KUALA LUMPUR: Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) perlu peka terhadap beban yang ditanggung perniagaan dan orang awam, khususnya kemudahan seperti bayaran sewa bangunan dan ansuran bayaran balik pinjaman kewangan susulan bencana banjir yang melanda negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau menegaskan perkara itu ketika mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pelaburan Bumiputera hari ini, yang antara lain menyentuh mengenai kesan banjir terhadap peniaga dan orang awam.
Menerusi perkongsian di Facebook, Anwar berkata mesyuarat turut membincangkan kemajuan syarikat-syarikat di bawah yayasan itu dalam menyokong inisiatif kerajaan.
Perdana Menteri berkata ia termasuk program GEAR-uP serta ketetapan Kongres Ekonomi Bumiputera. – BERNAMA
KOTA BAHRU: Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) Kelantan akan membuat pemantauan berterusan dan mengemas kini hebahan amaran banjir sekiranya hujan yang signifikan berterusan di lembangan sungai utama negeri ini.
JPS dalam kenyataan memaklumkan pemantauan itu dilakukan susulan amaran hujan berterusan (Waspada) oleh Jabatan Meteorologi Malaysia di kesemua jajahan bermula pada 8 hingga 14 Dis ini.
“Kita akan memantau kesemua lembangan sungai utama yang ada di 10 daerah di negeri ini iaitu di Tumpat melibatkan lembangan Sungai Golok (Sungai Pengkalan Nangka dan Sungai Mentua), lembangan Sungai Kelantan dan lembangan Sungai Pengkalan Nangka manakala di Pasir Mas pula lembangan Sungai Golok (Sungai Bunut Susu dan Sungai Meranti) serta lembangan Sungai Kelantan.
“Bagi Kota Bharu pula melibatkan lembangan Sungai Kelantan manakala di Tanah Merah pemantauan turut dilakukan di lembangan Sungai Golok (Sungai Jegor) dan Sungai Kelantan (Sungai Kusial, Sungai Manal dan Sungai Jedok),” menurut kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, JPS turut melakukan pemantauan di tiga lembangan sungai di daerah Bachok iaitu melibatkan Sungai Gali, Sungai Kemasin dan Sungai Semerak (Sungai Lubuk Nibong dan Sungai Melor).
“Di Machang melibatkan lembangan Sungai Kelantan (Sungai Abal, Sungai Bagan, Sungai Dalu, Sungai Galang, Sungai Hala, Sungai Hau, Sungai Joh, Sungai Kemudu, Sungai Kerak dan Sungai Kerawang).
“Selain itu, di Pasir Puteh pula melibatkan lembangan Sungai Kelantan (Sungai Semerak dan Sungai Tasek) dan lembangan Sungai Semerak (Sungai Besut, Sungai Daran Buaya, Sungai Jelor, Sungai Kelong dan Sungai Rasau),” menurut kenyataan itu.
Bagi daerah Kuala Krai pula pemantauan melibatkan lembangan Sungai Kelantan (Sungai Durian, Sungai Tagor, Sungai Galas, Sungai Sedulek, Sungai Geh, Sungai Nal, Sungai Lebir, Sungai Mel, Sungai Mesek dan Sungai Pahi.
Sementara itu, di Jeli pemantauan dilakukan di lembangan Sungai Golok (Sungai Buloh, Sungai Lanas, Sungai Legeh dan Sungai Satan) manakala di lembangan Sungai Kelantan (Sungai Pergau, Sungai Belahat, Sungai Jeli, Sungai Jentiang dan Sungai Taduh).
Jajahan Gua Musang pula melibatkan lembangan Sungai Kelantan (Sungai Aring, Sungai Chalil, Sungai Chiku, Sungai Cindai, Sungai Galas, Sungai Keneras, Sungai Ketil, Sungai Lebir, Sungai Nenggiri, Sungai Paloh dan Sungai Tupai). – BERNAMA
KOTA BHARU: Jeli kembali dilanda banjir dengan satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka semula malam ini susulan hujan lebat sejak petang semalam.
Seramai 19 mangsa membabitkan empat keluarga dipindahkan ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Balah malam tadi.
Setakat malam tadi, beberapa kampung di daerah berkenaan mengalami hujan lebat dan dijangka mangsa yang akan dipindahkan semakin bertambah.
Sebelum ini, PPS Jeli sudah ditutup sejak tiga hari lalu selepas banjir di daerah berkenaan pulih sepenuhnya sebelum kembali dibuka malam tadi.
KOTA BHARU: Jumlah mangsa banjir di Kelantan berkurangan kepada 23,366 orang setakat 7.30 pagi ini, berbanding 24,416 orang malam tadi.
Kesemua mangsa berlindung di 50 pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah iaitu Pasir Mas, Tumpat dan Jeli.
Jajahan Jeli kembali dilanda banjir malam tadi selepas hujan lebat menyebabkan kawasan Kuala Balah dinaiki air.
Berdasarkan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mangsa banjir di Tumpat adalah seramai 13,879 orang daripada 4,345 keluarga di 32 PPS, diikuti Pasir Mas (9,468 orang, 3,202 keluarga di 17 PPS) dan Jeli (19 mangsa daripada empat keluarga di satu PPS).
Sebanyak enam treler digunakan dalam misi kemanusiaan Rakan NADMA Disaster Simulation Exercise (RANDEX) untuk membantu penduduk terjejas banjir di Kelantan dan Terengganu / Foto FB NADMA
KUALA LUMPUR, 5 Disember – Sebanyak enam treler digunakan dalam misi kemanusiaan Rakan NADMA Disaster Simulation Exercise (RANDEX) untuk membantu penduduk terjejas banjir di Kelantan dan Terengganu.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menerusi kenyataan memaklumkan barangan bantuan yang dihantar termasuk bekalan makanan, kit kebersihan, kit keluarga, dan kit kembali ke sekolah.
Lima treler dihantar ke Kelantan, manakala satu treler dibawa ke Kuala Terengganu dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan.
Misi ini dikoordinasikan melalui kolaborasi strategik antara NADMA sebagai agensi penyelaras, RED A Humanitarian Development Global, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan, dan pelbagai NGO di bawah Rakan NADMA.
Keberkesanan penghantaran bantuan diperkukuh dengan kerjasama erat antara Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Negeri dan PKOB Pusat.
Sumbangan utama kepada misi ini adalah daripada GLC Demi Rakyat dan Negara (GDRN) yang menyumbang sebanyak 13.7 juta Ringgit.
GDRN, yang melibatkan 23 Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), turut menyediakan perkhidmatan klinik bergerak, perkhidmatan perubatan, dan program baik pulih infrastruktur untuk mangsa bencana.
Sejak penubuhannya pada 2016, seramai 27,000 sukarelawan dan pemain sektor kemanusiaan telah mendaftar sebagai Rakan NADMA.