PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Tiga PPS terakhir di Johor ditutup

Situasi banjir di negeri ini pulih sepenuhnya selepas tiga pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir ditutup, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani memaklumkan tiga PPS berkenaan adalah Sekolah Kebangsaan Melayu Raya, Pontian; dan Dewan Serbaguna Kahang serta Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kahang di Kluang.

“Kesemua 230 orang daripada 72 keluarga yang ditempatkan di tiga PPS tersebut dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing, setelah air banjir surut dan keadaan kediaman didapati selamat.

“Selain itu, keadaan cuaca di Pontian diramalkan hujan, manakala Muar mendung, sementara lapan daerah yang lain dijangka cerah,” katanya.

Johor kembali dilanda bencana banjir membabitkan daerah Kota Tinggi, Pontian, Kluang, Kulai dan Johor Bahru susulan hujan lebat berterusan pada 10 Januari lalu.

Tiga PPS terakhir di Johor ditutup

Situasi banjir di negeri ini pulih sepenuhnya selepas tiga pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir ditutup, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani memaklumkan tiga PPS berkenaan adalah Sekolah Kebangsaan Melayu Raya, Pontian; dan Dewan Serbaguna Kahang serta Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kahang di Kluang.

“Kesemua 230 orang daripada 72 keluarga yang ditempatkan di tiga PPS tersebut dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing, setelah air banjir surut dan keadaan kediaman didapati selamat.

“Selain itu, keadaan cuaca di Pontian diramalkan hujan, manakala Muar mendung, sementara lapan daerah yang lain dijangka cerah,” katanya.

Johor kembali dilanda bencana banjir membabitkan daerah Kota Tinggi, Pontian, Kluang, Kulai dan Johor Bahru susulan hujan lebat berterusan pada 10 Januari lalu.

Hujan lebat tahap buruk di Sabah

Kuala Lumpur: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap buruk yang dijangka berlaku di Sabah melibatkan kawasan Telupid, Beluran dan Sandakan hingga hari ini.

MetMalaysia menerusi kenyataan semalam turut mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada dijangka berlaku di Johor hingga Ahad ini membabitkan kawasan Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

Amaran sama turut dikeluarkan bagi beberapa kawasan di Sarawak membabitkan Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit (Song dan Kapit) dan Bintulu hingga Sabtu ini manakala di Sabah melibatkan kawasan Pantai Barat (Ranau dan Kota Belud), Sandakan (Kinabatangan) dan Kudat hingga hari ini.

MetMalaysia turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora di empat negeri hingga Ahad ini.

Jabatan itu memaklumkan Amaran Kategori Ketiga membabitkan kejadian angin kencang timur laut berkelajuan melebihi 60 kilometer sejam (kmj) dengan ketinggian ombak hingga 4.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan Johor Timur, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Keadaan itu berbahaya kepada aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak.

Amaran angin kencang dan laut bergelora (Kategori Pertama) turut dikeluarkan MetMalaysia bagi kawasan perairan Sarawak dengan angin kencang timur laut berkelajuan 40 hingga 50 kmj dan ombak mencapai ketinggian hingga 3.5 meter dijangka berlaku hingga Ahad ini.

Wujudkan platform komunikasi ketika banjir lancarkan koordinasi

PENGURUSAN logistik cekap menjadi komponen kritikal dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan komuniti terjejas dengan bencana banjir, sekali gus ditentukan sejauh mana proses pemindahan mangsa dan pengagihan bantuan.

Dalam situasi bencana, masa menjadi faktor paling kritikal. Tindakan logistik pantas boleh menjadi penentu antara hidup dan mati. Air boleh naik dengan cepat, memutuskan akses ke kawasan terjejas dalam masa beberapa jam sahaja.

 

Kelewatan dalam pemindahan atau penghantaran bantuan menyebabkan mangsa boleh terperangkap, terdedah kepada bahaya dan tanpa keperluan asas. Justeru, pemindahan segera memastikan penduduk di kawasan berisiko tinggi dipindahkan ke tempat selamat sebelum air banjir meningkat ke paras berbahaya.

Tindakan segera memberi keyakinan kepada mangsa bahawa bantuan sedang diusahakan, mengurangkan panik dan tekanan psikologi. Ini memerlukan rancangan pemindahan cekap untuk memindahkan mangsa dari kawasan terjejas ke lokasi lebih selamat seperti pusat pemindahan sementara (PPS).

Terengganu perlu RM2.4 bilion atasi hakisan pantai

KUALA TERENGGANU: Kira-kira RM2.4 bilion diperlukan untuk projek pembinaan benteng pemecah ombak di 34 pantai yang terbabit dengan hakisan sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri (Pengurusan Bencana), Hanafiah Mat, berkata peruntukan untuk membina benteng pemecah ombak biasanya antara RM5 juta hingga RM10 juta setiap kilometer, bergantung pada spesifikasi.

Katanya, peruntukan untuk pembinaan benteng pemecah ombak bergantung kepada beberapa faktor antaranya panjang pantai yang terhakis.

"Jenis benteng yang dibina akan mempengaruhi kos yang boleh berbeza bergantung kepada reka bentuk, sama ada benteng konkrit, tetrapod atau gabion.

"Tahap hakisan juga menentukan perbelanjaan apabila hakisan yang teruk mungkin memerlukan struktur lebih kukuh menyebabkan dan kos lebih tinggi," katanya ketika dihubungi hari ini.

Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Chukai berkata, kos bahan dan buruh tempatan serta harga binaan seperti batu, simen dan tenaga kerja juga turut mempengaruhi kos.

"Kerajaan negeri akan berusaha untuk mendapatkan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan memandangkan ia membabitkan bidang kuasa dan tanggungjawab mereka.

"Jumlah peruntukan untuk pembinaan benteng di 34 pantai yang dilaporkan terbabit dengan hakisan adalah anggaran, tetapi kajian secara mendalam oleh pakar diperlukan untuk mendapatkan jumlah kos sebenar berdasarkan keadaan setempat," katanya.

Hanafiah berkata, anggaran peruntukan yang diperlukan itu dibuat berdasarkan panjang pantai setiap daerah dan kos purata pembinaan tidak termasuk penyelenggaraan jangka panjang.

"Kajian lebih terperinci diperlukan untuk mengenal pasti tahap hakisan dan keperluan pembinaan di setiap lokasi," katanya.

Justeru itu, katanya, kerajaan negeri menggesa Kerajaan Persekutuan untuk segera meluluskan peruntukan tambahan bagi menangani isu hakisan yang kian mengancam kawasan pantai di negeri ini.

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search