Laluan lencongan Jalan Gua Musang-Lojing dibuka Khamis ini
- Admin UKK
- Berita
GUA MUSANG: Jalan Gua Musang-Lojing yang ditutup sejak 3 Disember lalu susulan tanah runtuh, dijangka dibuka semula kepada pengguna pada 21 Mei ini dengan menggunakan laluan lencongan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Datuk Dr Izani Husin, berkata pembinaan jalan lencongan sementara di lokasi terjejas itu kini hampir siap dan dijangka mula digunakan pada Khamis ini.
Beliau berkata, pembukaan laluan itu amat penting bagi memulihkan semula hubungan pengangkutan antara Kelantan, Pahang dan Perak yang terjejas sejak kejadian tanah runtuh berlaku.
"Pembukaan laluan ini sudah tentu penting dalam memulihkan rangkaian pengangkutan serta merancakkan kembali sektor ekonomi antara negeri, khususnya membabitkan sektor pertanian, pelancongan dan logistik.
"Bagi pihak kerajaan negeri, kita akan terus berusaha sedaya upaya. Saya juga merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kerja Raya serta Menteri Kerja Raya atas keprihatinan dan kerjasama erat dalam menangani isu ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, Izani berkata, laluan berkenaan hanya jalan lencongan sementara, dan pengguna diminta sentiasa berwaspada ketika melalui kawasan terbabit.
Sebelum ini, media melaporkan Jalan Gua Musang-Lojing FT185 Seksyen 107.6 di Pos Blau runtuh dipercayai akibat pergerakan air bawah tanah.
