perubahan iklim global yang menyebabkan peningkatan paras laut serta ombak lebih ekstrem khususnya ketika Monsun Timur Laut.
Tambahnya, isu tersebut sekali gus menuntut tindakan segera termasuk permohonan sebanyak RM850 juta daripada Kerajaan Persekutuan menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi melaksanakan projek pengawalan hakisan pantai serta pemuliharaan muara di seluruh negeri.
“Berdasarkan Rancangan Fizikal Zon Persisiran Pantai Negara 2 (RFZPPN 2), Pahang antara negeri yang mencatatkan kadar hakisan pantai tinggi dengan beberapa kawasan pesisir kini berdepan ancaman serius.
“Kerajaan negeri memandang serius isu ini kerana ia memberi kesan langsung kepada komuniti pesisir pantai termasuk kehilangan tanah, kerosakan infrastruktur dan ancaman kepada penempatan penduduk,”katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, Datuk Seri Mohd Johari Hussain pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Seri Pahang, hari ini.
Baru-baru ini Kosmo! melaporkan hakisan pantai bagai tidak berkesudahan dan ia kini menjadi ancaman kepada kedudukan tanah kita apabila berdasarkan rekod kadar hakisan pantai setahun direkodkan antara satu hingga 6.9 meter.- KOSMO! ONLINE
PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir susulan jangkaan hujan lebat dan ribut petir membabitkan beberapa kawasan di Semenanjung, Sarawak dan Sabah hingga pukul 9 malam ni.
MetMalaysia dalam kenyataan berkata, kawasan yang terlibat di Semenanjung adalah seluruh Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak (Kerian, Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim).
“Hujan lebat turut diramal berlaku di Terengganu (Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun) dan Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bentong dan Temerloh),” lapor MetMalaysia.
Sementara itu di Sarawak, cuaca buruk dijangka berlaku di Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman (Sri Aman), Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit (Song, Kapit dan Bukit Mabong) dan Bintulu (Tatau).
Bagi Sabah, amaran hujan lebat melibatkan kawasan Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan).
MetMalaysia memaklumkan, amaran hujan lebat dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Jelasnya, amaran tersebut adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE
GEORGE TOWN : Jabatan Perikanan (DOF) Pulau Pinang hari ini melaksanakan persampelan semula bagi tujuan pemantauan terhadap parameter kritikal termasuk biotoksin, logam berat dan status kualiti air di Sungai Juru.
Tindakan segera itu diambil susulan laporan berita mengenai pencemaran serta gangguan kualiti air di kawasan sungai berkenaan yang dikatakan berpotensi menjejaskan sektor perikanan serta akuakultur marin di kawasan berkenaan.
Pada masa yang sama, tindakan tersebut juga bertujuan memastikan keselamatan terhadap hasil perikanan serta menyokong pelaksanaan analisis trend pencemaran yang lebih menyeluruh dan berasaskan data.
Menurut Pengarah DOF Pulau Pinang, Azimah Jumatli, kawasan Sungai Kuala Juru merupakan antara zon pengeluaran hasil laut penting di Pulau Pinang dengan kawasan ternakan kerang seluas 567 hektar yang melibatkan 27 lot ternakan aktif.
Sehubungan itu, pihaknya prihatin terhadap kebajikan komuniti perikanan setempat yang melibatkan 209 nelayan marin serta pengusaha akuakultur yang terkesan akibat gangguan terhadap aktiviti dan hasil pengeluaran.
“Ketika ini, pemantauan turut dijalankan terhadap tujuh pengusaha ternakan ikan siakap dan udang putih dengan keluasan keseluruhan 72.69 hektar di situ.
“Pada masa yang sama, penilaian terperinci sedang dilaksanakan bagi mengenal pasti implikasi ekonomi serta anggaran kerugian yang dialami oleh pengusaha terlibat bagi tujuan dokumentasi dan tindakan susulan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, Utusan Malaysia memetik kenyataan Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader sebagai berkata, tahap pencemaran di Sungai Juru ketika ini semakin serius dan jika gagal ditangani segera, ia boleh menjejaskan mata pencarian komuniti penternak kerang serta nelayan di kawasan terbabit.
Dalam pada itu, Azimah berkata, DOF Pulau Pinang memahami kebimbangan yang dihadapi oleh komuniti terbabit dan berusaha memastikan agar persekitaran perairan kembali berada pada tahap yang selamat serta kondusif agar aktiviti perikanan dan akuakultur marin dapat diteruskan secara mampan.
Katanya, bagi tujuan itu, beberapa analisis sedang dijalankan termasuk analisis makmal yang dibuat secara menyeluruh bersama Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Batu Maung serta Pusat Biosekuriti Perikanan Selangor bagi mengenal pasti punca sebenar gangguan kualiti air tersebut.
“Pihak jabatan turut memperkukuh kerjasama strategik bersama agensi berkaitan serta pihak berkuasa negeri dalam mempertingkat pemantauan, penguatkuasaan dan pelaksanaan langkah mitigasi bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang.
“Langkah susulan akan diteruskan secara berfokus bagi melindungi kebajikan komuniti perikanan dan akuakultur di Kuala Juru melalui pendekatan bersepadu bagi memastikan kelestarian sumber perikanan, keterjaminan makanan negara serta kesejahteraan komuniti nelayan dan penternak dalam jangka panjang,” katanya.-UTUSAN
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di sembilan negeri hingga jam 9 pagi ini.
MetMalaysia dalam kenyataan hari ini, memaklumkan amaran cuaca itu membabitkan Kedah (Langkawi, Kota Setar, Yan, Kuala Muda, Baling, Kulim dan Bandar Baharu), seluruh Pulau Pinang dan Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk dan Hilir Perak).
Amaran itu turut membabitkan Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu) dan Selangor (Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Kuala Langat dan Sepang).
Keadaan sama juga diramal melanda Negeri Sembilan (Port Dickson dan Rembau), seluruh Melaka, Johor (Batu Pahat) dan Sabah (Tawau) dan Kudat (Kudat).
MetMalaysia memaklumkan, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi tempoh satu jam.
"Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran," katanya.
