Geng trak tunda bantu bawa kenderaan rakyat Malaysia rosak akibat banjir di Hatyai
- Admin UKK
- Berita
BUKIT KAYU HITAM: "Kalau boleh kami nak tolong tunda semua kereta rakyat Malaysia yang rosak akibat banjir di Hatyai, Thailand bawa pulang ke sini tetapi kami tidak dibenarkan masuk ke sana buat masa sekarang," kata Mohd Ayman Joshua Abdullah.
Mohd Ayman,39, adalah sebahagian daripada geng trak tunda dari Jitra yang sanggup turun untuk membantu membawa kereta rakyat Malaysia yang rosak akibat banjir di Thailand ke bengkel.
Sejak kelmarin, beliau menerima 16 panggilan daripada rakyat Malaysia yang terkandas dalam banjir di negara itu selepas dia memuat naik hantaran di Facebook (FB) untuk bantuan menunda kereta sehingga ke negara ini.
"Kami cuba untuk masuk ke sana mengikut saluran yang betul tetapi pihak berkuasa di negara itu tidak membenarkan kami masuk kerana keadaan banjir masih belum reda.
"Disebabkan itu, kami menghubungi rakan-rakan trak tunda di Thailand untuk membantu tunda kenderaan rakyat Malaysia yang rosak di sana dan kami akan tunggu di pintu sempadan sebelum pindahkan kereta itu dan bawanya ke bengkel kereta mengikut kehendak pemilik kereta berkenaan.
"Kami akan hantar tak kira di negeri mana pun asalkan kereta yang rosak itu selamat sampai ke bengkel," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Mohd Ayman berkata, setakat ini kira-kira lima kenderaan yang berjaya ditunda dari sempadan Malaysia yang dibawa dari Hatyai ke negara ini semalam yang kebanyakannya dimasuki air.
Rakannya, Azwan Amran, 32, berkata, ini kali kedua beliau terbabit membantu membawa kereta yang terkandas banjir dari Thailand.
Tahun lalu, beliau membawa pulang 10 buah kenderaan yang kebanyakannya mengalami kerosakan pada enjin akibat dimasuki air.
"Banyak panggilan diterima sejak malam semalam dari rakyat Malaysia di Hatyai malah ada yang meminta bantuan supaya menyelamatkan mereka sekeluarga yang terkandas banjir untuk dibawa pulang ke negara ini.
"Ada juga yang telefon hanya sekadar bertanya harga dan ada yang panik melihat air semakin naik. Tetapi kami hanya boleh bantu tunda kenderaan yang rosak sahaja, itu pun bergantung pada keadaan," katanya.
Azwan yang sudah lima tahun bekerja sebagai pemandu trak tunda berkata, semua kereta yang dibawa keluar akibat banjir itu bergantung pada insuran yang mereka pilih sebelum membaiki kenderaan masing-masing.
"Kalau sampai hantar ke Kuala Lumpur ka mana-mana sajalah kami akan pergi hantar sampai ke bengkel," katanya.
