Jarak keselamatan antara saluran paip gas dan kawasan pembangunan perlu diperluaskan bagi mengurangkan risiko bencana.
Pakar perancang bandar, Abdul Razak Abdul Rahman berkata, garis panduan sedia ada menetapkan jarak selamat minimum sehingga 30 meter (m) daripada paip gas bertekanan tinggi, namun persoalannya adalah sama ada jarak tersebut mencukupi atau perlu ditambah sehingga 50m hingga 100m.
“Sebenarnya dalam perancangan bandar, kita memang ada zon penampan yang perlu dipatuhi bila ada infrastruktur kritikal seperti saluran paip gas.
“Kalau ikut Garis Panduan Perancangan Infrastruktur dan Utiliti Malaysia, jika melibatkan sekolah, hospital atau kawasan tumpuan ramai, zon penampan boleh mencecah 50 meter atau lebih, bergantung kepada tekanan gas dalam paip.
“Kawasan industri biasanya ada fleksibiliti sikit, tapi tetap kena ada sistem keselamatan tambahan seperti pemantauan 24 jam setiap hari atau struktur perlindungan khas,” katanya kepada Sinar Harian.
Abdul Razak yang juga Pengarah Fourmate Design iaitu sebuah syarikat perunding perancang bandar, pembangunan dan lanskap berkata, terdapat beberapa kes di mana pelaksanaan zon penampan sering kali tidak dipatuhi sepenuhnya dalam fasa pembangunan.
“Contoh, bila masuk fasa pembangunan, ada pemaju yang cuba minimumkan jarak untuk dapatkan ruang pembangunan lebih luas supaya dapat lebih untung. Kalau tiada pemantauan ketat, ia akan dikompromi dan boleh jadi sekadar angka atas pelan sahaja.
“Apa yang kita kena semak, kalau rumah atau kedai terletak terlalu hampir, ini bermakna zon keselamatan mungkin telah dikompromi, dan adakah 30 meter cukup selepas melihat impak kepada letupan dan haba yang dihasilkan?
“Kedua, walaupun sekiranya zon penampan dipatuhi, tapi kalau paip gas tidak diselenggara dengan baik, kebocoran tetap boleh berlaku,” ujarnya.
Menurut beliau, bagi mengelakkan insiden tidak diingini berlaku, pihak bertanggungjawab perlu menerapkan penggunaan teknologi agar ia boleh meningkatkan kecekapan pemantauan.
“Negara maju sudah lama guna sistem pemantauan berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan satelit, tapi kita di Malaysia masih bergantung kepada pemeriksaan manual yang kadang-kadang tidak cukup pantas untuk kesan masalah sebelum ia jadi bencana,” tambah beliau.
Jelasnya, antara langkah jangka pendek boleh dilakukan untuk mengelakkan bencana ialah dengan melakukan audit pada semua paip gas di kawasan berpenduduk padat, mengawal ketat zon penampan dan memasang sistem pengesanan kebocoran gas secara masa nyata.
ULASAN BERITA
Pagi hening Syawal kedua, negara dikejutkan dengan tragedi letupan besar di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Selangor. Letupan berpunca daripada kebocoran saluran paip gas itu, mengakibatkan keadaan huru hara di sekitarnya.
Impak letupan dengan api yang marak menjulang ke udara, dapat dilihat sejauh beberapa kilometer dari lokasi kejadian. Letupan kuat menghasilkan bahang yang amat panas, memaksa penduduk sekitar bertempiaran melarikan diri.
Tanpa menghiraukan keadaan sekeliling, yang utama, nyawa perlu diselamatkan. Ada yang berkaki ayam, memanjat pagar, malah terjun ke sungai. Penduduk menyifatkannya bagaikan satu bencana gempa bumi yang dahsyat, atau mengumpamakan letupan bom nuklear yang mengerikan.
Meski tiada nyawa terkorban, lebih 100 mangsa digegaskan ke hospital, dengan 13 masih dirawat di zon merah. Insiden itu turut menyebabkan 300 kediaman mengalami kerosakan, termasuk 78 dilaporkan musnah sepenuhnya. Selain, lebih 100 kenderaan milik penduduk terjejas. Manakala, sebahagian penduduk terpaksa berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS).
Kita percaya, ada mangsa yang masih keliru, masih lagi cuba menerima hakikat rumah yang didiami, hangus terbakar, sekelip mata. Penduduk trauma, mengalami kemusnahan harta benda, dan kehilangan haiwan kesayangan. Jika ditanya perasaan mereka, sukar untuk diungkap dengan kata-kata.
Tragedi Putra Heights, tidak mungkin akan luput dari ingatan. Apatah lagi, ia berlaku ketika umat Islam masih meraikan kemenangan selepas sebulan berpuasa. Sesungguhnya, tiada siapa dapat menjangka tragedi yang melanda. Dalam kegembiraan pasti ada yang berduka.
Namun, apa yang mengharukan adalah, bagaimana tragedi itu menjadi satu titik pertemuan bagi masyarakat berbilang kaum, bersatu hati.
Ia memperlihatkan sisi kemanusiaan yang mendalam dalam kalangan rakyat Malaysia. Ketika api marak masih membakar kawasan kejiranan itu, kita melihat bagaimana masyarakat dari pelbagai latar belakang kaum, agama dan budaya, berganding bahu untuk membantu mangsa-mangsa terjejas.
Bukan sahaja pihak berkuasa dan pasukan penyelamat yang bekerja tanpa henti, tetapi orang ramai turut datang menghulurkan bantuan, sama ada dalam bentuk makanan, pakaian, tenaga kerja, mahu pun sokongan emosi. Yang jauh pula berkirim doa dan kata-kata semangat yang tidak putus-putus menerusi hantaran di media sosial.
Rumah ibadat yang biasanya digunakan oleh penganut agama berlainan, dibuka untuk dijadikan pusat pengumpulan bantuan dan tempat perlindungan sementara. Dengarnya, hingga hari ini bantuan masih lagi mencurah-curah masuk, meski telah melebihi keperluan.
Melalui tragedi itu juga, rakyat Malaysia membuktikan bahawa, ketika dalam kesusahan, perbezaan kaum atau agama, bukan penghalang untuk kita semua bersatu. Tiada Melayu, Cina, India atau lain-lain bangsa. Ketika itu yang ada hanya bangsa Malaysia.
Dalam pada itu, kita turut memuji kecekapan pihak berkuasa dalam menangani situasi tersebut. Insiden letupan saluran paip gas di kawasan padat penduduk adalah yang pertama di negara ini. Risikonya amat besar.
Namun, pihak bomba dan penyelamat bertindak dengan pantas untuk mengawal api. Tindakan cepat dan terkoordinasi berjaya mengelakkan api daripada merebak lebih luas. Sekali gus, mengurangkan risiko kepada nyawa dan harta benda penduduk.
Pada masa hadapan untuk mengelak tragedi seumpama itu berulang, mungkin perlu ada penambahbaikan dari segi pengawasan dan pemasangan sistem amaran awal. Terutama di perumahan yang mempunyai saluran paip kritikal seperti gas, yang berisiko tinggi.
Sementara itu, bantuan yang diumumkan Kerajaan Madani menunjukkan keprihatinan dan sokongan kepada mangsa tragedi Putra Heights. Kebakaran seperti itu sudah pasti memberi kesan besar terhadap kehidupan penduduk.
Oleh itu, bantuan segera adalah sangat penting untuk meringankan beban mereka yang terlibat. Mencakupi semua aspek termasuk kewangan, perubatan, perlindungan dan pemulihan.
Ini bukan sahaja dapat membantu mangsa meneruskan hidup. Tetapi, mencerminkan komitmen kerajaan untuk menjaga kebajikan rakyat, terutama yang dilanda musibah seperti itu.
Dalam pada itu, usahlah berspekulasi tentang punca tragedi di Putra Heights. Jangan juga buat tuduhan melulu atau menuding jari kepada mana-mana pihak. Apatah lagi kesimpulan yang bukan-bukan.
Beri ruang pihak berkuasa untuk melakukan siasatan terperinci dan ambil tindakan sewajarnya, yang penting, semangat perpaduan perlu terus disuburkan. Mungkin hari ini mereka diuji, esok siapa yang tahu rahsia tuhan. Apapun, KITA JAGA KITA.
Ulasan berita ini disediakan oleh Emmi Noraliza Adnan, editor Berita Radio RTM.
SUBANG JAYA: Seramai 56 individu termasuk mangsa, pekerja di tapak projek dan pengawal keselamatan bangunan telah dipanggil untuk dirakam keterangan berhubung insiden letupan paip gas di Putra Heights.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, polis sedang menilai semua keterangan bagi mengenal pasti sama ada wujud sebarang aktiviti mencurigakan atau kejadian yang berpotensi mencetuskan letupan tersebut.
“Setakat ini, seramai 56 saksi telah diambil keterangan, termasuk mangsa, pekerja di lokasi, dan pengawal keselamatan bangunan yang turut cedera,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media perkembangan letupan paip gas di Putra Heights.
Mengulas mengenai pencarian mangsa tambahan, Hussein berkata terdapat dua kawasan semakan termasuk dakwaan seorang mangsa yang dipercayai terjun ke Sungai Klang.
“Bot marin telah digerakkan, namun tiada mayat atau bahagian badan ditemui setakat ini,” jelasnya.
Polis juga telah menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) dan pasukan forensik di kawasan lubang letupan, namun tiada sebarang penemuan sehingga kini.
“Kami masih memerlukan masa untuk menjalankan siasatan lanjut, termasuk menggali kawasan terbabit untuk mengesan sama ada terdapat mangsa tertimbus,” tambahnya.
Setakat ini, katanya kawasan kejadian masih belum stabil sepenuhnya dan kerja penggalian hanya akan dimulakan selepas langkah keselamatan disempurnakan.
SUBANG JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan PETRONAS memiliki sistem untuk mengesan sebarang kebocoran yang mungkin berlaku pada setiap saluran paip gas bawah tanah milik syarikat itu.
Justeru, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata pasukan penyiasatan ketika ini sedang mendapatkan data daripada sistem berkenaan bagi menentusahkan sama ada terdapat kebocoran pada paip gas berusia 30 tahun di lokasi kejadian.
"PETRONAS menerusi maklum balas awal memberitahu tiada sebarang amaran berkaitan kebocoran gas pada paip bawah tanah yang terletak di lokasi kejadian.
"Bagaimanapun, kita perlu mendapatkan butiran terperinci menerusi sistem berkenaan bagi memastikan benar-benar tidak berlaku kebocoran pada laluan paip terbabit," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Selangor, Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin; Pengarah Jabatan Kerja Raya negeri, Shukri Ishak dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Wan Md Razzali Wan Ismail.
BH pada Selasa lalu, melaporkan kebakaran besar paip gas berlaku di Putra Heights, Selangor pada hari kedua Aidilfitri, menyebabkan kemusnahan besar sehingga memaksa sebahagian penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Kebakaran saluran paip gas PETRONAS sepanjang 500 meter yang bermula sekitar jam 8 pagi itu menyebabkan api menjulang tinggi sehingga dapat dilihat beberapa kilometer jauhnya.
Susulan itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia kelmarin, melakukan penandaan terhadap struktur rumah terjejas bagi mengenal pasti tahap keselamatannya, sebelum pasukan penyiasat memulakan tindakan lanjut.
SUBANG JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan terdapat aktiviti mengorek tanah dilakukan berhampiran lokasi letupan paip gas bawah tanah di Putra Heights di sini, pada 30 Mac lalu.
Bagaimanapun, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata pihaknya perlu menjalankan siasatan lanjut bagi menentukan sama ada kerja pengorekan tanah itu adalah punca kejadian terbabit.
Beliau berkata, terdapat tiga unsur yang mungkin mendorong insiden letupan paip gas bawah tanah di Putra Heights itu membabitkan gas, udara dan percikan api.
Katanya, setakat ini seramai 56 saksi sudah dipanggil untuk menjalani sesi rakaman percakapan bagi membantu siasatan insiden terbabit.
"Kerja mengorek tanah dibuat bagi menggantikan paip kumbahan, terletak kira-kira 30 meter (m) dari lokasi letupan. Namun, kita belum mengenal pasti sama ada mereka turut membuat kerja pada hari pertama Aidilfitri atau sebaliknya.
"Berdasarkan keterangan saksi, eskavator yang dilihat pada hari terbabit dikatakan mahu dibawa keluar dari tapak projek, tetapi mereka dikatakan tidak sempat berbuat demikian.
"Polis juga sedang mengumpul maklumat daripada seorang saksi kejadian iaitu pengawal keselamatan yang berada di lokasi kejadian.
"Sebenarnya terdapat tiga paip gas natural yang membawa bahan berkenaan dari Terengganu ke selatan dan utara Semenanjung serta Thailand.
"Ketika kejadian, satu daripada tiga paip terbabit dikesan pecah, menyebabkan kebocoran gas yang mengakibatkan letupan terbabit," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Selangor, Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin; Pengarah Jabatan Kerja Raya negeri, Shukri Ishak serta Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Wan Md Razzali Wan Ismail.
BH Selasa lalu melaporkan kebakaran besar paip gas berlaku di Putra Heights, Selangor pada hari kedua Aidilfitri, menyebabkan kemusnahan besar sehingga memaksa sebahagian penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Kebakaran saluran paip gas PETRONAS sepanjang 500m yang bermula sekitar jam 8 pagi itu menyebabkan api menjulang tinggi sehingga dapat dilihat beberapa kilometer jauhnya.
Rentetan itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia kelmarin, melakukan penandaan terhadap struktur rumah terjejas bagi mengenal pasti tahap keselamatannya, sebelum pasukan penyiasat memulakan tindakan lanjut.