RM60 juta atasi hakisan Pantai Belawai
- Admin UKK
- Berita
TANJUNG MANIS, 20 Julai: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM60 juta bagi membina pemecah ombak sepanjang 700 meter di Tanjung Manat sebagai langkah jangka panjang menangani hakisan pantai yang semakin serius di Pantai Belawai, sekali gus melindungi penempatan penduduk, tanah persendirian dan kemudahan awam di kawasan berkenaan.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, projek berimpak tinggi itu amat diperlukan berikutan hakisan pesisir pantai di Belawai yang semakin membimbangkan.
Menurutnya, terdapat kawasan tanah di seberang Belawai yang dianggarkan telah terhakis sehingga kira-kira 500 meter ke arah laut.
“Pembinaan pemecah ombak itu dijangka dapat mengurangkan impak ombak besar yang menjadi punca utama hakisan, selain memastikan tanah milik penduduk dan pelbagai kemudahan awam terus terpelihara.
“Usaha ini membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam melindungi kawasan pesisir pantai daripada ancaman hakisan, di samping menjamin kesejahteraan komuniti setempat untuk jangka panjang,” katanya ketika merasmikan GP Belawai Siri 1/2026 di sini, Belawai, semalam.
Dalam perkembangan sama, Len Talif berkata, projek menaik taraf Tebingan Pantai Belawai bernilai RM161 juta kini berada di peringkat akhir penyediaan reka bentuk sebelum memasuki fasa pelaksanaan.
Katanya, projek sepanjang dua kilometer itu meliputi kawasan dari Pejabat Pengairan dan Saliran hingga Kampung Belawai, dengan pelbagai kemudahan rekreasi, landskap serta infrastruktur awam bakal dibangunkan bagi menjadikan kawasan itu destinasi riadah dan pelancongan yang lebih menarik.
Beliau turut memaklumkan perancangan membangunkan sebuah padang golf dan hotel di Belawai dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor pelancongan, mewujudkan peluang pekerjaan baharu serta merancakkan aktiviti ekonomi setempat.
Sementara itu, Len Talif mengingatkan komuniti nelayan supaya terus mengamalkan kaedah penangkapan ikan secara lestari bagi memastikan sumber marin terus terpelihara dan menjamin kelangsungan hasil laut yang menjadi antara penyumbang penting kepada ekonomi Sarawak.
Pertandingan memancing itu berjaya menarik penyertaan lebih 300 peserta dari Belawai, Mukah, Sibu, Kuching, Bintulu dan beberapa kawasan lain.-TVS
