PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Kepakaran teknologi senjata utama operasi SAR SMART di Nepal - Lih Kang

Kepakaran teknologi senjata utama operasi SAR SMART di Nepal - Lih Kang

GEORGETOWN: Pasukan penyelamat Malaysia yang dikerahkan ke Nepal dilengkapi kepakaran teknologi bagi menjalankan operasi bantuan bencana.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang, berkata beliau tidak pasti secara terperinci teknologi khusus dibawa Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke Nepal.

Namun, katanya, pasukan berkenaan dilengkapi pengetahuan dan kepakaran untuk menggunakan teknologi bersesuaian dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).

"Pasukan SMART dilengkapi pengetahuan dan pemahaman mengenai teknologi ini serta cara penggunaannya," katanya pada sidang media selepas Kongres Kejuruteraan, Sains dan Teknologi (ESTCON) 2026 Ke-9, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Meor Ismail Meor Akim, berkata 11 pegawai dan anggota dihantar ke Nepal memiliki pelbagai kepakaran berbeza bagi bagi membantu operasi dalam situasi bencana antaranya pakar SAR, kendalian dron, logistik, komunikasi dan sokongan teknikal.

Mereka membawa pelbagai peralatan seberat 12.4 tan antaranya kelengkapan menyelamat, alat pengesan, sistem komunikasi, dron berkapasiti tinggi, peralatan khas menyelamat terowong, sebuah kenderaan pacuan empat roda dan satu trak muatan 10 tan.

Dalam pada itu, Lih Kang berkata teknologi memainkan peranan penting dalam operasi tindak balas bencana, termasuk mengesan mangsa, mengenal pasti mayat serta memantau ancaman yang boleh membahayakan anggota penyelamat.

Merujuk tragedi tanah runtuh di Batang Kali di Selangor sebelum ini, beliau berkata Malaysia menggunakan pelbagai teknologi, termasuk analisis asid deoksiribonukleik (DNA), bagi membantu mengenal pasti mangsa.

Beliau berkata, teknologi angkasa lepas turut digunakan untuk mengesan kemungkinan berlaku tanah runtuh susulan dan membantu memastikan keselamatan pasukan penyelamat di lokasi kejadian.

Lih kang berkata, pengalaman berkenaan membuktikan kepentingan memperkukuh keupayaan teknologi tempatan dalam pengurusan bencana serta operasi SAR.

"Teknologi sememangnya memainkan peranan dalam semua misi SAR ini," katanya.

Beliau berkata, Malaysia perlu terus membangunkan teknologi sendiri bagi menyokong misi menyelamat serta meningkatkan tahap kesiapsiagaan negara dalam menghadapi bencana.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search