Bomba tumpu padam kebakaran hutan berhampiran sekolah di Kuala Abang
- Admin UKK
- Berita
DUNGUN: Operasi pemadaman kebakaran hutan paya gambut di Kampung Baru, Kuala Abang di sini hari ini ditumpukan kepada kawasan berhampiran dua sekolah bagi memastikan sesi persekolahan dapat berjalan seperti biasa.
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Terengganu, Penguasa Bomba Kasyfi Syahmi Ghazali, berkata pihaknya memberi keutamaan kepada kawasan berkenaan, susulan kebimbangan terhadap keselamatan pelajar serta kemungkinan gangguan terhadap keselesaan pembelajaran akibat keadaan asap tebal.
Dua sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru Kuala Abang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Kuala Abang.
Kebakaran hutan yang bermula Rabu, telah menyebabkan kawasan kampung berkenaan diselubungi asap tebal sehingga menjejaskan jarak penglihatan serta kualiti udara.
"Kawasan operasi pemadaman dibahagikan kepada tiga sektor dengan tumpuan hari ini diberikan di kawasan berhampiran SMK Agama Kuala Abang dan SK Kampung Baru Kuala Abang," katanya ditemui di lokasi kejadian di Kampung Baru Kuala Abang, di sini hari ini.
Kasyfi Syahmi berkata, kebakaran itu membabitkan kawasan hutan seluas 34 hektar dan sebahagian besar daripadanya sudah a dipadamkan, manakala seluas enam hektar atau 20 peratus masih dalam proses pemadaman.
Bomba menjangkakan kebakaran itu dapat dipadamkan dalam tempoh tiga hari lagi, bergantung kepada keadaan cuaca termasuk arah angin serta punca api.
"Pada hari ini seramai 90 anggota bomba bersama penduduk setempat dan agensi lain turut terbabit dalam operasi pemadaman ini," katanya.
Sementara itu beliau berkata penggunaan helikopter bagi operasi pengeboman air di kawasan sukar diakses pasukan darat sejak Jumaat lepas ditangguhkan sementara hari ini, bergantung kepada keadaan semasa operasi.
