KALAU dahulu perbincangan mengenai pencemaran banyak tertumpu kepada sungai, kini masyarakat global memperkenalkan perspektif baharu iaitu kesihatan bumi.
Hal ini kerana pencemaran air dan udara menjadi sangat kritikal sehingga keseluruhan bumi terjejas. Proses perubahan bumi bukan sekadar memudaratkan alam sekitar tetapi juga kehidupan fauna, flora dan manusia. Ia menjejaskan sistem bumi, mengganggu iklim serta meningkatkan intensiti bencana alam.
Di Malaysia, isu pencemaran masih membelenggu, khususnya pencemaran sungai dan air bawah tanah. Secara umumnya, pencemaran air berpunca daripada aktiviti manusia, sama ada kerana kerakusan atau kurangnya ilmu pengetahuan.
Sistem kitaran air tabii masih kurang difahami dan tidak cukup dipeduli oleh masyarakat, termasuk pembuat dasar. Apabila berlaku pencemaran yang menjejaskan kehidupan atau mengganggu keselesaan harian seperti bahan toksik, sungai kotor, sumber makanan akuatik berkurangan atau tercemar, serta bau busuk di perkampungan, barulah masyarakat bersuara dan menuntut kawalan pencemaran disegerakan.
Malangnya, apabila pencemaran berlaku, banyak yang sudah terlambat. Usaha memperbaiki keadaan biasanya memerlukan kos tinggi dan pencemaran kerap berulang. Laporan terkini menunjukkan sekitar 25 peratus sungai di negara ini sudah tercemar, dengan sebahagian daripadanya berada pada tahap kritikal sehingga tidak lagi berfungsi.
Punca pencemaran termasuk bahan industri, air kumbahan, pertanian, penternakan dan sisa domestik.
Air hujan adalah sumber utama air bersih. Ia turun ke lembangan, contohnya di Lembangan Sungai Klang dan Sungai Langat, kemudian mengalir dari tanah tinggi ke laut melalui sistem sungai dan lapisan tanah atau batuan di bawah permukaan.
Kita lebih memahami sistem air permukaan kerana dapat melihatnya tetapi kurang menyedari pergerakan air bawah tanah. Sebagai contoh, air Sungai Langat hanya mengambil beberapa hari untuk sampai ke Selat Melaka, manakala air bawah tanah mengambil masa puluhan hingga ratusan tahun untuk sampai ke lautan.
Biasanya, kita menggunakan air permukaan melalui empangan bagi bekalan air bersih. Apabila sungai tercemar, kita terpaksa bergantung kepada air bawah tanah. Persoalannya, apa akan terjadi jika air tanah juga tercemar?
Kebimbangan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berhubung penempatan ternakan babi di Kuala Langat yang dirancang dipindahkan ke Bukit Tagar menjelang 2030 wajar diberi perhatian serius, khususnya berkaitan risiko pencemaran air, terutama air bawah tanah.
Di kawasan dataran rendah, terutamanya di pantai barat Selangor, sebahagian besar sumber air terletak di bawah permukaan tanah. Dahulu, masyarakat bergantung kepada air perigi yang merupakan air bawah tanah.
Air ini terkumpul dalam lapisan tanah, tanah gambut atau batuan, tersimpan lama dan sukar mengalir ke laut. Dalam keadaan sebegini, sebarang pencemaran bukan sahaja sukar dipulihkan, malah berpotensi menjadi bencana alam yang serius dan memudaratkan kehidupan manusia. Oleh itu, kebimbangan baginda harus dilihat sebagai peringatan penting demi menjaga kelestarian sumber air dan kesejahteraan rakyat.
JANGAN ABAI IMPAK ALAM SEKITAR
Dalam konteks pembangunan berkaitan ternakan haiwan berskala besar, impak alam sekitar terhadap rancangan pembangunan sudah mempunyai garis panduan untuk menilai pencemaran air dan tanah, khususnya berkaitan air kumbahan ternakan.
Bagi ternakan babi, pencemaran bau telah lama dikenali dan menjadi isu besar satu ketika dahulu. Namun, pencemaran kumbahan terhadap air permukaan dan air tanah perlu diteliti secara terperinci berdasarkan pelbagai perspektif, bukan sekadar komponen teknikal. Isu ini perlu dilihat dari aspek sosial, kemasyarakatan, kepercayaan dan amalan berjiran.
Malaysia adalah negara majoriti Islam dan perlembagaan menetapkan Islam sebagai agama rasmi. Islam menjelaskan daging babi adalah haram, sementara masyarakat Melayu menekankan kepentingan menjauhi haiwan ini.
Walaupun orang Melayu tidak menghalang orang bukan Islam memakan babi, namun mereka tetap tidak dapat menerima jika haiwan ini menjejaskan kehidupan atau persekitaran tempat tinggal.
Oleh itu, kajian impak alam sekitar bagi aktiviti ternakan babi perlu melihat isu secara menyeluruh, terutamanya berkaitan kawasan yang terjejas.
Pertama, air permukaan dan bawah tanah yang berpotensi tercemar daripada kumbahan ternakan babi tidak boleh menjejaskan kehidupan masyarakat Islam yang tinggal di sekitar atau hiliran sungai kawasan ternakan. Pergerakan air bawah tanah di kawasan dataran rendah perlu dikenalpasti untuk memastikan penduduk Islam tidak terjejas secara jangka panjang.
Kedua, kajian impak perlu meneliti demografi kawasan cadangan projek. Jika majoriti penduduk Islam, tapak tersebut mungkin tidak sesuai. Persepsi keselamatan, penghormatan terhadap kepercayaan dan keharmonian penduduk berbilang agama harus menjadi asas dalam perancangan pembangunan negara.
Air bersih adalah sumber strategik bagi negara dan pada masa akan datang, air bawah tanah bakal menjadi bekalan utama.
Bagi negara Islam, air bersih bukan sekadar bebas daripada pencemaran bahan kimia dan sisa domestik tetapi juga perlu dijamin bebas daripada pencemaran najis, termasuk bahan haram.
Seeloknya, Malaysia bebas daripada ternakan haiwan haram untuk tujuan komersial demi memastikan kesejahteraan masyarakat dan kelestarian alam sekitar.-UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Ibrahim Komoo ialah Ketua Kluster Kelestarian dan Kesihatan Bumi, Akademi Profesor Malaysia (APM).
Kuantan: Pencemaran Sungai Lipis di Jambatan Sengkela, Raub yang tular dalam media sosial semalam, disebabkan pelepasan kelodak dari kolam takungan di kawasan operasi perlombongan bijih besi di Hulu Sungai Bekil.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang Zakaria Ahmad @ Mohd berkata berdasarkan pemeriksaan di sepanjang Sungai Lipis, hanya air Sungai Bekil yang terletak berdekatan kawasan lombong didapati berwarna keruh.
"Kejadian limpahan kelodakan ke Sungai Bekil ini turut disahkan oleh pengusaha lombong," katanya dalam kenyataan, hari ini. Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya juga mendapati keadaan sungai telah kembali pulih.
Zakaria berkata pihaknya telah melaksanakan ujian pensampelan di tapak (in situ) di sepanjang Sungai Lipis dan mendapati kadar kekeruhan air sungai ialah 75.48 Unit Kekeruhan Nephelometric (NTU) serta melebihi had 50 NTU bagi kelas II bagi sumber air.
"Bacaan skala pH adalah 7.34 dan oksigen terlarut (DO) sebanyak 7.47 miligram per liter adalah normal bagi kehidupan akuatik," katanya.
Selain itu, beliau berkata hasil siasatan berkenaan akan dimaklumkan kepada Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Negeri Pahang untuk tindakan lanjut agensi terbabit.
Berdasarkan rekod, tiada projek perlombongan bijih besi yang diluluskan laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) di Daerah Raub.
"Aktiviti perlombongan sedia ada yang diluluskan pajakan melombong sebelum 2015 adalah tidak tertakluk kepada keperluan Laporan EIA di bawah Seksyen 34A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974," katanya.
MOSCOW – Ribut saljI kuat dan berpanjangan yang bermula pada 12 Januari lalu melumpuhkan Semenanjung Kamchatka di Russia, dengan salji setebal 500 meter (16 kaki) dilaporkan di sesetengah kawasan.
Darurat di peringkat perbandaran dan daerah diisytiharkan bagi Petropavlovsk-Kamchatsky selepas dua orang terbunuh akibat runtuhan salji dari bumbung pada 15 Januari lalu.
Kamchatka kini sedang mengalami salah satu ribut salji paling dahsyat sejak beberapa dekad lalu.
Dalam tempoh 48 jam selepas ribut salji bermula pada 12 Januari lalu, bencana tersebut membawa kira-kira 52 peratus daripada purata taburan hujan dan salji bulanan.
Ribut kedua melanda semenanjung itu pada 14 Januari lalu, membawa lebih banyak salji dan angin kencang lebih 100 kilometer sejam.
Di Petropavlovsk-Kamchatsky, kedalaman salji adalah antara 0.5 hingga 1.33 meter (1.7–4.4 kaki), manakala kampung Sosnovka yang terletak berdekatan merekodkan salji setebal 1.63 meter (5.3 kaki).
Salji sedalam 5 meter (16 kaki) turut dilaporkan di beberapa kawasan lain.
Kali terakhir salji setebal itu melanda adalah pada musim sejuk tahun 1997.
Timbunan salji kali ini mencapai ketinggian rumah dua tingkat, menimbus pintu masuk bangunan dan memerangkap kenderaan.
Penduduk terpaksa keluar dari rumah melalui tingkap tingkat satu atau menggali terowong merentasi benteng salji.
Datuk Bandar Petropavlovsk-Kamchatsky, Yevgeny Belyayev mengisytiharkan darurat bencana di seluruh bandar sejurus selepas kematian pertama dilaporkan pada 15 Januari lepas. – AGENSI
AMPANG JAYA – Kejadian gelinciran tanah yang berlaku di Jalan Saga 17, Taman Bukit Teratai di sini, pagi semalam dipercayai berpunca daripada saliran paip dalam tanah yang pecah.
Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dalam kenyataan berkata, Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Ts Hasrolnizam Shaari telah turun padang bagi meninjau dan memantau segera keadaan di lokasi kejadian.
Menurut kenyataan itu, pemerhatian awal oleh Jabatan Kejuruteraan MPAJ mengesyaki punca kejadian berpunca daripada saliran paip milik Indah Water Konsortium (IWK) yang pecah sehingga menyebabkan pergerakan tanah berlaku di kawasan berkenaan.
“Susulan kejadian itu, sebuah kenderaan yang terlibat telah dialihkan oleh Jabatan Penguatkuasaan MPAJ bagi memastikan keselamatan orang awam.
“MPAJ turut mengambil tindakan menutup kawasan terlibat sementara kerja-kerja pembaikan dan pemantauan dijalankan bagi menjamin keselamatan penduduk setempat,” katanya, hari ini.
MPAJ berkata, Hasrolnizam turut mengarahkan semua kenderaan yang diparkir di sepanjang laluan berhampiran supaya dikosongkan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Tambahnya, pihaknya akan terus memantau situasi dan mengambil langkah sewajarnya demi keselamatan serta kesejahteraan komuniti setempat.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 9.19 pagi. – KOSMO! ONLINE
GUA MUSANG – Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) memperuntukkan lebih RM146,000 untuk penyediaan bantuan bakul makanan ke lima buah pos pedalaman Orang Asli di negeri Kelantan dalam tempoh 2025 hingga tahun depan.
Pengarah Jakoa Kelantan dan Terengganu, Mohd. Faedzyal Mohamed berkata, jumlah tersebut melibatkan penghantaran makanan kepada Orang Asli di Pos Balar, Pos Belatim, Pos Simpor, Pos Gob dan Pos Bihai dengan seramai 956 ketua isi rumah (KIR) mendapat manfaat.
“Kita menyediakan bekalan makanan asas seperti beras, gula, gandum dan minyak masak. Bantuan makanan dibekalkan semasa musim Monsun Timur Laut yang menyebabkan mereka terputus jalan hubungan darat dan tidak dapat keluar ke bandar untuk mendapatkan makanan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas operasi penghantaran bakul makanan ke kawasan pedalaman yang terjejas menggunakan helikopter Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Gua Musang di sini hari ini.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Datuk Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, lebih 17 tan bakul makanan disalurkan kepada 3,824 penduduk Orang Asli di 43 buah Kampung Orang Asli pedalaman Gua Musang dihantar menggunakan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat.. – KOSMO! ONLINE
