PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Pelaburan bersasar tangani isu banjir, capai matlamat SDG

Kerajaan dilaporkan memperuntukkan RM15 bilion bagi Rancangan Tebatan Banjir (RTB) hingga 2030 sebagai strategi jangka panjang menghadapi perubahan iklim di seluruh negara. Banjir dan kemusnahan harta benda, tanaman dan pertanian tidak boleh dipisahkan.

Justeru, ia menuntut pelaburan yang tinggi terutama membina rumah mampu milik berdaya tahan terhadap banjir bagi meningkatkan tahap keselamatan komuniti serta menggalakkan kemampanan dan daya tahan jangka panjang.

Pelaburan dalam perumahan tahan banjir dapat meningkatkan daya tahan bandar terhadap bencana alam. Usaha ini memerlukan perancangan teliti, reka bentuk kreatif dan dedikasi untuk mewujudkan ruang bandar mampan, inklusif dan makmur.

Berdasarkan temu bual ketahanan terhadap banjir dan mencapai kelestarian, pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor pernah menyatakan mengenai keperluan meningkatkan kesedaran perubahan dan memahami matlamat pembangunan mampan supaya pihak berkepentingan tidak lupa mereka perlu menggabungkan reka bentuk ketahanan banjir bagi mencapai matlamat pembangunan lestari (SDG).

Selain itu, PBT di Putrajaya mengulas perlunya menggalakkan pihak berkepentingan untuk mewujudkan persekitaran tahan banjir dan menyemai kesedaran ini ketika mereka masih berstatus pelajar. Ini boleh dicapai melalui kursus dan bengkel tertumpu kepada isu ini ketika belajar di universiti.

Penyelidikan dan pembangunan (R&D) juga penting dalam kalangan perunding dan profesional untuk menangani bidang ini. Dengan meningkatkan kesedaran melalui pendidikan dan penyelidikan, pihak berkepentingan dapat memahami lebih baik kepentingan ketahanan banjir untuk mencapai SDG.

Objektif utama Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (SDGS) adalah untuk membasmi kemiskinan menjelang 2030. Salah satu sasaran Malaysia menjelang 2030 adalah membina daya tahan golongan miskin dan rentan serta mengurangkan kelemahan mereka terhadap pelbagai bencana berkaitan iklim ekstrem, ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Bagi mencapai objektif ini, penting untuk melindungi masyarakat paling lemah, meningkatkan akses kepada perkhidmatan penting dan memberikan bantuan semasa krisis. Perumahan tahan banjir mampu milik adalah amat penting kepada penduduk.

Ia memberi peluang kepada penduduk lemah dan terdedah kepada ancaman untuk mengakses tempat perlindungan selamat, mengurangkan kemiskinan dan meningkatkan kualiti hidup.

Tingkat kesihatan, kesejahteraan penduduk

Bagi meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan manusia, penting untuk mengutamakan penyediaan air selamat, sanitasi dan kebersihan kepada semua individu. Objektif ini asas kepada SDG 6.

Selain itu, usaha ini perlu menggabungkan teknologi cekap air dan sistem pengurusan sisa dalam reka bentuk perumahan mampan bagi meningkatkan pemuliharaan serta kualiti air, terutama di kawasan terdedah kepada banjir.

SDG 7 pula memberi tumpuan kepada tenaga boleh diakses dan bersih untuk kemajuan pertanian, perniagaan, pendidikan, penjagaan kesihatan dan pengangkutan.

Sebagai langkah memastikan sumber tenaga mampan, penting untuk menggabungkan sistem tenaga boleh diperbaharui seperti panel solar atau turbin angin ke dalam pelan perumahan tahan banjir. Pendekatan ini berkesan untuk mengurangkan pergantungan pada grid kuasa tradisional sering terdedah kepada gangguan ketika banjir.

Dalam SDG 9, ia menuntut penubuhan infrastruktur berdaya tahan, peningkatan inovasi dan galakan perindustrian mampan. Teknik dan bahan inovatif digunakan untuk membangunkan perumahan tahan banjir berpotensi besar menyumbang kepada kemajuan teknologi dan infrastruktur.

SDG 11 mengiktiraf kesan besar pembandaran terhadap pembangunan mampan. Oleh itu, penting untuk mewujudkan bandar dan penempatan manusia inklusif bagi menangani cabaran pembandaran dan memanfaatkan peluangnya yang luas untuk menggalakkan pembangunan mampan.

Jika diteliti SDG 13, ia memerlukan tindakan diambil untuk menangani isu perubahan iklim dan impaknya. Perubahan iklim pada masa ini memberi kesan kepada setiap negara seluruh dunia. Reka bentuk perumahan tahan banjir boleh merangkumi ciri penyesuaian iklim mengurangkan kesan buruk banjir dan meningkatkan daya tahan iklim.

Ciri penyesuaian iklim termasuk membina unit perumahan dengan kualiti asas dipertingkatkan bagi mengurangkan risiko penyusupan air banjir dan kerosakan struktur. Bahan binaan tahan banjir boleh digabungkan untuk kedua-dua bahagian luar dan dalam unit perumahan bagi meningkatkan daya tahan terhadap kerosakan air dan kesan hakisan banjir.

Salutan dan pengedap kalis air boleh digunakan pada dinding, lantai dan bumbung untuk mewujudkan pelindung menghalang penyusupan air. Sistem pengurusan air ribut cekap juga perlu diwujudkan untuk mengumpul dan mengalih air hujan dari kawasan kediaman.

Pelaksanaan bumbung hijau merangkumi tumbuh-tumbuhan serap air hujan dan berupaya mengurangkan aliran air. Bumbung hijau menawarkan penebat tambahan dan membantu pengawalan suhu dalaman. Unit perumahan harus dibangunkan dengan laluan kecemasan mudah diakses dan selamat ketika bencana banjir.

Tangga dan laluan pejalan kaki bertingkat membolehkan penduduk berpindah ke tempat lebih tinggi, selain membina ruang komuniti bertingkat dalam rumah berfungsi sebagai tempat perlindungan sekiranya berlaku banjir.

Bagi mengurangkan hakisan tanah dan meningkatkan daya tahan banjir, tumbuhan asli dan penyesuaian iklim ke dalam landskap wajar digabungkan. Landskap direka dengan baik boleh membantu menyerap lebihan air hujan.

Sementara itu, bagi memastikan bekalan tenaga dan air mampan ketika dan selepas banjir, penting untuk menyepadukan sumber tenaga boleh diperbaharui, seperti panel solar dan sistem penuaian air hujan.

Merealisasikan SDGS memerlukan kerjasama antara kerajaan, sektor swasta dan masyarakat. Pembinaan rumah tahan banjir dan mampu milik memerlukan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan.

Dasar kerajaan, insentif untuk pembinaan mampan dan perkongsian dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pakar industri dan komuniti tempatan boleh menyumbang kepada merealisasikan visi Malaysia mencapai SDG. Usaha ini boleh menyumbang kepada pelaksanaan berkesan rumah tahan banjir dan mampu milik di Malaysia.

Negeri utara Semenanjung berdepan cuaca panas, kering

Jabatan Meteorologi Malaysia (Metmalaysia) menjangkakan cuaca kering dan panas melanda di negeri utara Semenanjung dengan suhu melebihi 35 darjah Celsius.

Metmalaysia dalam hantaran di Facebook semalam memaklumkan, berdasarkan analisis model cuaca, tiada hujan berterusan dijangka berlaku untuk tempoh beberapa hari akan datang.

Bagaimanapun, ribut petir dan hujan lebat berserta angin kencang masih berpotensi berlaku di beberapa tempat di kawasan pedalaman dan barat Semenanjung serta Sarawak dan Sabah.

“Orang awam dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MET Malaysia serta memuat turun aplikasi mycuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih,” kata Metmalaysia.

Sementara itu, enam daerah di Johor dikenal pasti antara lokasi kerap berlaku kebakaran terbuka membabitkan kawasan tanah gambut, khususnya ketika musim panas.

Langkah bersiap siaga

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Siti Rohani Nadir, berkata pihaknya mengambil langkah bersiap siaga bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Perhutanan untuk mengenal pasti lokasi ‘titik panas’ serta tindakan penguatkuasaan.

Beliau berkata, musim peralihan antara hujan lebat dan cuaca panas ketika ini, banjir kilat dan kebakaran terbuka masih boleh berlaku.

“Kita kini dalam musim peralihan cuaca daripada hujan ke panas, tetapi Monsun Timur Laut masih belum selesai yang

dijangka sehingga Mac.

“Namun, dalam masa sama kita terima panggilan kecemasan kebakaran terbuka khususnya membabitkan tanah gambut.

“Sejak awal tahun sehingga kini, kita menerima 18 panggilan kecemasan kebakaran terbuka di kawasan belukar terutama tanah gambut,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Perbarisan Tahunan JBPM Johor 2024 di Ibu Pejabat JBPM Johor, di sini, semalam.

Siti Rohani berkata, enam daerah dikenal pasti kerap berlaku kebakaran terbuka di kawasan tanah gambut adalah Johor Bahru,

Kota Tinggi, Mersing, Pontian, Batu Pahat dan Muar.

“Sejak 2020 hingga 2023, Batu Pahat merekodkan sebanyak 57 kes kebakaran tanah gambut, diikuti Muar (41 kes); Pontian (40 kes); Tangkak (20 kes); Kluang (15 kes) dan Kota Tinggi (13 kes).

“Ini adalah kes kebakaran tanah gambut berskala besar sehingga kebakaran boleh merebak yang memerlukan tempoh masa lama untuk mengawal dan memadam kebakaran,” katanya sambil meminta orang ramai, khususnya pemilik ladang agar tidak memulakan sebarang pembakaran terbuka.

Tiga hutan simpan Selangor 'hotspot' kebakaran gambut

SHAH ALAM - Tiga kawasan hutan simpan di Selangor dikenal pasti antara empat lokasi 'hotspot' yang berisiko berlakunya kebakaran tanah gambut berskala besar.

Pengarah Bomba Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, kawasan itu melibatkan Hutan Simpan Raja Muda Musa, Hutan Simpan Kuala Langat Selatan dan Hutan Simpan Kuala Langat Utara selain Kampung Johan Setia di Klang.

Menurutnya, pemantauan rapi semua lokasi itu masing-masing dilaksanakan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya, BBP Banting, BBP Telok Panglima Garang dan BBP Andalas.

"Sebanyak 17 jentera water tanker turut akan ditempatkan di BBP bersesuaian bagi persediaan awal pemadaman api hutan dan tanah gambut.

 "Setakat 6 Februari ini, bomba Selangor telah menerima sebanyak 79 panggilan berkaitan kes kebakaran terbuka iaitu 37 kes kebakaran sampah, belukar atau lalang (19), hutan (13) dan kebun atau ladang (10)," katanya pada Selasa.

Beliau berkata, bagi tahun 2023, sebanyak 2,254 panggilan kes direkodkan berbanding 1,844 pada 2022 dan 3,679 (2021).Tambahnya, semua pegawai dan anggota bomba Selangor berada dalam situasi bersiap siaga selain cuti akan turut dibeku."Semua peralatan operasi kebakaran hutan akan diperiksa sepenuhnya termasuk pengujian dan penyelenggaraan segera jika mengalami kerosakan selain itu rondaan secara berkala dilakukan bagi mengenalpasti kawasan yang kerap berlaku kebakaran hutan," katanya.

Januari lalu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan, Malaysia dijangka mengalami cuaca lebih kering pada Februari ini meskipun beberapa bahagian di dalam negara akan berhadapan dengan hujan dan risiko banjir.

Ketua Pengarahnya, Muhammad Helmi Abdullah dilapor berkata, ramalan itu berikutan fenomena Monsun Timur Laut yang akan berakhir pada Mac dan keadaan El Nino.

Sampah di parit, sungai sekat aliran air, punca banjir kilat di Cameron Highlands

CAMERON HIGHLANDS: Perbuatan membuang pelbagai jenis sampah ke dalam parit dan sungai menjadi punca utama kejadian banjir kilat dan tanah runtuh yang berlaku di daerah ini, kata Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ramli Mohd Noor.

Beliau berkata, terdapat segelintir masyarakat tidak bertanggungjawab membuang sampah hingga menyebabkan parit tersumbat dan melimpah setiap kali musim tengkujuh berlaku setiap tahun.

Katanya, hanya kesedaran daripada masyarakat saja dapat membendung kejadian banjir kilat dan tanah runtuh yang hampir setiap tahun di daerah ini dengan kejadian terbaru berlaku pada 26 Januari lalu yang menyebabkan lima pekerja kebun sayur maut tertimbus tanah runtuh di Kampung Raja, Blue Valley, di sini.

"Setiap kali hujan lebat berterusan dalam masa beberapa jam saja, banjir kilat akan berlaku dan yang menjadi mangsa ialah penduduk yang tinggal di kawasan berhampiran parit.

"Ini kerana air tidak dapat mengalir sempurna akibat banyak sampah yang akhirnya melimpah hingga berlaku banjir. Bagi memastikan kejadian itu tidak terus berlaku, masyarakat perlu sedar tanggungjawab menjaga kebersihan, selain penguat kuasa perlu dilakukan secara berterusan bagi membendung kegiatan itu," katanya pada Majlis Penyerahan Kunci Kuarters Tenaga Nasional Berhad (TNB) Sungai Ruil kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), di sini.

Hadir sama, Pengurus Besar TNB Pahang, Datuk Baderul Sham Saad; Ketua Pengarah JAKOA, Datuk Sapiah Mohd Nor dan Pengarah JAKOA Pahang, Johari Alwi.

Seramai 17 keluarga membabitkan 88 isi rumah yang terbabit dengan kejadian tanah runtuh pada Februari tahun lalu, ditempatkan sementara di kuarters TNB selama dua tahun.

Mereka hanya dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas kerja pembaikan cerun itu siap yang dijangka mengambil masa dua tahun, membabitkan peruntukan RM3.5 juta.

Sementara itu, Ramli berkata, pihaknya berharap kerja pengukuhan dan penstabilan penghalang hakisan dapat dipendekkan kepada setahun setengah, bagi memberi peluang 17 mangsa dapat kembali segera ke rumah masing-masing.

Katanya, sebelum berpindah ke kuarters TNB, mangsa terpaksa berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) Sungai Ruil lebih tiga bulan.

"Saya mengingatkan kepada kontraktor yang diberi tanggungjawab menjalankan projek penghadang hakisan di Sungai Ruil ini supaya tidak membuat hal hingga menyebabkan ia tertangguh lagi.

"Saya lihat sebelum ini banyak projek kemudahan untuk rakyat tertangguh selain bertukar beberapa kontraktor, yang menyebabkan imej kerajaan tercalar disebabkan kejadian berkenaan. Saya berharap pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) sentiasa memantau perjalanan projek berkenaan," katanya.

Baderul Sham pula berkata, TNB bersetuju menawarkan sewa RM500 sebulan seunit dan mengecualikan bayaran deposit sewaan selama tiga bulan seperti terkandung dalam syarat perjanjian penyewaan sebelum ini.

"Saya berharap kuarters empat tingkat dengan kemudahan surau memberi keselesaan kepada 17 keluarga membabitkan 88 isi rumah Orang Asli ini," katanya.

Cuaca panas di Sik, Baling cecah 37 darjah Celcius

Alor Setar: Pokok Sena, Sik dan Baling mengalami cuaca panas tahap satu (berjaga-jaga) sejak kelmarin, dengan rekod menunjukkan, suhu maksimum harian di daerah terbabit antara 35 hingga 37 darjah Celcius.

Pengarah Pejabat Meteorologi Kedah Muhammad Khalil Abd Aziz berkata, suhu maksimum berkenaan dijangka berlarutan sekurang-kurangnya sehingga hari ini.

“Cuaca panas ini dijangka berterusan hingga hujung Mac atau awal April apabila fasa peralihan monsun berlaku.

“Elakkan terdedah kepada cuaca panas ketika ini dan jika tiada urusan di luar, duduk saja di rumah,”

“Cuaca panas ini dijangka berterusan hingga hujung Mac atau awal April apabila fasa peralihan monsun berlaku. Elakkan terdedah kepada cuaca panas ketika ini dan jika tiada urusan di luar, duduk saja di rumah”

katanya dihubungi, semalam.

“Elakkan juga daripada melakukan pembakaran terbuka kerana ia akan menjadikan keadaan lebih teruk,” katanya lagi.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search