RM39.1j disalur, banjir Kg. Jawa masih belum selesai
- Admin UKK
- Berita
SHAH ALAM: Kawasan Sungai Kandis dalam Parlimen Kota Raja masih dianggap sebagai lokasi berisiko banjir meskipun projek rancangan tebatan banjir (RTB) berjumlah RM39.1 juta dilaksanakan sejak tahun lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis, Wan Dzahanurin Ahmad berkata, banjir masih melanda terutama perumahan dalam kawasan rendah walaupun kerja menaik taraf parit dan longkang bernilai RM27.94 juta dilaksanakan.
“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor melaksanakan tiga pusingan tebasan 21.7 kilometer (km) setahun dan 127 projek quick win. Jika standard kerja memadai, mengapa Kampung Jawa masih dilanda banjir?
“Saya menuntut laporan progres fizikal pembersihan sungai – berapa kilometer sudah siap, berapa peratus kelodak atau kelalang dikeluarkan. Bukan sekadar kilometer tebasan. Saya menuntut laporan audit bebas ke atas keberkesanan kerja fizikal,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Malah beliau mendakwa, Projek Tebatan Banjir Sungai Kandis Fasa 2 dikategorikan sebagai lewat akibat kerja pengalihan utiliti, namun kerja-kerja di kawasan tidak terlibat pengalihan tersebut masih berjalan.
“Data JPS atau Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada November 2023 dan April 2025 masih menyenaraikan Kampung Jawa sebagai kawasan risiko banjir kilat. Exco sendiri akui pada 21 April 2026 banjir masih berlaku dan projek belum memberi impak menyeluruh. Keadaan belum selesai sepenuhnya.
“Namun penduduk mempersoal, jika tiga pusingan tebasan dan dredging sudah dibuat, kenapa Kampung Jawa masih tersenarai kawasan risiko banjir kilat November 2023 dan April 2025?” soalnya.
Pada Oktober 2024, Utusan Malaysia melaporkan kerajaan negeri digesa menyediakan peruntukan khas bagi mengatasi masalah banjir kilat yang didakwa kerap melanda sembilan buah kampung di Kota Raja di sini, sejak 10 tahun lalu.
Ini kerana masalah banjir kilat di kawasan tersebut dikatakan bukan hanya berlaku pada musim tengkujuh atau air laut pasang, sebaliknya setiap kali hujan lebat dalam tempoh satu hingga dua jam.
Justeru, Wan Dzahanurin menggesa supaya progres dan tarikh siap bagi projek fasa dua itu diedahkan termasuk jadual kerja selain menjelaskan perincian terhadap peruntukan sebanyak RM39.1 juta daripada RM482 juta keseluruhan yang diperuntukkan.
“Audit keberkesanan dan senaraikan pemaju bermasalah serta tindakan yang diambil. Kerajaan negeri perlu melantik wakil penduduk bagi memantau perkembangan projek tersebut dan melaporkan progres fizikal pembersihan sungai di Kampung Jawa.
“Cukup sudah alasan hujan 3,000mm setahun. Penduduk Kampung Jawa mahu rumah kering, bukan sekadar laporan,” tegasnya.
Sebelum ini, terdapat sembilan RTB di Selangor dikenal pasti sebagai projek sakit yang merupakan sebahagian daripada 41 projek dengan peruntukan keseluruhan RM482 juta. – UTUSAN
