PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Korban taufan Fung-Wong di Filipina meningkat 27 orang

MANILA: Angka kematian akibat Taufan Fung-Wong di Filipina meningkat kepada 27 orang, ketika ribut dahsyat tersebut menghampiri Taiwan, lapor media tempatan hari ini.

Menurut portal Inquirer, kematian dilaporkan di 10 wilayah, namun kebanyakan mangsa berasal dari Wilayah Pentadbiran Cordillera.

Dua individu masih hilang, manakala sekurang-kurangnya 36 orang cedera di kawasan terjejas.

Semalam, pihak berkuasa tempatan memaklumkan taufan itu menjejaskan lebih 2.4 juta penduduk di 15 wilayah, termasuk Luzon Tengah, Wilayah Autonomi Bangsamoro di Mindanao Islam (BARMM) dan Visayas Barat.

Lebih 800,000 mangsa kini berlindung di sekitar 11,800 pusat pemindahan di kawasan terlibat.

Taufan itu turut merosakkan jalan raya dan jambatan, manakala gangguan bekalan elektrik dan air dilaporkan di puluhan bandar serta pekan.

Fung-wong, keluar dari Kawasan Tanggungjawab Filipina awal Selasa dan kini bergerak ke arah Taiwan.

Agensi cuaca negara itu berkata, ribut berkenaan sedang melemah namun masih boleh membawa hujan lebat ke bahagian tengah dan selatan Taiwan pada lewat hari ini.

Minggu lalu, Taufan Kalmaegi mengorbankan sekurang-kurangnya 224 orang, menyebabkan 109 hilang dan lebih 500 lagi cedera di Filipina.- ANADOLU

Taufan Fung-wong dan Kalmaegi ragut 259 nyawa di Filipina

MANILA: Angka kematian akibat dua taufan kuat yang melanda Filipina baru-baru ini meningkat kepada 259 orang, dengan jutaan penduduk terpaksa berpindah, menurut laporan agensi berita Xinhua.

Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Negara (NDRRMC) dalam laporan berasingan turut memaklumkan, sekurang-kurangnya 27 maut, manakala dua lagi masih hilang akibat Taufan Fung-wong pada Ahad lalu.

Selain itu, agensi itu melaporkan, Taufan Kalmaegi pada 4 November lalu yang mengakibatkan banjir besar dan tanah runtuh mengorbankan 232 orang, 112 lagi hilang dan lebih 500 yang lain cedera.

Kebanyakan angka kematian, dilaporkan berlaku di wilayah Cebu yang turut terjejas susulan gempa bumi bermagnitud 6.9 pada 30 September lalu.

Kedua-dua ribut itu memaksa jutaan penduduk berpindah dan menyebabkan kemusnahan besar terhadap rumah, ladang serta infrastruktur penting termasuk jalan raya dan jambatan. - AGENSI

Angka korban akibat dua taufan melanda Filipina meningkat 259 orang

MANILA: Angka kematian akibat dua taufan kuat yang melanda Filipina baru-baru ini, meningkat kepada 259 orang, dengan jutaan penduduk dipindahkan, menurut pihak berkuasa negeri itu.

Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Negara (NDRRMC) hari ini, memaklumkan bahawa taufan Fung-wong, yang melanda pada Ahad lalu sebagai taufan super sebelum menjadi lemah ketika melintasi kawasan utara tengah Luzon, meragut sekurang-kurangnya 27 nyawa, manakala dua lagi masih hilang, lapor Xinhua.

Dalam laporan berasingan, agensi itu berkata, Taufan Kalmaegi yang mendarat pada 4 November lalu, menyebabkan banjir besar dan tanah runtuh di tengah Filipina, mengorbankan 232 orang, 112 lagi hilang dan lebih 500 yang lain cedera.

Menurut NDRRMC, kebanyakan kematian dilaporkan di wilayah Cebu yang masih belum pulih akibat gempa bumi berukuran 6.9 magnitud yang melanda pada 30 September lalu.

Kedua-dua ribut berkenaan menyebabkan jutaan penduduk kehilangan tempat tinggal dan kemusnahan besar terhadap rumah, kawasan pertanian serta infrastruktur utama termasuk jalan raya dan jambatan, menurut agensi berkenaan.

 

Fung-wong adalah siklon tropika ke-21 yang melanda Filipina tahun ini, melebihi purata tahunan negara itu sebanyak 20 ribut.

– BERNAMA-XINHUA

Bangkok berisiko banjir akibat limpahan Sungai Chao Phraya

BANGKOK – Bangkok dan beberapa bahagian wilayah Pathum Thani serta Nonthaburi berdepan peningkatan risiko banjir dalam beberapa hari akan datang ketika pihak berkuasa meningkatkan kadar pelepasan air di Bendungan Chao Phraya di Chai Nat susulan hujan baru-baru ini, lapor akhbar Bangkok Post. 

Amaran itu dikeluarkan Agensi Pembangunan Geo-Informatik dan Teknologi Angkasa Lepas (Gistda) selepas Jabatan Pengairan Diraja (RID) lewat Sabtu lalu meningkatkan kadar pelepasan daripada 2,750 meter padu kepada 2,800 meter padu sesaat. Ia adalah bagi menampung aliran masuk yang deras dari sungai-sungai di utara yang dilimpahi sisa Ribut Kalmaegi.

Ini akan menyebabkan paras air di sepanjang Sungai Chao Phraya dan sebilangan anak sungainya meningkat, sekali gus meningkatkan risiko banjir di komuniti tepi sungai yang rendah, demikian menurut Gistda.

Agensi itu berkata, air pasang yang tinggi memburukkan lagi keadaan dengan memperlahankan saliran ke Teluk Thailand. Ia menyebabkan banyak kawasan tepi sungai di Greater Bangkok, terutamanya yang berada di luar penghadang perlindungan banjir utama bandar itu berada dalam tekanan ketara.

Gistda menyeru penduduk yang tinggal di sepanjang kedua-dua tebing Sungai Chao Phraya di Pathum Thani, dari Sam Khok hingga daerah Muang, untuk berwaspada terhadap lonjakan paras air secara tiba-tiba.

Di Nonthaburi, Gistda menyatakan daerah Pak Kret dan Bang Kruai amat terdedah. Di Bangkok, daerah seperti Bang Phlat, Bangkok Noi, Bangkok Yai dan Thon Buri menghadapi peningkatan risiko banjir kerana ia terletak di luar pertahanan banjir utama bandar.

Menurut ramalan 24 jam terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Thailand, hujan lebat dijangka berlaku di seluruh utara terutamanya di Mae Hong Son, Chiang Mai, Chiang Rai, Lamphun, Lampang, Phayao dan Tak.

 

Ramalan itu menyatakan sistem tekanan rendah yang terbentuk di kawasan barat wilayah utara akan membawa hujan lebat ke rantau tersebut, meningkatkan risiko banjir kilat dan tanah runtuh di kawasan pergunungan serta banjir di zon rendah. 

Hujan lebat juga diramalkan di wilayah selatan disebabkan angin barat daya di Laut Andaman dan selatan Thailand. – AGENSI 

Taufan Kalmaegi: Mercy Malaysia antara terawal tiba di Filipina

PETALING JAYA – Pasukan Kecemasan Mercy Malaysia telah digerakkan ke Filipina selepas negara itu dilanda Taufan Kalmaegi baru-baru ini dan menjadi antara yang terawal hadir menawarkan bantuan.

Mercy Malaysia dalam kenyataan memaklumkan, taufan tersebut dengan membawa kelajuan angin mencecah 180 kilometer sejam (km/j) telah menyebabkan kemusnahan besar di beberapa kawasan selain ribuan penduduk terjejas kini amat memerlukan bantuan segera.

“Pasukan Penilaian Pantas (Rapid Assessment Team) Mercy Malaysia telah tiba di Manila dan bergerak ke Wilayah Aurora, antara kawasan yang paling teruk terjejas.

“Pada hari pertama, pasukan tersebut telah bertemu dengan Setiausaha Sulit kepada Datuk Bandar dan Pegawai Pelancongan Majlis Perbandaran Aurora, sebelum menghadiri Mesyuarat Kecemasan Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Wilayah Aurora, dipengerusikan oleh Gabenor Isidro Pimentel Galban,” kata Mercy Malaysia.

Kata organisasi itu, mesyuarat tersebut bertujuan membincangkan penyelarasan tindak balas dan keperluan segera mangsa.

“Pihak berkuasa tempatan memaklumkan bahawa Mercy Malaysia merupakan badan bukan kerajaan pertama tiba di wilayah tersebut, bekerjasama dengan agensi kerajaan bagi memperkukuh usaha bantuan.

“Penilaian awal mendapati bahawa kawasan perkampungan pesisir (barangay) adalah paling teruk terjejas, dengan kesan lebih serius berbanding kawasan pedalaman seperti Tuguegarao di wilayah Cagayan,” jelasn kenyataan itu.

Mercy Malaysia menegaskan komitmen mereka untuk terus menyokong usaha pemulihan dan membantu penduduk Filipina membina semula kehidupan dengan lebih kukuh serta berdaya tahan.

Terdahulu, Taufan Kalmaegi menyebabkan kemusnahan besar di Filipina dan Vietnam, dengan sekurang-kurangnya 188 kematian dilaporkan di Filipina dan lima lagi di Vietnam.

Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr. telah mengisytiharkan darurat nasional selepas ribut tropika itu melanda wilayah tengah seperti Cebu dan Negros, mengakibatkan banjir kilat, tanah runtuh serta gangguan bekalan elektrik kepada lebih 1.6 juta isi rumah, manakala 135 individu masih dilaporkan hilang.

Taufan Kalmaegi kemudiannya membadai Vietnam pada malam Khamis lalu menyebabkan lima kematian iaitu tiga di Dak Lak dan dua di Gia Lai serta mencederakan tujuh orang dan merosakkan lebih 2,800 rumah. – KOSMO! ONLINE

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search