PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Pelaburan bersasar tangani isu banjir, capai matlamat SDG

Pelaburan bersasar tangani isu banjir, capai matlamat SDG

Kerajaan dilaporkan memperuntukkan RM15 bilion bagi Rancangan Tebatan Banjir (RTB) hingga 2030 sebagai strategi jangka panjang menghadapi perubahan iklim di seluruh negara. Banjir dan kemusnahan harta benda, tanaman dan pertanian tidak boleh dipisahkan.

Justeru, ia menuntut pelaburan yang tinggi terutama membina rumah mampu milik berdaya tahan terhadap banjir bagi meningkatkan tahap keselamatan komuniti serta menggalakkan kemampanan dan daya tahan jangka panjang.

Pelaburan dalam perumahan tahan banjir dapat meningkatkan daya tahan bandar terhadap bencana alam. Usaha ini memerlukan perancangan teliti, reka bentuk kreatif dan dedikasi untuk mewujudkan ruang bandar mampan, inklusif dan makmur.

Berdasarkan temu bual ketahanan terhadap banjir dan mencapai kelestarian, pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor pernah menyatakan mengenai keperluan meningkatkan kesedaran perubahan dan memahami matlamat pembangunan mampan supaya pihak berkepentingan tidak lupa mereka perlu menggabungkan reka bentuk ketahanan banjir bagi mencapai matlamat pembangunan lestari (SDG).

Selain itu, PBT di Putrajaya mengulas perlunya menggalakkan pihak berkepentingan untuk mewujudkan persekitaran tahan banjir dan menyemai kesedaran ini ketika mereka masih berstatus pelajar. Ini boleh dicapai melalui kursus dan bengkel tertumpu kepada isu ini ketika belajar di universiti.

Penyelidikan dan pembangunan (R&D) juga penting dalam kalangan perunding dan profesional untuk menangani bidang ini. Dengan meningkatkan kesedaran melalui pendidikan dan penyelidikan, pihak berkepentingan dapat memahami lebih baik kepentingan ketahanan banjir untuk mencapai SDG.

Objektif utama Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (SDGS) adalah untuk membasmi kemiskinan menjelang 2030. Salah satu sasaran Malaysia menjelang 2030 adalah membina daya tahan golongan miskin dan rentan serta mengurangkan kelemahan mereka terhadap pelbagai bencana berkaitan iklim ekstrem, ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Bagi mencapai objektif ini, penting untuk melindungi masyarakat paling lemah, meningkatkan akses kepada perkhidmatan penting dan memberikan bantuan semasa krisis. Perumahan tahan banjir mampu milik adalah amat penting kepada penduduk.

Ia memberi peluang kepada penduduk lemah dan terdedah kepada ancaman untuk mengakses tempat perlindungan selamat, mengurangkan kemiskinan dan meningkatkan kualiti hidup.

Tingkat kesihatan, kesejahteraan penduduk

Bagi meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan manusia, penting untuk mengutamakan penyediaan air selamat, sanitasi dan kebersihan kepada semua individu. Objektif ini asas kepada SDG 6.

Selain itu, usaha ini perlu menggabungkan teknologi cekap air dan sistem pengurusan sisa dalam reka bentuk perumahan mampan bagi meningkatkan pemuliharaan serta kualiti air, terutama di kawasan terdedah kepada banjir.

SDG 7 pula memberi tumpuan kepada tenaga boleh diakses dan bersih untuk kemajuan pertanian, perniagaan, pendidikan, penjagaan kesihatan dan pengangkutan.

Sebagai langkah memastikan sumber tenaga mampan, penting untuk menggabungkan sistem tenaga boleh diperbaharui seperti panel solar atau turbin angin ke dalam pelan perumahan tahan banjir. Pendekatan ini berkesan untuk mengurangkan pergantungan pada grid kuasa tradisional sering terdedah kepada gangguan ketika banjir.

Dalam SDG 9, ia menuntut penubuhan infrastruktur berdaya tahan, peningkatan inovasi dan galakan perindustrian mampan. Teknik dan bahan inovatif digunakan untuk membangunkan perumahan tahan banjir berpotensi besar menyumbang kepada kemajuan teknologi dan infrastruktur.

SDG 11 mengiktiraf kesan besar pembandaran terhadap pembangunan mampan. Oleh itu, penting untuk mewujudkan bandar dan penempatan manusia inklusif bagi menangani cabaran pembandaran dan memanfaatkan peluangnya yang luas untuk menggalakkan pembangunan mampan.

Jika diteliti SDG 13, ia memerlukan tindakan diambil untuk menangani isu perubahan iklim dan impaknya. Perubahan iklim pada masa ini memberi kesan kepada setiap negara seluruh dunia. Reka bentuk perumahan tahan banjir boleh merangkumi ciri penyesuaian iklim mengurangkan kesan buruk banjir dan meningkatkan daya tahan iklim.

Ciri penyesuaian iklim termasuk membina unit perumahan dengan kualiti asas dipertingkatkan bagi mengurangkan risiko penyusupan air banjir dan kerosakan struktur. Bahan binaan tahan banjir boleh digabungkan untuk kedua-dua bahagian luar dan dalam unit perumahan bagi meningkatkan daya tahan terhadap kerosakan air dan kesan hakisan banjir.

Salutan dan pengedap kalis air boleh digunakan pada dinding, lantai dan bumbung untuk mewujudkan pelindung menghalang penyusupan air. Sistem pengurusan air ribut cekap juga perlu diwujudkan untuk mengumpul dan mengalih air hujan dari kawasan kediaman.

Pelaksanaan bumbung hijau merangkumi tumbuh-tumbuhan serap air hujan dan berupaya mengurangkan aliran air. Bumbung hijau menawarkan penebat tambahan dan membantu pengawalan suhu dalaman. Unit perumahan harus dibangunkan dengan laluan kecemasan mudah diakses dan selamat ketika bencana banjir.

Tangga dan laluan pejalan kaki bertingkat membolehkan penduduk berpindah ke tempat lebih tinggi, selain membina ruang komuniti bertingkat dalam rumah berfungsi sebagai tempat perlindungan sekiranya berlaku banjir.

Bagi mengurangkan hakisan tanah dan meningkatkan daya tahan banjir, tumbuhan asli dan penyesuaian iklim ke dalam landskap wajar digabungkan. Landskap direka dengan baik boleh membantu menyerap lebihan air hujan.

Sementara itu, bagi memastikan bekalan tenaga dan air mampan ketika dan selepas banjir, penting untuk menyepadukan sumber tenaga boleh diperbaharui, seperti panel solar dan sistem penuaian air hujan.

Merealisasikan SDGS memerlukan kerjasama antara kerajaan, sektor swasta dan masyarakat. Pembinaan rumah tahan banjir dan mampu milik memerlukan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan.

Dasar kerajaan, insentif untuk pembinaan mampan dan perkongsian dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pakar industri dan komuniti tempatan boleh menyumbang kepada merealisasikan visi Malaysia mencapai SDG. Usaha ini boleh menyumbang kepada pelaksanaan berkesan rumah tahan banjir dan mampu milik di Malaysia.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung
Pengunjung

Search