SMART beroperasi dari Trishuli Bazar, Nepal
- Admin UKK
- Berita
Kuala Lumpur: Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) MAS-01 tiba di Trishuli Bazar, Nepal bagi melaksanakan misi Bantuan Kemanusiaan dan Bantuan Bencana (HADR) di kawasan terjejas.
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Meor Ismail Meor Akim, berkata pasukan berkenaan menjadikan sebuah kem tentera sebagai pusat operasi (Base of Operations) sepanjang misi.
"SMART memaklumkan mereka sudah tiba dan berada di satu kem tentera, namun tidak dinyatakan nama kem berkenaan," katanya kepada BH, di sini, hari ini.
Sabtu lalu, 11 pegawai dan anggota SMART berlepas ke Nepal menaiki pesawat A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Subang, kira-kira jam 9 pagi.
Pasukan turut membawa peralatan mencari dan menyelamat (SAR) bagi menyokong operasi di kawasan terjejas dan dijangka berada di Nepal antara tujuh hingga 10 hari.
Setakat ini, nasib 55 rakyat Malaysia yang gagal dihubungi susulan banjir kilat dahsyat di Nepal pada 26 Ogos lalu kekal menjadi tanda tanya.
