ALOR SETAR: Mangsa banjir di Kedah meningkat apabila satu lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Pendang, petang semalam.
PPS di Dewan Pejabat Penghulu Mukim Bukit Raya itu dibuka 6 petang dengan menempatkan 26 mangsa daripada sembilan keluarga dari Kampung Pulai dan Kampung Senggora di Mukim Bukit Raya.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kedah dalam kenyataannya memaklumkan, ia menjadikan jumlah terkini mangsa banjir di negeri ini meningkat kepada 153 mangsa daripada 66 keluarga di dua daerah iaitu Yan dan Pendang, setakat ini.
"Di daerah Yan, mangsa dipindahkan ke PPS adalah 127 orang. Kesemua mangsa di daerah Yan ditempatkan di tiga PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Teroi
"Seramai 74 mangsa daripada 35 keluarga; SJK (C) Pei Eng, seramai 34 orang daripada 15 keluarga dan di Dewan Lestari Guar Chempedak (19 mangsa daripada 7 keluarga.
"Semua mangsa terbabit dari tiga kampung iaitu Kampung Teroi, Kampung Titi Teras dan Kampung Sedaka Tengah di Mukim Yan dan Sungai Daun," menurut kenyataan itu lagi.
Dalam pada itu, berdasarkan maklumat daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras air Sungai Pendang kini melepasi paras amaran 2.882 meter (m) berbanding paras normal 2.7m.
PUCHONG, 30 Oktober – Kawasan yang jarang dilanda banjir lebih membimbangkan dan perlu diberi perhatian khusus menjelang Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027 bagi menghadapi kejadian banjir luar jangka.
Pengarah Kanan Pusat Operasi Cuaca dan Gempa Bumi Nasional Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Makrun Fadzli Mohd Fahmi berkata, pengalaman menguruskan MTL sebelum ini menunjukkan kawasan yang sering dilanda banjir lazimnya mempunyai tahap kesiapsiagaan dan kecekapan tindak balas lebih baik.
“Bagi MTL kali ini, kita masih menjangkakan akan berlaku beberapa episod hujan lebat. Bagaimanapun, berdasarkan maklumat dan unjuran semasa, setakat ini tiada petunjuk yang menunjukkan keadaan cuaca ekstrem.
“Bagaimanapun, pemantauan akan terus dilakukan setiap hari bagi menilai perkembangan cuaca semasa. Sekiranya terdapat potensi berlakunya hujan lebat, MetMalaysia akan mengeluarkan amaran mengikut prosedur operasi standard (SOP), lazimnya dalam tempoh satu hingga tiga hari lebih awal, bergantung kepada tahap keyakinan terhadap ramalan tersebut,”katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sesi libat urus bersama media mengenai kesiapsiagaan kerajaan menghadapi MTL 2026/2027, di sini hari ini.
Episod hujan lebat kebiasaannya memuncak pada Disember, manakala tempoh antara hujung November hingga awal Januari turut menjadi antara jangkaan awal berlakunya keadaan berkenaan.
Pemantauan cuaca akan dilakukan setiap hari bagi menilai perkembangan semasa dan mengenal pasti sebarang potensi hujan lebat yang boleh meningkatkan risiko banjir.
MetMalaysia mempunyai tiga kategori amaran hujan lebat iaitu kuning, jingga dan merah yang dikeluarkan berdasarkan tahap intensiti hujan serta risiko yang dijangkakan.
Sehubungan dengan itu, semua pihak diingatkan supaya tidak menjadikan unjuran awal cuaca sebagai alasan untuk mengabaikan persediaan menghadapi banjir, khususnya di kawasan yang tidak mempunyai sejarah kejadian banjir.
PUCHONG, 30 Oktober – Persiapan menghadapi banjir perlu dilaksanakan di semua kawasan termasuk lokasi yang tidak pernah atau jarang dilanda banjir.
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Meor Ismail Meor Akim berkata, kawasan yang tidak pernah dilanda banjir lebih membimbangkan kerana penduduk dan agensi setempat mungkin kurang bersedia sekiranya kejadian berlaku di luar jangkaan.
“Sebagai contoh, Taman Sri Muda yang sebelum ini tidak pernah mengalami banjir, akhirnya turut dilanda bencana berkenaan. Kejadian seperti ini menunjukkan banjir boleh berlaku di kawasan yang tidak dijangka, antara lain disebabkan faktor perubahan iklim.
“Sehubungan dengan itu, kita tidak boleh hanya memberi tumpuan kepada kawasan yang biasa dilanda banjir, sebaliknya semua kawasan perlu membuat persiapan kerana risiko banjir boleh berlaku di luar jangkaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Sesi Libat Urus Bersama Media : Kesiapsiagaan Kerajaan Menghadapi MTL tahun 2026 di sini.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembelian panik bagi menghadapi MTL.
“Untuk rakyat, kita insya-Allah beli makanan dan minuman mengikut keperluan. Tak perlu buat pembelian panik. Buat persiapan biasa dan beli sekadar yang perlu,” katanya lagi.
Semua agensi berkaitan tidak mengambil mudah persiapan di kawasan berkenaan dan memastikan tindakan awal dapat dilaksanakan sekiranya berlaku bencana.
Orang ramai turut dinasihatkan menyimpan dokumen serta barangan penting di tempat lebih tinggi, selain membuat persediaan awal bagi ahli keluarga yang memerlukan perhatian khusus seperti warga emas, orang kurang upaya (OKU), kanak-kanak dan wanita hamil.
Pemindahan awal juga wajar dilakukan sekiranya terdapat amaran cuaca yang menunjukkan risiko banjir bagi mengelakkan kesukaran operasi menyelamat apabila kawasan mula dinaiki air.
PUCHONG, 30 Oktober –Seramai 101,901 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi penyelamat serta lebih 40,000 aset berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula pada penghujung bulan ini hingga Mac tahun depan.
Ketua Penolong Pengarah, Seksyen Penyelarasan Operasi, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Mejar Wazirudin Mahfot@Mahbott berkata, jumlah itu merangkumi 47,100 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Polis Diraja Malaysia (21,477 anggota), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (15,145 anggota), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (12,927 anggota) serta Angkatan Tentera Malaysia (5,252 anggota).
“Kesiapsiagaan melibatkan penyelarasan antara agensi bagi memastikan operasi menyelamat, pemindahan mangsa dan pengurusan bencana dapat dilaksanakan dengan cekap jika berlaku banjir atau bencana lain,” katanya pada Sesi Libat Urus NADMA bersama dengan Media Mengenai Kesiapsiagaan Kerajaan Menghadapi MTL 2026/2027 di sini.
Selain itu, beliau berkata antara aset terlibat ialah 2,024 kenderaan pacuan empat roda, kenderaan pelbagai jenis (1,177), ambulans (174), bot (2,425), pesawat udara (28), dron (27) dan 35,301 jaket keselamatan.
“Agensi teknikal termasuk Jabatan Kerja Raya serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut menyediakan aset sokongan termasuk 17 jentera berat, pam bergerak (575) dan set generator (30),”jelasnya.
Sementara itu, sebanyak 3,045 titik panas banjir (hotspot) dikenal pasti di seluruh negara berdasarkan data Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), dengan Kelantan merekodkan jumlah tertinggi sebanyak 609 lokasi, diikuti Pahang (572), Terengganu (460) dan Sabah (348).
Data Jabatan Mineral dan Geosains pula menunjukkan sebanyak 31 hotspot tanah runtuh dikesan antaranya Gunung Jerai, Kedah; Tanjung Bungah, Pulau Pinang; Kundasang, Sabah dan Cameron Highlands, Pahang.
Tambah beliau, kerajaan menyediakan sebanyak 8,321 pusat pemindahan sementara di seluruh negara dengan kapasiti hingga kira-kira 1.9 juta mangsa bencana manakala dua pusat pemindahan kekal bencana di Johor dan Pahang boleh menempatkan 1,600 penduduk terjejas.
Mengulas mengenai bekalan makanan, beliau berkata sebanyak 60,000 kit makanan dan 170,000 pek makanan retort diperuntukkan dengan 29,900 kit makanan serta 94,510 pek makanan retort telah diagihkan ke semua negeri.
“Baki 30,100 unit kit makanan dan 75,490 unit makanan retort akan diagihkan bergantung kepada keperluan negeri,” jelasnya.
PUCHONG, 30 Oktober –Tindakan segelintir pempengaruh menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan bencana demi meraih perhatian boleh mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat.
Pengamal media dan orang ramai digesa membendung penyebaran maklumat palsu serta memastikan laporan bencana berasaskan sumber yang sahih dan boleh dipercayai.
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Meor Ismail Meor Akim berkata, penyampaian maklumat yang tepat dan bertanggungjawab amat penting bagi mengelakkan kekeliruan serta memastikan masyarakat tidak bertindak berdasarkan maklumat yang belum disahkan.
“Semua pihak mempunyai peranan dan tanggungjawab kepada rakyat serta negara. Saya berharap media dapat membantu kita dengan tidak mengeluarkan berita yang boleh mencetuskan sensasi.
“Saya ada pengalaman apabila berdepan individu seperti ini. Mereka mengeluarkan video yang boleh menyebabkan orang ramai panik, tetapi apabila kita mengambil tindakan dan membuat pemeriksaan, rupa-rupanya tujuan mereka hanya untuk mendapatkan pengikut dan menghasilkan kandungan.
“Bayangkan mereka buat kandungan semata-mata untuk mendapatkan pengikut. Janganlah kita melakukan perkara seperti ini,” katanya kepada media ketika sesi libat urus bersama media mengenai kesiapsiagaan kerajaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027, di sini.
