PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Infografik

Projek RTB Alor Gajah Fasa 1 Siap Januari 2026

ALOR GAJAH: Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Alor Gajah Fasa 1 yang dimulakan sejak Ogos 2022 kini mencatatkan kemajuan fizikal sebanyak 66 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada Januari 2026.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata meskipun berlaku sedikit kelewatan iaitu empat peratus daripada jadual asal akibat isu utiliti dan tanah, keseluruhan pelaksanaan projek masih berada di landasan yang betul.

“Projek ini dijangka mampu memberi manfaat kepada 1,275 penduduk yang sering terjejas akibat banjir, terutamanya di kawasan Taman Sri Bayu, taman-taman perumahan sekitar serta beberapa kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia,” katanya selepas mengiringi Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh meninjau dan mendengar sesi taklimat berkaitan tapak projek berkenaan di Seri Pengkalan di sini hari ini.

Terdahulu, Ab Rauf meluangkan masa hampir 30 minit meninjau lokasi itu, yang turut dihadiri Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Datuk Fairul Nizam Roslan serta Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka Mohd Adnan Ahmad Fauzi.

Sementara itu, Rais berkata projek berimpak tinggi yang merangkumi pembinaan kolam takungan banjir seluas 10 hektar kini mencapai kemajuan 87 peratus, selain kerja-kerja menaik taraf Sungai Alor Gajah di Taman Sri Bayu 2 sepanjang satu kilometer yang mencapai 62 peratus serta pembinaan ban banjir sepanjang 350 meter telah siap sepenuhnya.

“Lebih utama apabila projek asal bernilai RM17 juta itu siap kelak, kawasan banjir yang dapat dikurangkan dianggarkan seluas 418 hektar,” katanya.

Rais berkata lawatan kedua Ketua Menteri bagi meninjau kemajuan projek itu menjadi signifikan dan sokongan berterusan terhadap usaha menambah baik sistem saliran serta perlindungan banjir di kawasan terbabit.

“Insya-Allah projek ini akan disiapkan mengikut jangkaan dan memberi manfaat besar kepada penduduk. Walaupun ada kelewatan kecil, semuanya masih terkawal dan dalam pelaksanaan,” katanya.- Bernama

Empangan Bukit Merah masih kritikal di sebalik peningkatan paras air

KUALA LUMPUR: Empangan Bukit Merah, Perak menunjukkan peningkatan sebanyak 0.4 peratus baki stok simpanan semasa air mentah hari ini, namun masih berada pada paras kritikal iaitu 16.83 peratus berbanding 16.43 peratus semalam.

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Abdul Halim Hamzah, berkata selain itu terdapat dua empangan berada pada paras waspada iaitu Empangan Muda, Kedah pada paras 32.95 peratus dan Empangan Ahning, Kedah (58.54 peratus).

Menurutnya, Empangan Bukit Merah berada di bawah paras normal sejak 17 Jun lalu.

"Pejabat Operasi Empangan Bukit Merah sudah menghentikan bekalan pengairan setelah paras air mencapai bawah 20 kaki dan hanya membekalkan air ke loji loji Lembaga Air Perak (LAP) berkuat kuasa 21 Julai lalu.

"Empangan Muda dan Empangan Ahning di Kedah berada di bawah paras normal bermula semalam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Halim berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut mengeluarkan hebahan ramalan kemarau bagi satu lembangan sungai, iaitu Lembangan Sungai Muda, Baling, Kedah di satu stesen iaitu Sungai Ketil, Kuala Pegang, Baling, Kedah.

"Dua stesen kadar alir masih menunjukkan kadar alir sungai di bawah normal iaitu Sungai Pahang di Temerloh, Pahang dan Sungai Galas di Dabong, Kuala Krai, Kelantan yang telah dikemas kini semalam," katanya.

Hujan monsun ragut 302 nyawa di Pakistan sejak Jun

ISLAMABAD: Sekurang-kurangnya 302 orang maut manakala 727 lagi cedera dalam insiden berkaitan hujan di seluruh Pakistan sejak 26 Jun lalu, menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMA) pada Isnin.

Berdasarkan laporan terkini NDMA, dua orang maut dan 12 cedera dalam tempoh 24 jam yang lalu ketika hujan monsun lebat terus melanda pelbagai bahagian negara itu. Wilayah timur Punjab merupakan kawasan paling terjejas dengan 163 kematian dan 579 kecederaan dilaporkan.

Di wilayah barat laut Khyber Pakhtunkhwa pula, sebanyak 71 kematian dan 86 kecederaan direkodkan. Pihak berkuasa mengeluarkan amaran hujan lebat di bahagian utara dan tengah dari 5 hingga 10 Ogos, serta menasihati kerajaan-kerajaan wilayah agar melaksanakan operasi bantuan di samping memantau kawasan berisiko tinggi sepanjang tempoh terbabit. - Bernama-Xinhua

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search