Gempa bumi lemah dikesan di Tawau
- Admin UKK
- Berita
Kota Kinabalu: Gempa bumi lemah bermagnitud 2.7 dikesan di sekitar Tawau pada 4.54 pagi ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan memaklumkan pusat gempa itu terletak 4.5 darjah utara dan 118.1 darjah timur dengan kedalaman 10 kilometer (km), iaitu sekitar 17 km dari pusat bandar Tawau.
"Gegaran dirasai di sekitar Tawau," menurut kenyataan itu.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah ketika dihubungi berkata, tiada kejadian tidak diingini berlaku akibat gempa bumi itu.
Sementara itu di Tawau, seorang peniaga Anna Benjamin, 63, berkata, gegaran dapat dirasai oleh dia sekeluarga yang berada di kawasan Tanjung Batu Laut, ketika waktu subuh tadi.
"Tidak lama (bergegar) dalam lima saat begitu. Tiada apa-apa yang rosak bila saya dan keluarga periksa. Doakan kami semua di Tawau selamat," katanya.
Pemilik kedai makan Asmah Anit, 48, berkata, dia dapat merasakan gegaran itu kira-kira lima saat di rumahnya di Taman Ria Height.
"Rumah saya atas bukit, ada rasa macam kena goncang jugalah pada subuh tadi. Anak saya pun ada rasa juga," katanya.
Pekerja am, Mohd Izhan Hassan, 32, berkata, dia merasakan gegaran kira-kira dua hingga tiga saat ketika berada di kawasan Kolej Vokasional Tawau pada waktu sama.
'Bukan sengaja tak mahu pindah'
- Admin UKK
- Berita
Tumpat: Bukan sengaja enggan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS), tapi sebaliknya ingin menjaga kediaman daripada dipecah masuk pencuri.
Disebabkan itu, sekurang-kurangnya seorang daripada ahli keluarga perlu berada di rumah, meskipun rumah ditenggelami air.
Itu dakwaan segelintir ahli keluarga kepada mangsa banjir di sini yang tidak berpindah ke PPS.
Bagi Abdullah Awang Besar, 67, ketika banjir gelombang pertama lalu, semua ahli keluarganya berpindah ke PPS kerana air mula memasuki dalam rumah.
"Hanya saya sahaja tidak berpindah kerana menjaga rumah daripada dipecah masuk pencuri yang sentiasa mengintai peluang sepanjang musim banjir.
"Air masuk ke dalam rumah sehingga satu meter (m) dan selama lima malam saya tidur di dalam bot yang diletakkan dalam rumah kerana tiada sudah tiada tempat yang tidak terjejas dengan air.
"Boleh dikatakan setiap ketua rumah yang kediaman mereka dinaiki air tidak akan turut sama berpindah dengan keluarga kerana ingin menjaga keselamatan rumah," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kajang Sebidang, di sini.
Dia berkata, kejadian pecah masuk rumah ketika ketiadaan penghuni sering berlaku pada musim banjir, dan tidak ramai yang tampil membuat laporan polis terutama jika ia membabitkan kerugian yang tidak seberapa.
Walaupun dalam keadaan bergelap kerana sehingga kini bekalan elektrik masih belum tiada, Abdullah tidak menganggap itu perkara besar.
Namun, dalam hatinya, ada terdetik kebimbangan jika ada haiwan berbisa yang datang ketika dia tidur.
Menurutnya lagi, dari segi makan minum, dia akan mengalas perut dengan apa yang ada kerana sudah ada bantuan yang tiba.
Katanya, jika tidak, dia akan menghidupkan bot menuju ke kedai terdekat.
Sejak tiga hari lalu, paras air sudah semakin menyusut namun di perkarangan rumah Abdullah, air masih lagi bergenang pada paras 0.8 m.
TANAH MERAH: Mangsa banjir di beberapa kampung di Tanah Merah yang terjejas akibat bencana itu sebelum ini, masih belum dapat menarik nafas lega walaupun keadaan semakin pulih ketika ini.
Muhammad Amir Noor, 23, dari Kampung Manal di sini, berkata selepas berdepan banjir minggu lalu, dia bersama ahli keluarga masih dalam mood berjaga-jaga kerana berkemungkinan berlaku gelombang seterusnya yang dijangka membawa banjir lebih buruk sekiranya hujan lebat berterusan.
"Sekarang saya sentiasa membaca dan melihat perkembangan semasa banjir serta ramalan hujan yang dilaporkan media dan dikemas kini oleh agensi berkaitan banjir.
"Kami sekeluarga mengemas rumah ala kadar, banyak barang masih disimpan di tempat tinggi, seperti barangan elektrik dan perabot bagi memudahkan kami keluar rumah untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) atau rumah saudara-mara (jika banjir sekali lagi)," katanya kepada Bernama.
Muhammad Amir berkata, banjir minggu lalu menyebabkan air memasuki rumahnya setinggi paras lutut manakala di kawasan luar pula air mencecah paras pinggang.
Mangsa dari Kampung Lubok Agong, di sini Muhamad Rosdi Mamat, 42, berkata dia turut mengambil langkah berwaspada jika berlaku banjir gelombang kedua dan membiarkan barangan rumahnya diletakkan di tempat tinggi ketika ini.
"Paras air akibat banjir minggu lepas naik hingga pinggang dan dada, namun kami bernasib baik kerana rata-rata penduduk di kawasan ini cepat mengalihkan kenderaan dan berpindah segera ke PPS," katanya.
KOTA BHARU: Mangsa banjir di tujuh negeri termasuk Pantai Timur makin reda dengan bilangan mangsa banjir keseluruhan berkurangan kepada 50,765 orang daripada 15,559 keluarga di 186 pusat pemindahan banjir (PPS) setakat jam 7.30 pagi ini.
Di Kelantan, bilangan mangsa banjir juga berkurangan kepada 35,075 mangsa membabitkan 11,152 keluarga itu ditempatkan di 88 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah.
Berdasarkan Info Bencana Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sehingga kini daerah yang masih dilanda banjir adalah Pasir Mas merekodkan 15,491 mangsa diikuti Tumpat 19,140 mangsa, Kota Bharu membabitkan 403 mangsa dan Bachok hanya 41 mangsa.
Di Terengganu, tujuh daerah masih dilanda banjir membabitkan 8, 305 orang daripada 2,117 keluarga di 41 PPS manakala di Kedah 5,976 orang daripada 1,883 keluarga di 27 PPS di tiga daerah.
Di Johor pula, 1,033 mangsa banjir daripada 296 keluarga masih ditempatkan di 18 PPS di dua daerah sementara di Perak, dua daerah dilanda banjir dengan 165 orang daripada 58 keluarga di enam PPS.
Sementara itu, keadaan banjir di Melaka juga semakin pulih dengan hanya satu daerah yang terjejas membabitkan 160 orang daripada 41 keluarga di dua PPS manakala di Pahang empat PPS masih dibuka di tiga daerah dengan 51 mangsa daripada 12 keluarga.
Sampah dan banjir bagai adik-beradik
- Admin UKK
- Berita
BARU-baru ini tular di media sosial video yang memaparkan sekumpulan penduduk mengharungi air banjir yang dipenuhi sampah dan berminyak dalam kejadian banjir di Arena Kepayang Putra, Fair Park, Ipoh Perak.
Walaupun melihat keadaan itu di alam maya, namun ia jelas meloyakan sesiapa sahaja apatah lagi penduduk dan sukarelawan di kawasan terbabit yang mengharunginya.
Sebenarnya jika pembaca pernah menjadi mangsa atau terlibat sebagai sukarelawan banjir, air yang dipenuhi sampah bukan asing lagi cuma kali ini agak menjijikkan kerana ia turut dipenuhi minyak.
Penulis sendiri pernah membuat tinjauan banjir di sebuah kampung ketika Kedah dilanda banjir pada November lalu.
Sebatang sungai di kampung berkenaan dipenuhi dengan sampah yang tersangkut pada ranting-ranting pokok dalam sungai.
Antara sampah sarap yang sempat penulis lihat termasuklah botol minuman, botol racun rumpai, bekas polisterina makanan dan beg plastik.
Sampah-sarap itu penulis andaikan dibawa air banjir dari merata tempat lalu terkumpul dalam sungai terbabit.
Bukan itu sahaja, sebaik melintasi sebuah rumah penduduk di kampung itu juga, penulis dapat melihat sampah-sarap terapung dalam air banjir di pekarangan rumah berkenaan.
Sudah pasti selepas banjir surut, sampah-sarap terbabit akan kekal di situ dan pemilik rumah perlu membersihkannya pula.
Itu cuma suasana banjir di kawasan kampung yang tidak banyak pembangunan, jika pada musim sekarang ketika beberapa ibu negeri di Semenanjung sedang dilanda banjir, mungkin lebih dahsyat sampah yang ditemui selepas banjir surut nanti.
Ketika itu mulalah semua pihak lawan menuding jari mencari salah sedangkan menjaga kebersihan alam itu tanggungjawab semua anggota masyarakat.
Bagi kes di Ipoh, Perak itu juga, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) masih dalam usaha mengesan punca berlakunya air banjir berminyak dan 'lemak' terapung itu.
Sebenarnya apabila terjadi masalah seperti itu, banyak kos dan tenaga diperlukan untuk menyiasat kes terbabit yang sepatutnya boleh dimanfaatkan untuk kerja-kerja pasca banjir seperti mencuci rumah penduduk.
Akhirnya, kita diibaratkan membazirkan kos dan tenaga yang ada untuk perkara yang sepatutnya boleh dielakkan lebih awal.
Berkaitan isu kesedaran alam sekitar, ramai pihak baik kerajaan mahupun NGO sering mengadakan kempen menjaga kebersihan.
Malah sejak di bangku sekolah lagi guru-guru telah menerapkan amalan kitar semula untuk kelestarian alam.
Pelajar turut diajar jika kawasan sekeliling tidak ada tong sampah, sampah itu akan dibawa pulang dan akan dibuang di rumah.
Sebenarnya, jika dilihat tidak susah sebenarnya untuk kita mengamalkan kitar semula di negara ini.
Kemudahan sudah tersedia, terpulang kepada kita hendak melaksanakan atau tidak sahaja.
Malah, di utara, syarikat pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, E-Idaman Sdn Bhd telah pun menawarkan perkhidmatan kitar semula secara pandu lalu untuk memudahkan masyarakat.
Setiap barang yang dikitar semula itu akan dibeli oleh mereka mengikut nilai yang ditetapkan.
Betapa banyak manfaat yang dapat sekiranya menjaga alam sekitar sehingga turut ditawarkan wang untuk setiap sampah yang dihantar kepada syarikat terbabit.
Walau bagaimanapun, penulis harap kejadian di Ipoh Perak itu adalah yang terakhir berlaku dan semua anggota masyarakat dapat berganding bahu menjaga kelestarian alam.
Ketika ini saling menyalahkan pun tidak guna, sebaiknya duduk bersama dan cari penyelesaian supaya ia tidak berulang lagi apabila banjir di kemudian hari.
Persatuan penduduk khususnya boleh mengadakan pertandingan kitar semula yang disertai oleh semua pemilik rumah dalam kawasan terbabit.
Secara tidak langsung masyarakat dapat menyokong Dasar Kebersihan Negara (DKN) yang menekankan tiga kluster iaitu kesedaran terhadap kebersihan, kelestarian alam sekitar dan ekonomi kitaran.