PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Indonesia lanjut operasi mencari mangsa tanah runtuh Banjarnegara

JAKARTA: Indonesia melanjutkan operasi mencari dan menyelamat di lokasi tanah runtuh di Banjarnegara, Jawa Tengah selepas dua lagi mayat ditemui, menjadikan jumlah korban meningkat kepada 12 orang, menurut Badan Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) pada semalam.

Jurucakap agensi itu, Abdul Muhari, berkata BNPB dan Agensi Mencari dan Menyelamat Kebangsaan (Basarnas) telah melanjutkan operasi selama tiga hari lagi kerana 16 orang masih hilang seminggu selepas bencana pada 15 November.

"Pasukan penyelamat bekerja di tiga sektor berikutan keadaan tanah yang tidak stabil dan perubahan cuaca yang menjejaskan operasi di Kampung Pandanarum," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, langit yang lebih cerah pada Sabtu membolehkan pasukan penyelamat memperhebat pencarian di darat, manakala pesawat Cessna Caravan yang dikendalikan BNPB melakukan penerbangan modifikasi cuaca dengan menyebarkan kalsium oksida (CaO) bagi mengurangkan risiko hujan.

"Gabungan strategi darat dan udara ini penting untuk mengekalkan usaha respons kecemasan," tambah Abdul Muhari.

 

Banjir makin buruk, 10,460 dipindahkan, Kelantan paling teruk terjejas

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di seluruh negara terus meningkat kepada 10,460 orang setakat jam 7 pagi ini dengan lapan negeri terjejas.

Menurut laporan terkini Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kelantan mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 8,235 orang yang kini ditempatkan di 33 pusat pemindahan sementara (PPS).

Daerah yang terjejas termasuk Tumpat, Bachok, Kota Bharu dan Pasir Puteh.

 

Perak menjadi negeri kedua paling terjejas dengan 921 mangsa berlindung di 16 PPS yang dibuka di Perak Tengah, Manjung, Larut, Matang dan Selama serta Batang Padang.

Terengganu pula merekodkan 369 mangsa yang dipindahkan ke dua PPS di daerah Besut, manakala Kedah mencatatkan 337 mangsa di tiga PPS di daerah Kulim.

Di Perlis, dua daerah terjejas, Padang Besar dan Kangar, menyaksikan 283 mangsa ditempatkan di enam PPS.

Pulau Pinang pula melaporkan 237 mangsa berlindung di empat PPS di Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah.

Sementara itu, Selangor mencatatkan 34 mangsa daripada sembilan keluarga yang kini berada di satu PPS di Sabak Bernam.

Di Sarawak, seramai 44 mangsa dilaporkan terjejas dan ditempatkan di satu PPS di daerah Miri.

Pihak berkuasa terus memantau keadaan cuaca dan paras air sungai di kawasan berisiko, selain menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mengikuti arahan keselamatan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Jambatan balak runtuh, ribuan Orang Asli terkandas

GUA MUSANG – Lebih 3,000 penduduk Orang Asli suku kaum Temiar di tiga buah pos pedalaman di sini terkandas apabila jambatan kayu balak yang menjadi penghubung utama untuk ke bandar Gua Musang runtuh dibadai arus deras Sungai Peralong, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam itu, jambatan balak yang digunakan penduduk Orang Asli Pos Tohoi, Pos Simpor dan Pos Gob itu hanyut dan runtuh akibat paras air sungai yang naik mendadak ekoran hujan lebat.

Seorang penduduk Pos Simpor, Dendi Johari, 37, berkata, kejadian terbabit menyebabkan penduduk di tiga pos penempatan itu kini tidak dapat keluar dari penempatan mereka.

Katanya, jambatan yang runtuh itu menjadi laluan utama kepada penduduk untuk keluar dari penempatan mereka.

“Saya dimaklumkan oleh rakan tentang kejadian yang berlaku kira-kira pukul 7 malam semalam. Laluan di jambatan itu sudah terputus dan tidak boleh dilalui oleh semua kenderaan.

“Kejadian terbabit dipercayai berpunca daripada kepala air Sungai Peralong yang berlaku akibat hujan lebat sejak petang semalam,”katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangn Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, beliau sudah dimaklumkan tentang kejadian yang berlaku oleh penduduk kampung malam tadi.

“Insya-Allah tindakan segera akan diambil bagi membaiki jambatan ini kerana itu adalah laluan utama penduduk Orang Asli di kawasan pedalaman,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Lebih 3,000 Orang Asli terkandas, jambatan balak runtuh

GUA MUSANG: Lebih 3,000 penduduk Orang Asli suku kaum Temiar di tiga buah pos pedalaman di sini, terkandas selepas jambatan kayu balak runtuh dibadai arus deras Sungai Peralong, susulan hujan lebat malam tadi.

Kejadian kira-kira pukul 7 malam itu mengakibatkan penduduk dari Pos Tohoi, Pos Simpor dan Pos Gob tidak dapat keluar dari penempatan mereka.

Seorang penduduk Pos Simpor, Dendi Johari, 37, berkata, jambatan yang runtuh itu menjadi laluan utama kepada penduduk untuk keluar dari penempatan mereka.

“Jambatan yang diperbuat daripada kayu balak itu kini sudah terputus dan tidak boleh dilalui oleh semua kenderaan.

“Kejadian terbabit dipercayai berpunca daripada kepala air Sungai Peralong yang berlaku akibat hujan lebat sejak petang semalam. Kami harap jambatan ini dapat dibaiki secepat mungkin untuk kegunaan penduduk termasuk guru-guru di pedalaman yang akan keluar pada hari ini kerana cuti hujung minggu,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangn Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani memberitahu, perkara tersebut susah berada dalam pengetahuan pihaknya.

“Insya-Allah tindakan segera akan diambil bagi membaiki jambatan ini kerana itu adalah laluan utama penduduk Orang Asli di kawasan pedalaman,” ujarnya. – UTUSAN

Hujan lebat di 6 negeri sehingga tengah hari

PETALING JAYA – Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang diramalkan di beberapa negeri sehingga pukul 1 tengah hari ini.

Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) berkata, cuaca buruk dijangka di Perak, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Sarawak.

Kata MetMalaysia, kawasan terlibat di Perak adalah Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim.

“Bagi Pahang, cuaca buruk diramalkan di Bentong manakala seluruh negeri Selangor termasuk Kuala Lumpur dan Putrajaya turut terjejas.

“Amaran hujan berterusan turut dijangka di Negeri Sembilan dan Melaka selain Bintulu (Tatau) di Sarawak,” kata MetMalaysia hari ini.

Selain itu, amaran yang sama turut melibatkan seluruh Wilayah Persekutuan Labuan. –KOSMO! ONLINE
Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search