PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Keadaan banjir di 6 negeri beransur pulih

KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di enam negeri yang terjejas bencana berkenaan, iaitu Kelantan, Johor, Terengganu, Perak, Melaka dan Kedah beransur pulih setakat petang ini.

Bagaimanapun, bilangan mangsa di Pahang sedikit meningkat menjadikan jumlah keseluruhan mangsa di tujuh negeri berkurangang kepada 57,980 orang berbanding 65,899 orang pagi tadi manakala kes kematian kekal tujuh orang.

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir di empat jajahan mencatatkan penurunan petang ini kepada 39,757 orang yang masih berada di 93 pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 43,667 orang pada sebelah pagi.

Menerusi Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jajahan Tumpat merekodkan jumlah mangsa tertinggi, iaitu 20,439 orang diikuti Pasir Mas dengan 18,866 orang, Kota Bharu (403 orang) dan Bachok (49 orang).

Portal infobanjir.water.gov.my, Jabatan Pengairan dan Saliran pula menunjukkan hanya dua sungai utama di negeri itu kekal melepasi paras bahaya, namun Sungai Golok di Rantau Panjang (9.52 meter) dan Sungai Golok di Tumpat (3.65 meter) merekodkan trend menurun.

Sementara di Johor, mangsa banjir juga berkurangan kepada 1,029 orang setakat 4 petang, berbanding 1,062 orang pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata dua PPS juga telah ditutup menjadikan hanya 18 PPS masih beroperasi di dua daerah terjejas, iaitu Segamat (858 mangsa di 16 PPS) dan Tangkak (171 mangsa di dua PPS).

Di Terengganu, situasi banjir semakin pulih apabila jumlah mangsa menurun kepada 10,870 orang yang ditempatkan di 41 PPS di enam daerah terjejas setakat 4 petang berbanding 14,294 orang pada sebelah pagi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan daerah Kuala Nerus mencatatkan jumlah mangsa tertinggi, iaitu 6,236 orang yang berlindung di 15 PPS diikuti Dungun dengan 2,592 mangsa (16 PPS).

Di Kuala Terengganu, masih terdapat 1,846 mangsa di lima PPS, Setiu 101 orang (tiga PPS), Marang 62 orang (sebuah PPS), dan Hulu Terengganu 33 orang (sebuah PPS) manakala semua PPS di Kemaman telah ditutup sepenuhnya petang tadi.

Di Perak, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memberitahu jumlah mangsa banjir juga berkurangan kepada 282 orang yang masih berada di enam PPS berbanding 383 orang pagi tadi.

Menurut sekretariat itu, mangsa paling ramai adalah di Kinta, iaitu 139 orang diikuti Perak Tengah (70 orang), Hilir Perak (73 orang) makalala di Larut, Matang dan Selama serta Kampar, semua PPS telah ditutup sepenuhnya tengah hari tadi.

Sementara itu, di Kedah, keadaan yang sama turut direkodkan apabila mangsa banjir terus berkurangan kepada 5,815 orang berbanding 6,268 orang pagi tadi.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata kesemua mangsa dari tiga daerah ditempatkan di 27 PPS dengan Kota Setar masih mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak 4,062 orang diikuti Kubang Pasu (1,323 orang) dan Pokok Sena (430 orang).

“Sementara itu, sebuah PPS yang dibuka di daerah Padang Terap, Khamis lepas telah ditutup sepenuhnya pada 3.30 petang tadi,” katanya dalam kenyataan.

Di Melaka, jumlah mangsa banjir tidak menunjukkan perubahan dengan 172 orang masih ditempatkan di dua PPS di Jasin sejak pagi tadi, iaitu 106 orang di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Penghulu manakala 66 orang di PPS SK Seri Mendapat, dan lapan kawasan di daerah itu masih terjejas.

Di Pahang, semakan melalui aplikasi InfoBencana JKM mendapati jumlah mangsa banjir di negeri berkenaan sedikit meningkat kepada 55 orang berbanding 53 orang pagi tadi dengan dua daerah yang terjejas, iaitu Temerloh dan Bera.-BERNAMA

 

Banjir Kelantan: Lebih 200 PPS di tutup, 93 PPS masih aktif

KOTA BHARU: Sebanyak 223 pusat pemindahan sementara (PPS) daripada 316 di Kelantan sudah ditutup dengan 74,969 mangsa daripada 22,581 keluarga dibenarkan pulang ke rumah masing-masing di empat jajahan.

Perkara itu dirujuk menerusi info bencana atau bilik gerakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan setakat 4 petang tadi.

Menurut sumber JKM negeri, mangsa dibenarkan pulang ke rumah atas faktor paras air sungai surut dan kurang hujan.

Sementara itu, data itu juga menunjukkan baki 93 PPS yang masih aktif melibatkan empat jajahan termasuk Pasir Mas dengan 44 PPS, Tumpat (46), Kota Bharu (1) dan Bachok (2).

Berdasarkan data berkenaan sejumlah 39,761 mangsa daripada 12,863 keluarga masih ditempatkan di kesemua PPS yang aktif.

Data tersebut merekodkan Tumpat menjadi jajahan paling tinggi bilangan mangsa banjir yang berdaftar di PPS iaitu 20,441 orang daripada 6,446 keluarga, diikuti Pasir Mas dengan 18,866 mangsa daripada 6,289 keluarga.

— BERNAMA

 

Lebih 10 kampung masih ditenggelami air

Banjir sudah seminggu melanda tetapi keadaan di lebih 10 kampung di sekitar Pengkalan Kubor, di sini, masih ditenggelami air.

Ia berikutan limpahan air yang terlalu banyak sama ada aliran dari Pasir Mas atau Sungai Golok ditambah hujan yang lebat minggu lalu menyebabkan proses surut menjadi perlahan.

Antara kampung yang terkesan dan masih digenangi air sehingga paras dua meter (m) ialah Kampung Bendang Pak Yong, Simpangan, Naga Ibu, Kuala Jambu, Kubang Sawa, Derdap, Pisau Raut, Kajang Sebidang, Palas Merah, Jejulok dan Teluk Jering.

Penduduk Kampung Kajang Sebidang, Syaharudin Mohd Nor, 47, berkata, lazimnya selepas seminggu, paras air semakin surut dan sesetengah penduduk sudah membersihkan rumah sekadar mampu sementara menunggu gelombang seterusnya.

“Bagaimanapun, banyak lagi kampung terutama berhampiran Sungai Golok dan bersempadan dengan Pasir Mas seperti Kuala Jambu dan Kubang Sawa, situasi masih lagi seakan lautan walau sudah seminggu banjir.

“Air surut terlalu perlahan kerana limpahan sangat banyak dalam tempoh gelombang pertama minggu lalu dan kebanyakan penduduk kampung masih terkepung dan menggunakan bot untuk pergerakan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Syaharudin berkata, banjir luar biasa yang berlaku kali ini turut menjejaskan kediamannya yang sebelum ini tidak pernah dimasuki air namun baru-baru ini, air masuk hingga paras 0.8m dalam rumah.

Katanya, dia, isteri dan dua anak terpaksa berlindung di rumah ibu bersama 18 lagi ahli keluarga lain.

“Saya tidak boleh meninggalkan kampung kerana perlu menguruskan banyak bantuan dari pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) untuk mangsa banjir yang tidak berpindah dan terkepung,” katanya.

Sementara itu, Zaharah Salleh, 73, meluahkan rasa sedih apabila banyak jualan di kedai runcitnya hanyut dan tidak dapat diselamatkan kerana tidak sempat disimpan di tempat tinggi.

Dia berkata, kedai runcitnya adalah satu-satunya tempat penduduk kampung yang tidak berpindah mendapatkan barangan malah dia sudah menyediakan pelbagai keperluan

untuk dijual dalam tempoh banjir. “Sebelum banjir, saya sudah menambah bekalan gula, minyak masak, air mineral dan garam untuk keperluan orang kampung tapi habis hanyut. Bukan itu saja, dua peti sejuk turut terbalik,” katanya.

Jumlah mangsa banjir makin turun

Kuala Lumpur: Jumlah mangsa banjir di seluruh negara terus merekodkan penurunan kepada 60,358 mangsa, semalam.

Setakat jam 3 petang, portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan sebanyak 211 pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi di tujuh negeri terjejas membabitkan 18,561 keluarga.

Daripada jumlah itu, Kelantan masih merekodkan penurunan mangsa kepada 40,230 dengan 12,963 keluarga masih ditempatkan di 93 PPS.

Terengganu pula menyaksikan 12,477 mangsa daripada 3,222 keluarga dari tujuh daerah terjejas masih mendapatkan perlindungan di 55 PPS.

Sementara, jumlah mangsa di Kedah, tidak banyak berubah apabila 6,135 orang daripada 1,943 keluarga ditempatkan di 30 PPS.

Johor masih kekal dengan 20 PPS bagi memberi perlindungan kepada 1,075 orang daripada 308 keluarga dan Perak menempatkan 216 orang daripada 70 keluarga di tujuh PPS.

Selain itu, jumlah mangsa di Melaka masih kekal dengan 172 orang daripada 44 keluarga ditempatkan di dua PPS, manakala seramai 53 orang daripada 11 keluarga di Pahang masih berlindung di empat PPS negeri itu.

Kekuatan luar biasa rakyat

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada sektor swasta dan korporat atas sumbangan mereka dalam membantu meringankan beban mangsa banjir di beberapa negeri ketika ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, bantuan berkenaan di samping dilakukan kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, pihak berkuasa dan jentera kerajaan itu menunjukkan kekuatan luar biasa rakyat untuk bersama-sama membantu menyelesaikan masalah dihadapi.

“Kerajaan menerima baik keprihatinan sektor korporat dalam membantu mangsa banjir. Setakat Oktober lalu, GLC (syarikat berkaitan kerajaan) seperti PNB (Permodalan Nasional Berhad), Petronas, Yayasan Hasanah dan Pharmaniaga menyalurkan bantuan bernilai lebih RM10 juta.

“Insya-Allah, saya akan menerima sumbangan bantuan banjir daripada syarikat swasta terkemuka dengan jumlah terkumpul lebih RM35 juta, jadi di Dewan yang mulia ini, bagi pihak Dewan (Negara) saya ucapkan penghargaan kepada semua,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara, di sini, semalam.

Selasa lalu, Perdana Menteri dalam ucapannya pada majlis perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, menggesa sektor swasta untuk turut sama menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mangsa banjir, sama ada dari segi sumbangan dana atau menghantar jentera bantuan ke kawasan terjejas.

“Kita syukur apabila kita buat seruan kepada sektor korporat ini untuk turut membantu. Selama ini memang ada Khazanah, bank-bank selain GLC PNB, Petronas, Yayasan Hasanah dan Pharmaniaga, (tapi) ini sebaik kita umum hasrat, dalam dua hari (berjaya) dapat RM35 juta tanpa apa-apa kempen tambahan.

“Ini pentingnya kalau kita urus tatakelola dengan baik, tidak punggah kekayaan untuk diri sendiri, peribadi dan untuk kayakan keluarga,” katanya.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search