PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Negeri utara Semenanjung berdepan cuaca panas, kering

Negeri utara Semenanjung berdepan cuaca panas, kering

Jabatan Meteorologi Malaysia (Metmalaysia) menjangkakan cuaca kering dan panas melanda di negeri utara Semenanjung dengan suhu melebihi 35 darjah Celsius.

Metmalaysia dalam hantaran di Facebook semalam memaklumkan, berdasarkan analisis model cuaca, tiada hujan berterusan dijangka berlaku untuk tempoh beberapa hari akan datang.

Bagaimanapun, ribut petir dan hujan lebat berserta angin kencang masih berpotensi berlaku di beberapa tempat di kawasan pedalaman dan barat Semenanjung serta Sarawak dan Sabah.

“Orang awam dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MET Malaysia serta memuat turun aplikasi mycuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih,” kata Metmalaysia.

Sementara itu, enam daerah di Johor dikenal pasti antara lokasi kerap berlaku kebakaran terbuka membabitkan kawasan tanah gambut, khususnya ketika musim panas.

Langkah bersiap siaga

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Siti Rohani Nadir, berkata pihaknya mengambil langkah bersiap siaga bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Perhutanan untuk mengenal pasti lokasi ‘titik panas’ serta tindakan penguatkuasaan.

Beliau berkata, musim peralihan antara hujan lebat dan cuaca panas ketika ini, banjir kilat dan kebakaran terbuka masih boleh berlaku.

“Kita kini dalam musim peralihan cuaca daripada hujan ke panas, tetapi Monsun Timur Laut masih belum selesai yang

dijangka sehingga Mac.

“Namun, dalam masa sama kita terima panggilan kecemasan kebakaran terbuka khususnya membabitkan tanah gambut.

“Sejak awal tahun sehingga kini, kita menerima 18 panggilan kecemasan kebakaran terbuka di kawasan belukar terutama tanah gambut,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Perbarisan Tahunan JBPM Johor 2024 di Ibu Pejabat JBPM Johor, di sini, semalam.

Siti Rohani berkata, enam daerah dikenal pasti kerap berlaku kebakaran terbuka di kawasan tanah gambut adalah Johor Bahru,

Kota Tinggi, Mersing, Pontian, Batu Pahat dan Muar.

“Sejak 2020 hingga 2023, Batu Pahat merekodkan sebanyak 57 kes kebakaran tanah gambut, diikuti Muar (41 kes); Pontian (40 kes); Tangkak (20 kes); Kluang (15 kes) dan Kota Tinggi (13 kes).

“Ini adalah kes kebakaran tanah gambut berskala besar sehingga kebakaran boleh merebak yang memerlukan tempoh masa lama untuk mengawal dan memadam kebakaran,” katanya sambil meminta orang ramai, khususnya pemilik ladang agar tidak memulakan sebarang pembakaran terbuka.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung
Pengunjung

Search