Lebih 3,000 Orang Asli terkandas, jambatan balak runtuh
- Admin UKK
- Berita
GUA MUSANG: Lebih 3,000 penduduk Orang Asli suku kaum Temiar di tiga buah pos pedalaman di sini, terkandas selepas jambatan kayu balak runtuh dibadai arus deras Sungai Peralong, susulan hujan lebat malam tadi.
Kejadian kira-kira pukul 7 malam itu mengakibatkan penduduk dari Pos Tohoi, Pos Simpor dan Pos Gob tidak dapat keluar dari penempatan mereka.
Seorang penduduk Pos Simpor, Dendi Johari, 37, berkata, jambatan yang runtuh itu menjadi laluan utama kepada penduduk untuk keluar dari penempatan mereka.
“Jambatan yang diperbuat daripada kayu balak itu kini sudah terputus dan tidak boleh dilalui oleh semua kenderaan.
“Kejadian terbabit dipercayai berpunca daripada kepala air Sungai Peralong yang berlaku akibat hujan lebat sejak petang semalam. Kami harap jambatan ini dapat dibaiki secepat mungkin untuk kegunaan penduduk termasuk guru-guru di pedalaman yang akan keluar pada hari ini kerana cuti hujung minggu,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangn Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani memberitahu, perkara tersebut susah berada dalam pengetahuan pihaknya.
“Insya-Allah tindakan segera akan diambil bagi membaiki jambatan ini kerana itu adalah laluan utama penduduk Orang Asli di kawasan pedalaman,” ujarnya. – UTUSAN
