KANGAR: Sebanyak 183 panggilan diterima Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) negeri membabitkan kes kebakaran di Perlis berikutan cuaca panas dan kering sepanjang Januari dengan anggaran kerugian RM859,300.
Daripada jumlah itu, kes kebakaran belukar merekodkan 137 kes manakala kebakaran bangunan serta struktur pula melibatkan sebanyak 14 kes bagi tempoh sama.
Pengarah JBPM negeri, Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin berkata, jumlah kes yang direkodkan itu menunjukkan peningkatan berbanding tempoh sama pada tahun lalu dan dijangka berterusan sehingga peralihan monsun nanti.
“Ini menunjukan paten kebakaran yang berlaku ketika ini adalah melibatkan kawasan belukar atau lalang dan kebakaran terbuka. Faktor cuaca juga menyumbang kepada peratusan dan bilangan yang tinggi ini,” katanya ketika ditemui selepas Perbarisan Tahunan JBPM negeri 2026 di Ibu Pejabat JBPM, di sini, semalam.
Wan Mohd Hamizi berkata, sepanjang tahun lalu, JBPM negeri menguruskan sebanyak 714 operasi melibatkan 400 operasi kebakaran, 308 operasi penyelamatan dan tiga operasi tugas khas.
Katanya, ramalan cuaca oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) juga menunjukkan cuaca panas dan kurang hujan ini dijangka berterusan di kebanyakan tempat terutamanya di kawasan Utara Semenanjung sehingga 10 Februari ini.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka, sama ada secara sengaja atau tidak terkawal dan berhati-hati dalam aktiviti harian yang boleh mencetuskan kebakaran,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Wan Mohd Hamizi berkata, JBPM negeri turut menerima dua jentera bomba kompak atau CFRT yang akan membantu anggota untuk akses ke kawasan kebakaran di luar bandar yang mempunyai laluan kecil dan berliku serta laluan bendang sawah.
Katanya, dua jentera berkenaan amat membantu dan merupakan keperluan khususnya pada musim kemarau ini dalam melakukan tugas-tugas pemadaman kebakaran.
“Jentera ini akan ditempatkan di Balai Bomba dan Penyelamat Padang Besar serta Arau sebagai persediaan bagi melakukan operasi pemadaman kebakaran,” katanya.-UTUSAN
PETALING JAYA: The Malaysian Meteorological Department (MetMalaysia) has issued a warning for thunderstorms, heavy rain and strong winds across several areas in Perak, Selangor and Sarawak.
According to MetMalaysia, thunderstorms, heavy rain and strong winds are expected over the following areas until 9.00am on Friday (Feb 6): in Perak, Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk and Hilir Perak; in Selangor, Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Petaling, Kuala Langat and Sepang; and in Sarawak, Mukah (Dalat and Mukah) and Bintulu.
PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir yang dijangka berlarutan sehingga pukul 1 tengah hari ini di beberapa negeri.
MetMalaysia menerusi satu kenyataan memaklumkan cuaca buruk itu dijangka melibatkan Perak di Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk dan Hilir Perak.
“Sementara itu, amaran ribut petir itu juga turut dijangka bagi seluruh negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya,” katanya.
Menurut MetMalaysia, hujan lebat dan ribut petir turut dijangka berlaku di Negeri Sembilan melibatkan Seremban dan Port Dickson.
Cuaca sama turut dijangka berlaku di Sarawak melibatkan Sibu (Selangau), Mukah (Matu, Dalat dan Mukah) dan Bintulu. – KOSMO! ONLINE
JOHOR BAHRU: Johor akan melaksanakan kaedah ‘total flooding’ dan ‘firebreak’ bagi menangani kebakaran terbuka terutama melibatkan tanah gambut di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, langkah itu bagi memastikan kebakaran tanah gambut di Kluang, Muar dan Kota Tinggi tidak terus melarat.
Katanya, kesemua kos bagi pelaksanaan operasi-operasi memadam kebakaran itu akan ditanggung Tabung Bencana Negeri Johor.
“Bagi memastikan operasi pemadaman lebih berkesan, Kerajaan Negeri mengarahkan pelaksanaan kaedah `total flooding’, pembinaan ‘firebreak’ serta penggunaan pam bertekanan tinggi secara agresif bagi mengelakkan api merebak bawah tanah.
“Bekalan air tambahan turut digerakkan segera, termasuk pengepaman berterusan dari sumber berhampiran ke sistem parit ladang dan tangki simpanan.
“Sistem pam perparitan diaktifkan sepenuhnya bagi mengurangkan kebergantungan kepada penghantaran air secara ulang-alik, manakala pembinaan firebreak dipercepatkan sebagai benteng kawalan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Onn Hafiz, kerajaan negeri juga telah mengemukakan permohonan rasmi kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi pelaksanaan operasi pembenihan awan sebagai langkah tambahan.
“Usaha ini bertujuan meningkatkan kelembapan di kawasan terjejas serta menyokong keberkesanan usaha pemadaman kebakaran yang sedang dijalankan pihak berwajib.
“Setakat ini terdapat tiga kawasan utama terlibat iaitu di Bakri Batu 13 dan 14, Muar; Bio-Desaru, Tanjung Balau serta Sungai Linau , Simpang Renggam. Kesemua lokasi dalam keadaan terkawal namun belum dipadam sepenuhnya.
“Ketika ini operasi pemadaman dilaksanakan 24 jam tanpa henti melibatkan lebih anggota daripada Jabatan Bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan agensi berkaitan,” katanya. – UTUSAN
SHAH ALAM: Pasukan bomba memadam kebakaran di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan (HSKLS) dekat Sungai Kelambu di Kuala Langat, seluas kira-kira 15 hektar daripada keseluruhan 23 hektar.
Ketua Zon 5 (KLIA), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba II, Mohamad Issmanto Md. Pono berkata, kebakaran sudah dipadam dan berbaki kira-kira 7 hektar.
“Sehingga pukul 10 pagi tadi, Kebakaran masih aktif namun tidak menjejaskan penempatan berhampiran Loji Rawatan Air (LRA) berdekatan.
“Kerja-kerja kawalan melibatkan lapan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya, kerja kawalan turut dibantu oleh pelbagai agensi lain seperti Skuad Pasukan Tindakan Segera (Pantas) Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pejabat Tanah dan Daerah (PTD), Jabatan Perhutanan Selangor (JPNS) serta Unit Pengurusan Bencana Selangor dengan keseluruhan 41 pegawai dan anggota.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, kawasan hutan simpan seluas kira-kira empat hektar berdekatan LRA Sungai Kelambu, terbakar.
Penolong Pengarah JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, kejadian tersebut berlaku semalam, namun operasi pemadamannya dilakukan hari ini apabila tiada sumber air dan akses ke lokasi.
Katanya, bomba bomba menerima panggilan pada pukul 12.43 tengah hari semalam dan menggerakkan sepasukan dari BBP Banting ke tempat kejadian. – UTUSAN
