JBPM giat kawal kebakaran tanah gambut di Kampung Kut
- Admin UKK
- Berita
SIBU, 16 Ogos: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak terus mempergiat operasi menangani kebakaran hutan tanah gambut di Kampung Kut dengan memberi tumpuan kepada pembinaan sekatan bagi menghalang api daripada merebak ke kawasan lebih luas.
Timbalan Pengarah JBPM Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, operasi itu dijangka mengambil masa antara dua hingga empat hari bergantung kepada keadaan cuaca, dengan hujan berpotensi mempercepatkan proses pemadaman.
“Kalau ada hujan, saya yakin operasi ini dapat diselesaikan dalam tempoh dua hari. Kalau tiada hujan, mungkin mengambil masa dua hingga tiga hari, mungkin empat hari, bergantung kepada keadaan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Larian Amal Bersama Bomba Sarawak Sibu 1.0 di Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah, di sini, hari ini.
Menurutnya, kerja pembinaan firebreak telah dilaksanakan di kawasan terjejas bagi menyekat kemerebakan api dengan bantuan jengkaut daripada Pejabat Daerah Daro dan Jabatan Pengairan dan Saliran (DID).
Katanya, dua jengkaut digunakan setakat ini, manakala pihaknya memohon sekurang-kurangnya sebuah lagi jengkaut bagi mempergiatkan usaha berkenaan.
“Untuk api gambut ini, pertama sekali kita kena buat firebreak (sekatan) supaya api itu tidak merebak ke kawasan lebih luas. Kemudian barulah kita buat kerja-kerja pemadaman,” ujarnya.
Beliau berkata, jengkaut diperlukan untuk menyediakan laluan kepada sumber air terbuka yang digunakan dalam operasi pemadaman.
Usaha itu juga penting bagi mengurangkan risiko kepada penduduk berhampiran, terutama kerana terdapat rumah burung dan sebuah stesen minyak di kawasan berkenaan.
Sementara itu, Tiong berkata, JBPM turut menambah aset dan anggota bagi operasi kebakaran di beberapa lokasi selepas meninjau keadaan di lapangan pada Khamis lalu dan mendapati keperluan tambahan aset khususnya pam, pam angkut dan jengkaut.
“Kebakaran di Limbang sudah selesai, manakala operasi di kawasan Jalan Kejatau hingga Sri Aman masih diteruskan dengan penambahan aset dan anggota.
“Selepas saya turun sendiri meninjau keadaan, saya melihat perlunya tambahan aset, terutamanya pam, pam angkut dan jengkaut. Kita memohon bantuan daripada Pejabat Daerah kawasan terlibat dan berterima kasih kepada DID yang menyumbangkan empat buah jengkaut untuk kerja-kerja firebreak di Sri Aman,” jelasnya.
Katanya, sekiranya lebih 80 peratus kebakaran di kawasan terjejas berjaya dipadamkan, jumlah anggota, logistik dan skala operasi akan dikurangkan bagi menjimatkan kos pemadaman.-TVS
