Penduduk bimbang gelombang kedua banjir
- Admin UKK
- Berita
Kota Tinggi: Mangsa banjir di daerah ini bimbang dengan luruan hujan kedua yang dijangkakan berlaku mulai esok sehingga Sabtu ini.
Penduduk Taman Aman, Mohd Hairy Musa, 40, berkata dia masih tinggal di pusat pemindahan sementara (PPS) dan pulang ke rumah sekejap untuk membuang barangan yang rosak.
Katanya, tidak berniat mencuci bersih rumah kerana bimbang dinaiki air lagi.
“Memang bimbang sebab Jabatan Meteorologi Malaysia (Metmalaysia) ada maklumkan gelombang banjir akan berlaku lagi. Saya balik rumah sebab mahu kemas dan buang barang rosak.
“Ini bukan banjir biasa, air lumpur dan motosikal kalau tak cepat cuci akan kering dan susah hendak cuci, berbau busuk.
“Saya memang masih duduk di PPS tak larat nak mengharung banjir. Taman Aman ini banjir arus deras, kalau pakai bot biasa pun boleh hanyut rasanya,” katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.
Jumlah mangsa berkurangan
Penduduk, Nur Asna Asyikin Khairudin, 25 memaklumkan banyak barangan rosak kerana tidak sempat diselamatkan ketika banjir pada Jumaat lalu.
Beliau tidak mengemas rumah sepenuhnya kerana bimbang gelombang banjir datang lagi.
“Tak sanggup nak cuci rumah berulang kali. Saya pindahkan barang ke tempat lebih tinggi takut gelombang kedua banjir lebih tinggi berbanding Jumaat lalu,” katanya.
Di Johor Bahru, jumlah mangsa banjir di negeri ini berkurangan daripada 2,625 orang pada 12 tengah hari semalam kepada 1,860 orang, setakat jam 4 petang semalam.
Selain jumlah mangsa banjir, pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih beroperasi juga menurun kepada 17 selepas 13 PPS ditutup sehingga petang semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, jumlah mangsa banjir kini hanya membabitkan 537 keluarga berbanding 761 keluarga pada tengah hari semalam.
“Enam PPS di Kota Tinggi ditutup menjadikan mangsa banjir di daerah itu tinggal 1,016 orang daripada 289 keluarga berbanding 1,322 orang daripada 390 keluarga.
“Mereka masih berada di lapan PPS di daerah berkenaan,” katanya menerusi kenyataan media, semalam.
Azmi juga Setiausaha Kerajaan Negeri Johor berkata, lima PPS di Pontian juga sudah ditutup, sekali gus jumlah mangsa banjir di daerah berkenaan berkurangan kepada 381 orang (104 keluarga) berbanding 716 orang (194 keluarga).
Katanya, terdapat lima PPS masih beroperasi di Pontian.
Di Kluang, kini tinggal 410 mangsa daripada 128 keluarga selepas dua PPS ditutup, manakala di Johor Bahru masih kekal dengan 53 mangsa daripada 16 keluarga di sebuah PPS.