Jambatan balak runtuh, ribuan Orang Asli terkandas
- Admin UKK
- Berita
GUA MUSANG – Lebih 3,000 penduduk Orang Asli suku kaum Temiar di tiga buah pos pedalaman di sini terkandas apabila jambatan kayu balak yang menjadi penghubung utama untuk ke bandar Gua Musang runtuh dibadai arus deras Sungai Peralong, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam itu, jambatan balak yang digunakan penduduk Orang Asli Pos Tohoi, Pos Simpor dan Pos Gob itu hanyut dan runtuh akibat paras air sungai yang naik mendadak ekoran hujan lebat.
Seorang penduduk Pos Simpor, Dendi Johari, 37, berkata, kejadian terbabit menyebabkan penduduk di tiga pos penempatan itu kini tidak dapat keluar dari penempatan mereka.
Katanya, jambatan yang runtuh itu menjadi laluan utama kepada penduduk untuk keluar dari penempatan mereka.
“Saya dimaklumkan oleh rakan tentang kejadian yang berlaku kira-kira pukul 7 malam semalam. Laluan di jambatan itu sudah terputus dan tidak boleh dilalui oleh semua kenderaan.
“Kejadian terbabit dipercayai berpunca daripada kepala air Sungai Peralong yang berlaku akibat hujan lebat sejak petang semalam,”katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangn Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, beliau sudah dimaklumkan tentang kejadian yang berlaku oleh penduduk kampung malam tadi.
