PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Banjir: Bomba bantu hantar pelajar SPM ke SMK Kapit 2

KAPIT: Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Sekolah Menengah Kerajaan (SMK) Kapit 2 terpaksa mendapatkan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) malam tadi, selepas jalan keluar dari rumah panjangnya ditenggelami air banjir setinggi paras pinggang.

Pelajar tingkatan lima itu dipindahkan dari rumah panjangnya di kawasan Sungai Sibau, Jalan Bukit Goram ke asrama perempuan SMK Kapit 2 menggunakan bot fiber milik Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit Timoty Barat, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.34 malam daripada seorang guru sekolah yang memohon bantuan memindahkan pelajar tersebut.  

“Pasukan kami segera dikerahkan dan tiba di lokasi dalam masa lima minit selepas menerima panggilan. Disebabkan keadaan jalan yang sempit, kami menggunakan bot fiber yang dipinjam daripada JPBNS kerana bot aluminium milik bomba tidak sesuai untuk kawasan tersebut.  

"Operasi berjalan lancar dan pelajar tersebut berjaya tiba di sekolah dengan selamat pada jam 11.19 malam,” katanya ketika dihubungi.

Beliau memaklumkan bahawa jentera yang digunakan dalam operasi itu ialah sebuah 'Light Fire Rescue Tender' (LFRT) dan kenderaan pacuan empat roda untuk menunda bot fiber.

“Setelah pelajar diserahkan kepada guru warden asrama, pasukan kami memastikan keadaan banjir di kawasan rumah panjang pelajar tersebut masih terkawal. Rumah panjang itu bertiang tinggi, dan jarak air dari lantai rumah masih dianggarkan sekitar tujuh kaki,” tambahnya.

Mangsa banjir di Johor terus berkurang pagi ini

JOHOR BAHRU: Mangsa banjir di Johor terus berkurang kepada 1,097 orang membabitkan 329 keluarga setakat jam 8 pagi ini, berbanding 1,860 orang daripada 537 keluarga petang semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani, berkata pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih beroperasi juga berkurang kepada 12 buah sahaja.

"Setakat pagi ini, Kluang pula yang mencatatkan jumlah mangsa banjir yang paling tinggi dengan kerana meningkat sedikit daripada 410 mangsa pada petang semalam kepada 415 mangsa yang masih membabitkan 128 keluarga di tiga PPS.

"Pontian juga masih mencatat jumlah mangsa banjir yang kedua tertinggi seramai 354 mangsa (97 keluarga) di lima PPS yang masih beroperasi," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Azmi yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Johor berkata, Kota Tinggi yang sebelum ini paling terjejas, semakin pulih apabila jumlah mangsa banjir terus berkurangan kepada 275 orang (88 keluarga) pada jam 8 pagi ini, berbanding 1,016 orang (289 keluarga) petang semalam.

Katanya, PPS di Kota Tinggi juga kini hanya tinggal tiga yang masih dibuka.

Menurut beliau, di Johor Bahru pula, masih kekal dengan 53 mangsa daripada 16 keluarga yang berada di sebuah PPS.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) tidak mengeluarkan sebarang amaran ribut petir di mana-mana daerah di negeri ini, namun terdapat amaran hujan berterusan tahap waspada di Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru yang dijangka pada Jumaat hingga Ahad ini.

Setakat jam 8 pagi ini, Johor Bahru, Segamat, Kluang, Tangkak dan Kulai dilaporkan cerah, manakala daerah lain hanya mendung.

 

Usaha tangani hakisan pantai perlu peruntukan lebih besar

MASALAH hakisan pantai di Kampung Tanjung, Batu Rakit, semakin membimbangkan apabila ombak besar baru-baru ini menyebabkan sebahagian jalan raya runtuh dan mengancam kediaman penduduk.

Penduduk tempatan melaporkan bahawa ombak setinggi kira-kira dua meter telah menyebabkan hakisan serius.

Selain itu, beberapa gerai jualan di sepanjang pantai turut musnah dihanyutkan ombak, manakala lebih 15 pokok kelapa tumbang akibat hakisan yang berlaku dalam tempoh singkat.

Kerajaan Terengganu mengambil tindakan segera dengan meluluskan bantuan RM80,000 untuk membina benteng perlindungan di kawasan terjejas, khususnya di Kampung Pengkalan Maras.

Peruntukan tersebut akan digunakan untuk membina benteng batu bagi melindungi kawasan kritikal, termasuk sekitar rumah penduduk dan tanah perkuburan di kampung berkenaan.

Namun, dengan anggaran kos antara RM5 juta hingga RM10 juta bagi setiap kilometer pembinaan benteng pemecah ombak, usaha menangani hakisan pantai memerlukan peruntukan yang jauh lebih besar.

Sehubungan itu, penduduk Kampung Tanjung merayu agar kerajaan pusat campur tangan dengan menyediakan dana tambahan untuk projek pemeliharaan pantai yang lebih komprehensif.

Tindakan segera perlu diambil bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin dan infrastruktur awam tidak terus terjejas.

Pakar geografi dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Norhayati Karim, mencadangkan pendekatan hibrid yang menggabungkan pembinaan pemecah ombak dengan tukun sebagai alternatif untuk mengawal hakisan pantai.

Beliau menjelaskan bahawa tukun apabila ditempatkan bersama pemecah ombak, dapat memberikan perlindungan lebih efektif terhadap ombak dan mengurangkan hakisan.

Selain itu, pemecah ombak juga berfungsi meningkatkan ekosistem hidupan marin, dengan kajian menunjukkan pertambahan habitat perikanan di kawasan tersebut.

Diharap pihak berkuasa dapat mempertimbangkan cadangan tersebut dan mengambil tindakan segera untuk melindungi kawasan pantai daripada ancaman hakisan yang berterusan.

Satu kajian terperinci juga wajar dilakukan untuk kenal pasti punca sebenar hakisan dan merangka pelan jangka panjang bagi memastikan kelestarian pantai serta keselamatan komuniti setempat.

Banjir: Bomba bantu pindah calon SPM ke asrama

KAPIT - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak membantu memindahkan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari kediamannya di rumah panjang ke asrama sekolah.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi JBPM Sarawak dalam satu kenyataan awal hari ini memaklumkan pihaknya menerima panggilan daripada seorang guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kapit 2 pada jam 10.34 malam tadi.

"Berikutan itu pasukan keluaran operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit telah dihantar segera ke lokasi.

"Jalan keluar di rumah panjang yang terletak di Sungai Sibau, Jalan Bukit Goram, Kapit itu dinaiki air banjir setinggi lebih 1.2 meter,” menurut kenyataan itu.

Pihak Bomba bertindak memindahkan pelajar dari rumah panjang ke sekolah berkenaan menggunakan bot gentian fiber milik Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (SDMC) Pejabat Daerah Kapit.

"Pelajar kemudian diserahkan kepada warden asrama untuk tindakan selanjutnya,” menurut kenyataan itu..

Banjir di kawasan rumah panjang berkenaan masih terkawal kerana bertiang dan paras air dari lantai rumah adalah kira-kira 2.1 meter. - Bernama

Penduduk bimbang gelombang kedua banjir

Kota Tinggi: Mangsa banjir di daerah ini bimbang dengan luruan hujan kedua yang dijangkakan berlaku mulai esok sehingga Sabtu ini.

Penduduk Taman Aman, Mohd Hairy Musa, 40, berkata dia masih tinggal di pusat pemindahan sementara (PPS) dan pulang ke rumah sekejap untuk membuang barangan yang rosak.

Katanya, tidak berniat mencuci bersih rumah kerana bimbang dinaiki air lagi.

“Memang bimbang sebab Jabatan Meteorologi Malaysia (Metmalaysia) ada maklumkan gelombang banjir akan berlaku lagi. Saya balik rumah sebab mahu kemas dan buang barang rosak.

“Ini bukan banjir biasa, air lumpur dan motosikal kalau tak cepat cuci akan kering dan susah hendak cuci, berbau busuk.

“Saya memang masih duduk di PPS tak larat nak mengharung banjir. Taman Aman ini banjir arus deras, kalau pakai bot biasa pun boleh hanyut rasanya,” katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.

Jumlah mangsa berkurangan

Penduduk, Nur Asna Asyikin Khairudin, 25 memaklumkan banyak barangan rosak kerana tidak sempat diselamatkan ketika banjir pada Jumaat lalu.

Beliau tidak mengemas rumah sepenuhnya kerana bimbang gelombang banjir datang lagi.

“Tak sanggup nak cuci rumah berulang kali. Saya pindahkan barang ke tempat lebih tinggi takut gelombang kedua banjir lebih tinggi berbanding Jumaat lalu,” katanya.

Di Johor Bahru, jumlah mangsa banjir di negeri ini berkurangan daripada 2,625 orang pada 12 tengah hari semalam kepada 1,860 orang, setakat jam 4 petang semalam.

Selain jumlah mangsa banjir, pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih beroperasi juga menurun kepada 17 selepas 13 PPS ditutup sehingga petang semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, jumlah mangsa banjir kini hanya membabitkan 537 keluarga berbanding 761 keluarga pada tengah hari semalam.

“Enam PPS di Kota Tinggi ditutup menjadikan mangsa banjir di daerah itu tinggal 1,016 orang daripada 289 keluarga berbanding 1,322 orang daripada 390 keluarga.

“Mereka masih berada di lapan PPS di daerah berkenaan,” katanya menerusi kenyataan media, semalam.

Azmi juga Setiausaha Kerajaan Negeri Johor berkata, lima PPS di Pontian juga sudah ditutup, sekali gus jumlah mangsa banjir di daerah berkenaan berkurangan kepada 381 orang (104 keluarga) berbanding 716 orang (194 keluarga).

Katanya, terdapat lima PPS masih beroperasi di Pontian.

Di Kluang, kini tinggal 410 mangsa daripada 128 keluarga selepas dua PPS ditutup, manakala di Johor Bahru masih kekal dengan 53 mangsa daripada 16 keluarga di sebuah PPS.

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search