Angka korban akibat dua taufan melanda Filipina meningkat 259 orang
- Admin UKK
- Berita
MANILA: Angka kematian akibat dua taufan kuat yang melanda Filipina baru-baru ini, meningkat kepada 259 orang, dengan jutaan penduduk dipindahkan, menurut pihak berkuasa negeri itu.
Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Negara (NDRRMC) hari ini, memaklumkan bahawa taufan Fung-wong, yang melanda pada Ahad lalu sebagai taufan super sebelum menjadi lemah ketika melintasi kawasan utara tengah Luzon, meragut sekurang-kurangnya 27 nyawa, manakala dua lagi masih hilang, lapor Xinhua.
Dalam laporan berasingan, agensi itu berkata, Taufan Kalmaegi yang mendarat pada 4 November lalu, menyebabkan banjir besar dan tanah runtuh di tengah Filipina, mengorbankan 232 orang, 112 lagi hilang dan lebih 500 yang lain cedera.
Menurut NDRRMC, kebanyakan kematian dilaporkan di wilayah Cebu yang masih belum pulih akibat gempa bumi berukuran 6.9 magnitud yang melanda pada 30 September lalu.
Kedua-dua ribut berkenaan menyebabkan jutaan penduduk kehilangan tempat tinggal dan kemusnahan besar terhadap rumah, kawasan pertanian serta infrastruktur utama termasuk jalan raya dan jambatan, menurut agensi berkenaan.
Fung-wong adalah siklon tropika ke-21 yang melanda Filipina tahun ini, melebihi purata tahunan negara itu sebanyak 20 ribut.
– BERNAMA-XINHUA
