Monsun tenggelamkan kampung dan sawah di Myanmar
- Admin UKK
- Berita
WETLET: Banjir monsun menenggelamkan kampung dan kawasan sawah padi di tengah Myanmar, sekali gus memaksa penduduk meninggalkan kediaman mereka termasuk yang sudah pun terpaksa berpindah akibat perang saudara.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata banjir monsun yang teruk sejak Julai lalu di negeri Sagaing, Rakhine, Irrawaddy dan Kachin menjejaskan kira-kira 390,000 penduduk dengan 230,000 daripada jumlah itu direkodkan di Sagaing sahaja.
Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) mengesahkan angka berkenaan merangkumi penduduk yang terjejas akibat perang saudara yang tercetus susulan rampasan kuasa tentera Myanmar pada 2021.
Kementerian Kesejahteraan Sosial, Bantuan dan Penempatan Semula Myanmar berkata, sehingga 11 Ogos lalu, hujan lebat dan limpahan air sungai di Sagaing memaksa lebih 11,400 penduduk daripada 3,220 isi rumah berpindah ke pusat pemindahan banjir.
Jurucakap OCHA, Pierre Peron memberitahu AFP pada Jumaat bahawa pertubuhan itu belum mempunyai angka rasmi berhubung jumlah keseluruhan penduduk yang hilang tempat tinggal akibat hujan lebat berkenaan.
"Namun, dengan hujan monsun yang berterusan serta paras air di beberapa sungai utama berada pada atau melebihi paras bahaya, kami jangka kesannya akan berlanjutan selama beberapa hari dan minggu akan datang," katanya.
Beliau berkata rakan kerjasama PBB kini menggerakkan bantuan bagi membantu golongan paling terjejas.
Namun, kerosakan akibat banjir ke atas kediaman, tempat perlindungan, infrastruktur dan tanah pertanian memburukkan lagi keperluan kemanusiaan, terutama makanan, kesihatan, air bersih serta sokongan mata pencarian.
Walaupun monsun musim hujan membawa bekalan air yang diperlukan petani, perubahan iklim menjadikan fenomena berkenaan semakin sukar diramal, tidak menentu dan lebih berbahaya di seluruh rantau ini. - AFP
