KUALA LUMPUR, 12 Jun: Jabatan Alam Sekitar (JAS) bertindak pantas menjalankan siasatan, susulan laporan tular di media sosial mengenai pelepasan asap berwarna oren yang dipercayai berlaku di kawasan Jalan Keluli, Pasir Gudang, pagi Khamis.
Sejurus menerima maklumat sekitar jam 9.45 pagi, pasukan penguat kuasa dan penyiasat JAS Cawangan Pasir Gudang, telah digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pemantauan, siasatan serta penilaian awal terhadap kejadian tersebut.
Menurut kenyataan JAS pada Khamis, hasil rondaan yang telah dijalankan di sekitar Jalan Keluli mendapati, tiada lagi pelepasan asap berwarna oren daripada mana-mana premis di kawasan berkenaan.
“Walau bagaimanapun, berdasarkan maklumat yang diperoleh di lapangan, pelepasan tersebut dipercayai berlaku dari sebuah premis industri di Kawasan Perindustrian Pasir Gudang.
“Pasukan penyiasat JAS tiba di premis yang dikenal pasti sekitar jam 11.10 pagi dan mendapati pelepasan asap berwarna oren telah berhenti. Namun begitu, terdapat bau yang ketara di kawasan premis semasa pemeriksaan dijalankan,” menurut kenyataan itu.
Susulan insiden itu, JAS telah mengambil beberapa tindakan segera termasuk menjalankan pemantauan dan siasatan lapangan di kawasan yang diadu, serta berkoordinasi dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) bagi tindakan lanjut mengikut bidang kuasa masing-masing.
Kenyataan itu turut menjelaskan bahawa pihak JAS telah memohon penilaian keselamatan daripada pihak JBPM, sebelum pemeriksaan terperinci dijalankan di dalam kawasan premis, selain melaksanakan pemantauan kualiti udara di kawasan sensitif yang berpotensi terkesan.
Sebagai langkah berjaga-jaga, JAS Negeri Johor turut menjalankan pemantauan kualiti udara di dua lokasi sensitif yang dikenal pasti, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Pasir Putih dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Gudang 3.
“Melalui pemantauan yang dijalankan, bacaan kualiti udara di kedua-dua lokasi tersebut berada pada paras normal dan tidak menunjukkan sebarang bacaan yang melebihi had yang ditetapkan.
“JAS ingin menegaskan bahawa siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan menentukan sama ada berlaku sebarang pelepasan pencemar yang melanggar peruntukan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127],” menurut kenyataan itu.
JAS menegaskan sekiranya hasil siasatan mendapati berlaku kesalahan di bawah peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan, tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya akan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab.
Pihak jabatan akan terus memantau keadaan di kawasan terlibat serta bekerjasama rapat dengan agensi-agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan awam dan kualiti alam sekitar sentiasa terpelihara.
Orang ramai dalam pada itu dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi berhubung kejadian ini dan sentiasa merujuk kepada maklumat rasmi yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa. -TVS
PETALING JAYA: Fenomena El Nino diramal bermula bulan ini dengan jangkaan meningkatkan risiko kemarau, gelombang haba dan kebakaran hutan.
Pakar Klimatologi dan Perubahan Iklim, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Emeritus Dr. Fredolin Tangang berkata, kemas kini dikeluarkan Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) menerusi Pusat Ramalan Iklim (CPC) pada 18 Mei lalu menunjukkan kebarangkalian kemunculan El Nino pada Jun hingga Ogos meningkat kepada lebih 80 peratus berbanding sekitar 60 peratus dalam ramalan terdahulu.
“Bagi tempoh sehingga penghujung tahun pula, kebarangkaliannya hampir mencecah 100 peratus yang bermaksud fenomena ini hampir pasti berlaku,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, NOAA turut meletakkan status ‘El Nino Watch’ atau dikenali sebagai Pemerhatian El Nino manakala pada 15 Mei lalu, Pusat Iklim Asia Pasifik (APCC) di Busan, Korea Selatan meletakkan status El Nino bagi tempoh Jun hingga November 2026.
“Pelbagai model di bawah Pusat Eropah untuk Ramalan Cuaca Julat Sederhana (ECMWF) dan Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus (C3S) menunjukkan hampir 100 peratus model mereka meramalkan El Nino akan berlaku bermula Jun dan berterusan sehingga penghujung tahun serta awal 2027.
“Cerapan terkini yang dikeluarkan Pusat Ramalan Iklim Amerika Syarikat menunjukkan peningkatan suhu permukaan laut di bahagian tengah dan timur Lautan Pasifik telah pun bermula.
“Persoalan utama ketika ini bukan lagi sama ada El Nino akan berlaku atau tidak, sebaliknya sejauh mana kekuatannya,” katanya.
Fredolin berkata, istilah yang lebih tepat digunakan dalam penerbitan saintifik adalah El Nino ‘ekstrem’ iaitu apabila peningkatan suhu permukaan laut di kawasan Nino3.4 melebihi 2.0 darjah Celsius.
“Sejak lebih lima dekad lalu, hanya beberapa episod El Nino yang tergolong dalam kategori ini termasuk pada tahun 1972/73, 1982/83, 1997/98 dan 2015/16. Antara episod tersebut, El Nino 1997/98 dan 2015/16 dianggap paling kuat dalam rekod moden,” katanya.
Beliau berkata, NOAA menganggarkan kebarangkalian El Nino kali ini mencapai kategori ekstrem sekitar 30 peratus.
“Namun APCC di Busan meletakkan kebarangkalian itu melebihi 90 peratus manakala model-model di bawah ECMWF dan C3S menunjukkan lebih 50 peratus model mereka meramalkan El Nino berkategori ekstrem.
“Berdasarkan kepakaran dan pemerhatian saya terhadap perkembangan semasa, El Nino kali ini berpotensi berkembang menjadi episod yang setanding dengan El Nino 1997/98 dan 2015/16, iaitu dalam kategori ekstrem.
“Pandangan ini disokong oleh data terkini berkaitan penurunan lapisan termoklin di Lautan Pasifik yang kini menunjukkan corak hampir serupa dengan peringkat awal perkembangan El Nino 1997/98 dan 2015/16,” katanya.
Beliau memberi peringatan, El Nino ekstrem berpotensi membawa kemarau berpanjangan, gelombang haba serta peningkatan risiko kebakaran hutan di Malaysia dan negara jiran yang boleh mencetuskan episod jerebu tempatan serta rentas sempadan.
“Fenomena ini dijangka memberi kesan terhadap sumber air, penurunan hasil pertanian serta kesan kepada kesihatan awam,” katanya.-UTUSAN.
Filipina rekodkan 1,100 gempa susulan
- Admin UKK
- Berita
MANILA: Jumlah gempa susulan yang direkodkan berikutan gempa bumi magnitud 7.8 yang melanda Sarangani di Filipina pada Isnin lalu meningkat kepada 1,100, setakat 8 pagi semalam, menurut pakar seismologi negara itu.
The Straits Times melaporkan, Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina (Phivolcs) berkata, gegaran susulan bermagnitud antara 1.3 hingga 6.7 menunjukkan aktiviti seismik berhampiran kawasan di pusat gempa berkenaan.
Gempa bumi bermagnitud 7.8 yang melanda pantai Maasim, Sarangani, pada 7.37 pagi Isnin lalu, mencetuskan gelombang tsunami dan menyebabkan kerosakan infrastruktur, bekalan elektrik dan kemudahan komunikasi di seluruh bahagian Mindanao.
Phivolcs sebelum ini memberi amaran bahawa gegaran susulan boleh berterusan selama lebih sebulan. Terdahulu, media melaporkan sekurang-kurangnya 40 maut susulan gempa berkenaan.
Gempa bumi itu berlaku awal pagi ketika sekolah dibuka semula di Filipina selepas cuti panjang dengan gegaran terasa kuat di sedozen wilayah, dan turut dirasai 420 kilometer (km) jauhnya di Bandar Manado di Pulau Sulawesi, Indonesia.
Susulan gempa itu, amaran tsunami turut dikeluarkan di selatan Filipina, utara Indonesia dan Sabah, Malaysia.
BANDAR BAHARU – Sebanyak lima rumah kedai dan sebuah sekolah di Pekan Lubuk Buntar, Serdang di sini terjejas dalam kejadian ribut, petang tadi.
“Kejadian tersebut mengakibatkan kerosakan pada rumah kedai seperti bumbung tercabut dan kerosakan lain. Selain itu, Sekolah Kebangsaan (SK) Lubuk Buntar juga terjejas akibat kejadian ribut itu,” katanya di sini, hari ini.
Susulan itu, satu pasukan pemantauan dikerahkan ke lokasi kejadian pada pukul 7.57 malam bagi mendapatkan maklumat berkaitan kerosakan yang berlaku.
“Setakat ini kerosakan melibatkan lima rumah kedai dan juga SK Lubuk Buntar. Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan,” ujarnya. Tambahnya, anggota polis dan wakil pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri turut turun ke lokasi kejadian.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan penduduk di Pekan Lubuk Buntar cemas apabila bumbung rumah kedai di kawasan itu melayang dalam pusaran angin petang tadi.
Satu video yang memaparkan puluhan kepingan zink berterbangan di udara ketika hujan lebat tular di media sosial.
SHAH ALAM: Kawasan Sungai Kandis dalam Parlimen Kota Raja masih dianggap sebagai lokasi berisiko banjir meskipun projek rancangan tebatan banjir (RTB) berjumlah RM39.1 juta dilaksanakan sejak tahun lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis, Wan Dzahanurin Ahmad berkata, banjir masih melanda terutama perumahan dalam kawasan rendah walaupun kerja menaik taraf parit dan longkang bernilai RM27.94 juta dilaksanakan.
“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor melaksanakan tiga pusingan tebasan 21.7 kilometer (km) setahun dan 127 projek quick win. Jika standard kerja memadai, mengapa Kampung Jawa masih dilanda banjir?
“Saya menuntut laporan progres fizikal pembersihan sungai – berapa kilometer sudah siap, berapa peratus kelodak atau kelalang dikeluarkan. Bukan sekadar kilometer tebasan. Saya menuntut laporan audit bebas ke atas keberkesanan kerja fizikal,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Malah beliau mendakwa, Projek Tebatan Banjir Sungai Kandis Fasa 2 dikategorikan sebagai lewat akibat kerja pengalihan utiliti, namun kerja-kerja di kawasan tidak terlibat pengalihan tersebut masih berjalan.
“Data JPS atau Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada November 2023 dan April 2025 masih menyenaraikan Kampung Jawa sebagai kawasan risiko banjir kilat. Exco sendiri akui pada 21 April 2026 banjir masih berlaku dan projek belum memberi impak menyeluruh. Keadaan belum selesai sepenuhnya.
“Namun penduduk mempersoal, jika tiga pusingan tebasan dan dredging sudah dibuat, kenapa Kampung Jawa masih tersenarai kawasan risiko banjir kilat November 2023 dan April 2025?” soalnya.
Pada Oktober 2024, Utusan Malaysia melaporkan kerajaan negeri digesa menyediakan peruntukan khas bagi mengatasi masalah banjir kilat yang didakwa kerap melanda sembilan buah kampung di Kota Raja di sini, sejak 10 tahun lalu.
Ini kerana masalah banjir kilat di kawasan tersebut dikatakan bukan hanya berlaku pada musim tengkujuh atau air laut pasang, sebaliknya setiap kali hujan lebat dalam tempoh satu hingga dua jam.
Justeru, Wan Dzahanurin menggesa supaya progres dan tarikh siap bagi projek fasa dua itu diedahkan termasuk jadual kerja selain menjelaskan perincian terhadap peruntukan sebanyak RM39.1 juta daripada RM482 juta keseluruhan yang diperuntukkan.
“Audit keberkesanan dan senaraikan pemaju bermasalah serta tindakan yang diambil. Kerajaan negeri perlu melantik wakil penduduk bagi memantau perkembangan projek tersebut dan melaporkan progres fizikal pembersihan sungai di Kampung Jawa.
“Cukup sudah alasan hujan 3,000mm setahun. Penduduk Kampung Jawa mahu rumah kering, bukan sekadar laporan,” tegasnya.
Sebelum ini, terdapat sembilan RTB di Selangor dikenal pasti sebagai projek sakit yang merupakan sebahagian daripada 41 projek dengan peruntukan keseluruhan RM482 juta. – UTUSAN
