KLANG: Kira-kira 1,000 penduduk Kampung Bukit Kapar, di sini berdepan masalah banjir lumpur sejak lebih 15 tahun lalu akibat aktiviti pengorekan tanah dan penggondolan Bukit Payung serta Bukit Kerayong.
Aktiviti tersebut menyebabkan lebih 50 rumah kerap dilanda banjir lumpur dan kira-kira 200 lagi terputus hubungan apabila satu-satunya jalan masuk ke kawasan tersebut dilimpahi air sedalam hampir satu meter.
Lebih malang, cuaca hujan sering mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk terutama jika hujan selama sejam kerana ia akan menyebabkan limpahan air dari kawasan atas bukit menerusi longkang di hadapan rumah mereka.
Seorang penduduk warga emas, Nasri Sukir, 60 berkata, pada tahun ini rumahnya sudah dua kali dilanda banjir pada ketinggian sehingga empat kaki yang turut meninggalkan kesan lumpur setebal satu inci pada bahagian lantai.
Menurutnya, keadaan itu kerap berlaku dalam tempoh dua tahun kebelakangan dipercayai akibat daripada aktiviti pengorekan tanah yang berterusan.
“Baru-baru ini kerap hujan pada awal pagi. Malah, hujan yang bertembung dengan air pasang baru-baru ini mencetuskan banjir dengan membawa sekali lumpur tanah merah. Banjir mencecah lebih empat kaki. Perabot dan barangan elektrik kerap rosak.
“Bila hujan awal pagi memang kami terpaksa berjaga kerana bimbang banjir. Kebanyakan penduduk juga memasang penghadang air pada pintu dan tingkap untuk mengelak rumah daripada dimasuki air, namun tidak melegakan kerisauan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Pada 4 Jun tahun lalu, Utusan Malaysia melaporkan lebih 5,000 penduduk di kampung, dua daripadanya terletak di Kapar menanggung risiko risiko banjir lumpur berikutan Bukit Kerayong, Bukit Payung dan Bukit Cherakah yang ditarah.
Aktiviti tersebut dibuat untuk diambil tanah bagi tujuan penambakan dan pembinaan kilang di kawasan berhampiran.
Malah, keadaan bukit-bukit yang ‘botak’ itu boleh dilihat melalui Jalan Meru Tambahan dari arah Puncak Alam dan Jalan Bukit Cerakah serta Jalan Bukit Kerayong berdekatan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) di Kapar.
Tanah-tanah yang ditarah diangkut menggunakan lori ke dua kawasan perindustrian seluas kira-kira 100 hektar di Jalan Kampung Bukit Kerayong yang tapaknya sudah dibersihkan.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Mat Zin Sahl, 63, memberitahu banjir kilat yang kerap berlaku di kampung berkenaan mengganggu rutin harian penduduk termasuk pergerakan pergi dan pulang pelajar sekolah.
“Ketika banjir, sebahagian pelajar sekolah berhampiran tak boleh pulang kerana laluan ke rumah mereka terputus akibat dilimpahi air. Van, motosikal, kenderaan kecil tak lepas, baru-baru ini sebuah van nyaris hanyut kerana paras air tinggi.
“Saya cadangkan kepada pihak berkuasa supaya membina saluran air bawah tanah yang boleh tembus ke parit utama kerana saluran sedia ada tidak mampu menampung limpahan air dan lumpur selain terhalang dengan kawasan tanah tinggi sehingga melimpah masuk ke kebun dan rumah penduduk,” ujarnya.- UTUSAN
Aktiviti korek tanah tanpa permit
- Admin UKK
- Berita
KLANG: Aktiviti pengorekan tanah di Bukit Payung dan Bukit Kerayong didakwa dilakukan secara haram sejak permit yang diberikan kepada operator oleh pejabat daerah dan tanah (PDT) tamat pada tahun lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa, Noor Najhan Mohamad Salleh berkata, isu tarah kedua-dua bukit berkenaan membimbangkan penduduk kerana mencetuskan banjir lumpur ketika hujan lebat.
Menurutnya, permit operator ditamatkan dipercayai selepas aktiviti pengorekan tanah itu memberi kesan sosial kepada penduduk, namun mendakwa pernah didatangi beberapa operator cuba mendapatkan sokongannya bagi memperoleh permit baharu.
“Permit mereka tamat pada tahun lalu, namun saya tidak memberikan sebarang surat sokongan.
“Bagaimanapun, sehingga hari ini kelihatan ada antara mereka yang masih menarah kedua-dua bukit secara haram untuk membawa keluar tanah bagi kegunaan aktiviti pembinaan di kawasan berhampiran,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelasnya, sebelum ini pihaknya pernah menerima aduan berkenaan isu banjir dan difahamkan operator diarahkan untuk membina kolam tadahan.
“Bagi mengelak banjir, sebelum ini operator pernah diarahkan membina kolam takungan untuk menampung limpahan air hujan, sekurang-kurangnya air tidak terus mengalir ke bawah (kawasan kampung). Pernah saya tinjau, operator kata ada kolam. Tetapi, bila saya tinjau tak nampak pula kolam tersebut, tak tahulah betul atau tidak ia dibina,” ujarnya.
Kata Noor Najhan, beliau menyarankan kerajaan negeri memeriksa semula keperluan penambahan kakitangan di peringkat pihak berkuasa PDT untuk memantau aktiviti pembinaan atau pengorekan tanah dengan atau tanpa permit. –UTUSAN
SUBANG JAYA: “Usaha 20 tahun saya musnah sekelip mata.”
Itu luahan seorang pengusaha bas sekolah dan perkhidmatan khemah, Mohd. Radzi Mohd. Rashid, 43, apabila seluruh kediaman dan aset perniagaannya musnah dalam tragedi letupan paip gas di Kampung Kuala Sungai Baru, Putra Heights di sini, bulan lalu.
Mohd. Radzi berkata, beliau menanggung kerugian dianggarkan hampir RM1 juta selepas tiga bas sekolah, tiga van, beberapa rumah sewa, sistem pendawaian kediaman serta peralatan perniagaan hangus terbakar dalam kejadian itu.
“Rumah saya musnah keseluruhan. Tiada satu pun dapat diselamatkan. Bas sekolah, van semua musnah. Rumah sewa empat unit habis terbakar. Saya juga masih belum sembuh sepenuhnya kerana lengan kanan melecur tahap tiga, muka pun terjejas,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Radzi yang sebelum ini menetap di Lot 5 Kampung Kuala Sungai Baru kini menyewa di lot 43 kampung sama buat sementara waktu.
Katanya, perniagaan yang diusahakan lebih dua dekad itu pada asalnya diwarisi daripada bapa dan menjadi punca rezeki utama keluarganya termasuk beberapa pekerja tempatan.
“Saya tidak dapat menjana sebarang pendapatan sekarang. Hendak pulihkan rumah, hendak baiki pendawaian elektrik, upah tukang, ganti bas dan van, semuanya perlukan belanja besar. Belum masuk lagi peralatan khemah yang musnah,” katanya dengan nada sayu.
Tambahnya, kerosakan besar pada aset utama seperti kenderaan dan sistem pendawaian menjadi faktor utama nilai kerugian mencecah angka jutaan ringgit.
“Ini bukan kerosakan kecil. Satu rumah pun kos baik pulih boleh cecah ratusan ribu ringgit. Kalau ada wayar hangus, tukar semula. Bas dan van pula bukan murah, itu semua perlukan insurans dan servis khas,” ujarnya.
Dalam pada itu, seorang lagi penduduk, Mohd. Saifullizam, 40, turut menganggarkan kerugian mencecah RM500,000 selepas dua unit rumahnya yang disewakan musnah sepenuhnya akibat letupan.
“Rumah-rumah ini saya sewakan. Sekarang semuanya musnah, penyewa pun hilang tempat tinggal. Saya sendiri terpaksa menyewa di Shah Alam,” katanya.
Tambahnya, letupan itu juga menyebabkan tanah runtuh yang mengambus longkang utama, namun tiada penjelasan lanjut mengenai perparitan dalam pelan baik pulih. – UTUSAN
SHAH ALAM: Laporan siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung insiden letupan dan kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya dekat sini dijangka dibentangkan dalam tempoh seminggu lagi.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata ketika ini polis sudah menamatkan siasatan berkaitan kecuaian, khianat ataupun kesalahan jenayah berhubung insiden berkenaan.
"Laporan sedang disiapkan dan kita jangkakan dalam tempoh seminggu daripada sekarang. PDRM akan membentangkan laporan untuk perhatian masyarakat dan ia akan dinilai oleh jawatankuasa yang seterusnya," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Sewa Rumah Mangsa Insiden Kebakaran Paip Gas Putra Heights di Foyer, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.
Amirudin berkata, pihak Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) juga giat melaksanakan siasatan sejak hari pertama hingga kini.
"Hanya Pos Kawalan Hadapan di kawasan bencana dikekalkan supaya kita dapat kawal dan membenarkan pihak seperti JKKP serta pihak teknikal lain melakukan siasatan lanjut.
"Saya anggarkan JKKP memerlukan sekurang-kurangnya sebulan dari sekarang untuk memuktamadkan laporan siasatan itu sebelum dibentangkan ke kabinet dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN)," katanya.