Lewat siap pintu air, penduduk jadi mangsa banjir
- Admin UKK
- Berita
PONTIAN – Penduduk Jalan Kebun Baru, Sungai Durian di sini mendakwa, banjir besar yang melanda tempat mereka Sabtu lalu disebabkan oleh kelewatan membina pintu air di kawasan berkenaan.
Kejadian banjir itu disifatkan yang terburuk pernah berlaku dengan air pasang setinggi 3.6 meter memasuki 20 rumah.
Seorang penduduk, Mohamad Izwan Abdul Samad, 39, berkata, dia difahamkan kerja-kerja pembinaan pintu air Sungai Durian lewat disiapkan.
Ini katanya, menyebabkan aliran air dari kawasan sekitar turun ke kawasan itu hingga berlaku limpahan besar.
“Kami penduduk kecewa dengan kelewatan menyiapkan pintu air menyebabkan penduduk menerima kesannya,” katanya di sini semalam.
Katanya, walaupun tempat itu kerap dilanda banjir kilat, namun tidak seburuk yang berlaku baru-baru ini.
Seorang lagi penduduk, Shahrom Rahmat, 60, berkata, kedudukan rumahnya berhampiran Sungai Durian menyebabkan keseluruhan rumahnya ditenggelami air sehingga melebihi paras lutut.
Katanya, dia dan isteri, Nora Haron, 50, bertungkus lumus terutamanya bagi menyelamatkan barangan cenderamata bagi majlis perkahwinan anaknya dijangka diadakan pada awal Julai ini.
“Dulu berlaku juga kejadian banjir terutama ketika air pasang besar tetapi kali ini paling buruk dialami oleh keluarganya,” ujarnya.
