KUALA LUMPUR: Jumlah keseluruhan mangsa banjir di enam negeri terus berkurangan dengan hanya 649 orang daripada 184 keluarga berada di 11 pusat pemindahan sementara PPS sehingga jam 6.30 pagi tadi.
Di Kedah, jumlah mangsa banjir ialah 352 orang daripada 92 keluarga masih ditempatkan di satu PPS dengan sebuah daerah sahaja terjejas banjir.
Di Perak, seramai 117 mangsa daripada 39 keluarga ditempatkan di tiga PPS manakala di Johor pula 109 mangsa daripada 33 keluarga di empat PPS.
Di Kelantan pula, bilangan mangsa banjir terus menurun dengan hanya 43 orang daripada 12 keluarga di satu PPS begitu juga di Negeri Sembilan iaitu 17 mangsa daripada empat keluarga di satu PPS.
Situasi banjir di Melaka juga hampir pulih, apabila hanya 11 mangsa masih berlindung di sebuah PPS.
KUALA LUMPUR: Jumlah keseluruhan mangsa banjir di lima negeri terus berkurangan malam tadi, dengan lebih banyak pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup lewat petang semalam.
Di JOHOR, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata dua PPS di Segamat dan satu di Batu Pahat ditutup petang, menjadikan jumlah mangsa banjir malam tadi sebanyak 168 orang berbanding 229 orang pada sebelah petang.
"Semua mangsa banjir negeri ini yang terdiri daripada 48 keluarga berada di Segamat dan ditempatkan di lima PPS di daerah itu," katanya menerusi kenyataan malam tadi.
KELANTAN juga merekodkan penurunan mangsa selepas sebuah PPS di Tumpat ditutup, menjadikan jumlah mereka yang masih terkesan dengan bencana itu malam tadi ialah 111 orang berbanding 240 orang yang direkodkan petang tadi.
Portal Info Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan dua PPS masih beroperasi di negeri itu, iaitu di Tumpat yang menempatkan 68 mangsa daripada 36 keluarga manakala PPS di Pasir Mas dihuni 43 mangsa daripada 12 keluarga.
Sementara itu, di PERAK, Sekretariat JPBN memaklumkan banjir di Manjung pulih selepas PPS Dewan Orang Ramai Kampung Batu 4 ditutup setelah lima mangsa terakhir di situ pulang ke rumah masing-masing pada 5.30 petang semalam.
Perkembangan itu menjadikan jumlah mangsa malam ini berkurangan kepada 116 orang dengan 82 orang daripada 28 keluarga berada di dua PPS di Kinta manakala 34 orang daripada 11 keluarga menghuni sebuah PPS di Perak Tengah.
Situasi banjir di MELAKA juga hampir pulih, apabila hanya 11 mangsa masih berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Mendapat, Jasin malam tadi, berkurangan daripada 17 mangsa yang direkodkan petang selepas PPS SK Parit Penghulu, juga di Jasin ditutup lewat petang semalam.
Di KEDAH, Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata jumlah mangsa banjir ialah 254 orang daripada 64 keluarga berbanding 255 orang daripada 65 keluarga petang tadi dengan kesemua mereka ditempatkan di PPS SK Sri Gunung, Kota Setar. - BERNAMA
KUANTAN: Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan amaran banjir membabitkan sembilan kawasan, termasuk tujuh kampung di daerah ini.
Kawasan terbabit ialah Kampung Batu 5 Jalan Gambang, Kampung Belukar, Kampung Gudang Rasau, Kampung Kurnia, Kampung Semangat, Kampung Telok Mahang, Sungai Isap, Taman Pandan Aman dan Kampung Sri Damai.
Menurut kenyataan dikeluarkan, ia susulan amaran hujan berterusan tahap waspada oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) yang meramalkan banjir di daerah ini bermula hari ini hingga Rabu ini.
"Ia membabitkan kawasan-kawasan rendah dalam lingkungan lima kilometer di sekitar Sungai Belat. Banjir yang diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat dari masa yang dijangkakan.
"Amaran ini dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutama di kawasan yang dijangka banjir berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi-agensi pengurusan bencana banjir.
"Oleh itu orang ramai boleh melayari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my dan Facebook @PublicInfoBanjir untuk maklumat lanjut," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, laman sesawang JPS melaporkan Sungai Luit di Kampung Subuh, Maran melepasi paras amaran dengan merekodkan bacaan 26.60 meter pada jam 8.15 pagi.
Empat sungai melepasi paras waspada pula ialah Sungai Dong di Kampung Peruas, Raub; Sungai Pahang di Kuala Krau, Temerloh; Sungai Kundang di Jambatan Sungai Kundang, Maran dan Sungai Pahang di Lubuk Paku, Pekan.